Rabu, 6 April 2011

PRN Sarawak :Pertarungan merebut 71bermula secara rasmi hari ini



KUCHING, 6 April — Pertarungan merebut 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak bermula secara rasmi hari ini dengan Barisan Nasional (BN) mahu mempertahankan penguasaannya manakala Pakatan Rakyat (PR) pula meletakkan sasaran untuk mengulangi tsunami politik 2008 di bumi Kenyalang kali ini.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud melangkah tahun ke-31 memimpin Sarawak dan berusaha untuk membuktikan bahawa beliau masih berbisa untuk mengulangi kemenangan selesa BN di Sarawak meskipun kepimpinannya dibayangi salah guna kuasa dan rasuah.



Ketua Menteri paling lama itu dijangka dicabar oleh bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin, yang juga sepupunya, di Balingian.

PR perlu membuktikan bahawa jentera dan sumber-sumbernya yang terhad tidak akan menghalang matlamat mereka mencatatkan prestasi lebih baik kali di Sarawak - yang telah lama dianggap sebagai simpanan hayat BN.

Keputusan signifikan di Sarawak termasuk kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Undangan Negeri akan memberi kesan kepada keputusan membubarkan Parlimen dan tarikh pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun pembangkang di Sarawak berhadapan dengan kemelut ekoran masalah dalam pembahagian kerusi, dan ini dijangka akan membawa kepada persaingan tiga penjuru di sebahagian kerusi kali ini.

PR Sarawak dianggotai PKR, PAS dan DAP, dan parti pembangkang negeri Parti Kebangsaan Sarawak (Snap).

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengepalai misi PR, berhadapan dengan kes liwat kedua selain pendedahan rakaman video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang itu dua minggu lalu.

Kempen pilihan raya Sarawak, negeri yang terdiri daripada 50 peratus masyarakat Kristian, juga diselubungi isu Alkitab.

Seramai 976,796 pengundi pemilih termasuk 18,363 pengundi pos layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

BN Sarawak dijangka membuktikan bahawa politik pembangunan akan mengatasi isu-isu dibawa pembangkang.

Penganalisis dan pemimpin politik mengakui bahawa isu Alkitab, yang berlarutan meskipun Putrajaya berusaha untuk meredakan rasa tidak puas hati, tidak akan memberi kesan ke atas kempen perikatan tersebut.

Malah, penganalisis juga meramalkan persaingan sengit di 29 kerusi dengan kebanyakannya terletak di kawasan bandar dan separuh bandar, di mana majoriti penduduk adalah Cina.

Kerusi-kerusi itu juga memperlihatkan kemungkinan akan dimenangi oleh calon PR.

Baki 42 kerusi dijangka dikekalkan oleh BN.

Bagi PR, untuk menafikan majoriti dua pertiga BN ia perlu menang di 24 kerusi.

BN meletakkan calonnya di kesemua 71 kerusi.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PPB) akan bertanding di 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula 19, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di lapan kawasan.

Setakat maklumat awal, PKR akan meletakkan calon di 48 kerusi, DAP pula 15 dan PAS lima.

Snap akan bertanding di 27 kerusi - sekali gus PR terpaksa berhadapan dengan saingan tiga penjuru di beberapa kawasan.

Juga diramalkan sehingga 38 calon Bebas akan bertanding kali ini, kebanyakannya dari Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), yang masih belum didaftarkan lagi.

Parti lain yang dijangka bertanding ialah Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Reformasi Sarawak (Star).

Proses penamaan calon bermula 9 pagi ini. Pengundian akan diadakan 16 April.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan 10 hari untuk berkempen berbanding 11 hari pada pilihan raya negeri lalu yang diadakan pada 2006.

SPR menetapkan setiap calon perlu membayar deposit RM5,000 untuk bertanding dan RM3,000 untuk bahan kempen.

Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri, BN menguasai 63 kerusi daripada 71 kerusi.

BN mengumumkan barisan calonnya Ahad lalu dengan mengekalkan 52 penyandang dan memperkenalkan 19 muka baru.

Calon terakhirnya iaitu seorang peguam, Willie Liau diumumkan semalam untuk bertanding di Ba’Kelalan.

Related Posts

PRN Sarawak :Pertarungan merebut 71bermula secara rasmi hari ini
4/ 5
Oleh