Home » » Murugiah tak disambung senator, gugur timbalan menteri

Murugiah tak disambung senator, gugur timbalan menteri

Written By kiff isme on Rabu, 13 April 2011 | April 13, 2011

gugur timbalan menteri


Kedudukan Datuk T. Murugiah sebagai anggota Dewan Negara yang akan berakhir Isnin ini tidak disambung, sekali gus akan digugurkan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, demikian menurut sumber-sumber MIC dan pembantunya.

Seorang menteri atau timbalan menteri lazimnya merupakan anggota Parlimen sama ada ahli Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan seorang boleh memegang jawatan senator maksimum dua penggal atau selama enam tahun.



Perkembangan itu juga dijangka membawa kepada rombakan kecil Kabinet minggu depan, sejurus selepas pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini.

The Malaysian Insider difahamkan Murugiah, bekas pemimpin Parti Progresif Penduduk (PPP) yang menyertai MIC Ogos lalu, telah dimaklumkan secara rasmi mengenai kedudukannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Satu lagi sumber berkata, Murugiah telah dimaklumkan mengenai keputusan itu minggu lalu tetapi surat rasmi hanya keluar semalam.

“Surat berkaitan juga sudah dikeluarkan hari ini (semalam),” kata satu sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Tempat beliau akan digantikan oleh Pengerusi MIC Pulau Pinang Datuk P. K. Suppiah, tetapi sama ada akan dilantik sebagai timbalan menteri tidak pasti.

“Berdasarkan maklumat saya terima, Datuk Suppiah hanya akan dilantik sebagai senator, bukan timbalan menteri,” kata sumber itu.

Satu sumber yang melihat kandungan surat kepada Murugiah berkata, Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah memaklumkan bahawa penggal perkhidmatan sebagai senator tidak disambung dan beliau mengucapakan terima kasih kepada timbalan menteri itu.

Murugiah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau dan difahamkan berada di Sarawak berkempen untuk BN.

Empat bulan sebelum Datu Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan presiden MIC, Murugiah diterima secara rasmi menyertai parti itu dan menjadi ahli biasa cawangan Batu Matang di Bukit Gantang, Perak.

Murugiah, ketua Pemuda PPP yang dipecat telah dilantik sebagai senator dan diberikan jawatan timbalan menteri ketika masih menganggotai parti itu.

Kelmarin, Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata, MIC ingin mengehadkan tempoh bagi anggotanya memegang jawatan senator kepada satu penggal atau tiga tahun sahaja bagi membolehkan parti itu ‘memberi kuasa’ kepada pemimpinnya di negeri yang BN tewas pada pilihan raya umum 2008.

Palanivel, yang juga bertaraf senator berkata, selepas BN kehilangan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah pada pilihan raya umum 2008, kebanyakan senator MIC adalah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi enggan memberi butiran lanjut sama ada nama Murugiah turut disenaraikan untuk dilantik semula.

‘Terpulang kepada perdana menteri untuk memutuskan... ia hak mutlaknya. Saya hanya mempunyai hak untuk membuat cadangan tetapi keputusan muktamad terletak di tangan perdana menteri,” katanya.

Ia kali pertama tindakan sedemikian - tidak disambung senator, sekali gus digugurkan jawatan timbalan menteri diputuskan oleh Palanivel sejak mengetuai MIC Disember lalu.-The Malaysian Insider.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.