Home » » Manifesto BN Hanya Kayakan KM, Keluarga Dan Kroni

Manifesto BN Hanya Kayakan KM, Keluarga Dan Kroni

Written By kiff isme on Sabtu, 9 April 2011 | April 09, 2011



Visi Barisan Nasional untuk menjadikan Sarawak negeri terkaya di Malaysia hanyalah khayalan dan omong kosong kerana yang kaya hanyalah Ketua Menteri, keluarga terdekat serta kroni mereka.

Ini terbukti apabila Sarawak muncul sebagai negeri keempat termiskin di dalam Persekutuan setelah hampir 48 tahun berada di bawah pentadbiran BN.



Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail berkata, selama 30 tahun Tan Sri Taib Mahmud menerajui Sarawak, negeri itu terus dilanda kemiskinan, sementara beliau serta kaum kerabat dan kenalan rapat mengaut kekayaan negeri Bumi Kenyalang tanpa henti.

Malah tambah beliau, seperti permainan bola sepak, Taib hanya mengitar kekayaan Sarawak untuk keuntungan golongan elit semata.

" Kita mesti hentikan rompakan ini, rakyat pilih dia bukan untuk rompak tanah jadi milik dia, anak pinak dan kawan-kawan dia, tak boleh.

" Malam tadi saya tengok bola Manchester lawan Chelsea, Manchester menang 1-0 jaringan Rooney tapi di Sarawak Taib Mahmud kepada Raziah Mahmud kebelakang kepada Sulaiman Taib kepada Onn Mahmud terus kepada Taib Mahmud kepada Alfred Jabu kepada George Chan kembali semula kepada Taib Mahmud, cantik permainan bola Taib Mahmud, lincah pemain nombor 10 ini sudah 30 tahun wakili Sarawak, kenapa tak sampai kepada rakyat di bawah?,"sindir Saifuddin di hadapan kira-kira 3,000 penyokong Pakatan Rakyat, di sini, malam tadi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Taib yang memusatkan segala kuasa penentu ke atas kekayaan Sarawak di bawah kawalannya.

" Kenapa kita biarkan ini terjadi di Sarawak, dia sudah 30 tahun, kita baca Ketua Menteri Taib Mahmud, Menteri Kewangan Taib Mahmud, Menteri Pembangunan Sumber Negeri Taib Mahmud, Pengerusi Land Custody and Development Agency (Pelita) juga Taib Mahmud.

" Bila dia nak bangunkan satu projek maka Menteri Kewangan Taib Mahmud berbincang dengan Menteri Perancangan Sumber Taib Mahmud,"kata saifuddin.

" Bagaimana kita nak mengambil tanah supaya dapat kita bangunkan ladang kelapa sawit dan keluarkan kayu balak? Maka Menteri Perancangan Sumber, Taib Mahmud mencadangkan kepada Menteri Kewangan Taib Mahmud supaya berbincang dengan Ketua Menteri Taib Mahmud. Hasil perbincangan itu Ketua Menteri bersetuju dengan cadangan Menteri Kewangan Taib Mahmud. Setelah berbincang dengan Menteri Perancangan Sarawak Taib Mahmud bahawa tanah yang diberi hendaklah diberi kepada Raziah Mahmud, Onn Mahmud dan Sulaiman Taib dan Mahmud Bekir Taib semuanya diberi setelah Ketua Menteri Taib Mahmud berbincang dengan Menteri Kewangan Taib Mahmud dan dipersetujui oleh Menteri Perancangan Sumber yang juga Taib Mahmud," tambahnya lagi.

Malah Saifuddin turut mengkritik sikap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menutup mata terhadap segala dakwaan rasuah yang dilakukan oleh Taib serta pimpinan BN Sarawak.

"Adakah SPRM datang siasat Taib Mahmud, ada dia siasat George Chan, ada dia siasat Alfred Jabu? ,"soal Saufuddin.

Dengan memberi contoh kejayaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Kelantan selama 20 tahun, Saifuddin meminta rakyat menimbang untuk memberi peluang yang sama kepada gagasan itu di Sarawak.

" Beri peluang kepada kami, dunia tidak kiamat hanya kerana Barisan Nasional kalah di Sarawak, jangan takut. Melayu Cina India Iban boleh berkawan sebagai satu saudara besar.

" Tahun pertama, apa yang kita akan buat ialah pastikan hutan di Kelantan tidak sebanyak hutan di Sarawak, pendapatan di Kelantan cuma RM400 juta satu tahun tapi kita jaga kebajikan rakyat. Contoh semua rakyat Kelantan 60 tahun ke atas Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asal, Menteri Besar bagi peruntukan RM3 juta, apabila warga emas di Kelantan meninggal dunia akan menerima bayaran RM2,500 tunai. Semua dapat tak kira parti tak kira kaum tak kira agama. Contoh itu diikuti di Selangor,"jelas Saifuddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang memberi jaminan dasar Pakatan Rakyat sentiasa mengutamakan rakyat dan amat tegas terhadap sebarang penyalah gunaan kuasa dan gejala rasuah di kalangan pimpinannya.

" Ini contoh negeri Pakatan Rakyat apabila dipilih oleh rakyat, kita jaga kebajikan rakyat. Kita tak ambil kekayaan untuk diri kita. Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang bila jadi Ketua Menteri dia buat satu polisi semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak boleh memohon dan mengambil satu inci tanah sekalipun tak dibenarkan minta tanah di Pulau Pinang.

Saifuddin seterusnya merayu rakyat Sarawak supaya membuat keputusan pada pilihan raya kali ini untuk menukar BN kepada sebuah pentadbiran yang lebih telus dan adil di bawah Pakatan Rakyat

" Mandat ini akan kita bawa dan jaga negeri Sarawak ini adalah milik kita bersama, kita adalah satu keluarga besar, inilah politik baru yang KEADILAN, DAP dan PAS cuba bawa di Semenanjung dan hari ini diterima baik di Sarawak,"katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.