Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang dikeluarkan dan bukannya menangguhkan tindakan menyenarai hitamkan pemilik kenderaan serta pemegang lesen sepertimana yang diumumkan baru-baru ini.
Ini kerana tindakan itu didakwa adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Mahfuz melalui kenyataan medianya berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu juga bertentangan dengan undang-undang kerana ia belum diputuskan mahkamah bahawa ia adalah salah.
”Tindakan kerajaan senarai hitamkan pemilik kenderaan dan pemegang lesen berasaskan Notis Pol 170A adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang.
Ini kerana mahkamah Kuching memutuskan bahawa tindakan senarai hitam berasaskan sesuatu perkara yang belum dibuktikan adalah salah.
Katanya, pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan yang menyatakan bahawa keputusan penangguhan tindakan menyenarai hitam membabitkan Notis Pol 170A (Saman Ekor) tersebut dibuat atas nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa terdapat kes yang sedang dalam proses rayuan.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Pas dan Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, biarpun menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat itu tetapi pihaknya berasa aneh dan pelik apabila kerajaan tidak mengendahkan keutusan yang dibuat mahkamah sejak tahum 2009 malah meneruskan tindakan tersebut yang jelas bertentangan.
Tambahnya, kes tersebut turut dirujuk dan dikendalikan sendiri oleh Penasihat Undang-Undang Kanan Persekutuan yang mewakili JPJ Sarawak dan adalah mustahil beliau tidak memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negara dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan tentang kes itu.
Mahfuz berkata, segala tindakan kerajaan itu dengan jelas telah menindas dan membebankan rakyat di mana rakyat dihukum, ditindas dan dipaksa membayar kompaun walaupun kesalahan mereka belum dibuktikan.
Berikutan itu, beliau berkata, Kase tetap dengan pendirian yang dibuat dan tidak akan berhenti dengan desakan agar kerajaan menghapuskan semua saman ekor (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan sebelum 1 Februari lalu.
Katanya, pihaknya juga mendesak khasnya JPJ dan PDRM agar menghormati peruntukan undang-undang sedia ada dalam menguatkuasakan undang-undang.
Tambahnya, Kase menyatakan kekesalan dengaan ketidakcekapan kerajaan dan agensinya menjalankan tugas kerana Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan senarai hitam pada 18 Mac dan keputusan diumumkan pada 23 Mac di Dewan Rakyat namun JPJ hanya membenarkan transaksi bermula 1 April lalu.-tvs
Saman Ekor Salah Disisi Undang- Undang
4/
5
Oleh
Admin