Isnin, 25 April 2011

Kes liwat: Saiful Bukan Mangsa,dakwa Saiful kerana bohong

Kes liwat: Saiful Bukan Mangsa,dakwa Saiful kerana bohong


Karpal Singh mahu Mohd Saiful Bukhari Azlan dikenakan tuduhan “berbohong” di mahkamah kononnya dia telah diliwat oleh majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga tahun lalu.

Dalam hujah penggulungan, peguam utama Anwar itu berkata, Saiful bukan saksi berwibawa dan kes dibawa terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu perlu digugurkan dengan segera.

Menurut Karpal, terdapat terlalu banyak elemen tidak konsisten antara tuduhan ke atas Anwar dan keterangan diberikan oleh saksi utama itu dalam perbicaraan semasa.

Saiful juga merupakan pengadu dalam kes liwat kedua melibatkan Anwar.

Justeru, beliau menggesa mahkamah agar mengarahkan pendakwa membawa tuduhan terhadap Saiful di bawah Seksyen 195 Kanun Keseksaan — mereka-reka bukti dengan tujuan mahu menyabitkan kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara.

Peguam veteren itu berkata, walaupun Saiful menuduh Anwar meliwatnya, namun testimoni membuktikan sebaliknya dan menunjukkan “tidak ada unsur keberatan” di pihak Saiful ketika mengatakan perbuatan itu dilakukan pada 26 Jun 2008.



“Ini adalah jelas SP1 (Saiful) telah berbohong apabila dia mengatakan dalam laporan polis bahawa ‘perkara ini berlaku tanpa kerelaan’.

“Mahkamah perlu segera mengarahkan pendakwa agar mendakwa Saiful di bawah Seksyen 195 Kanun Keseksaan... menghantar mesej yang jelas bahawa kehakiman tidak akan bertolak ansur dengan tindakan salah guna prosesnya, menyebabkan sabitan kesalahan ke atas mereka yang tidak bersalah,” katanya lagi.

Menurut Karpal, Saiful mempunyai peluang untuk meninggalkan kondominium di Desa Damansara pada 26 Jun, namun berdasarkan testimoni di mahkamah, dia tidak berbuat demikian.

Beliau berkata bahawa testimoni Saiful menunjukkan dia secara “sukarela” membenarkan perbuatan liwat itu dan tidak berlaku sebarang halangan.

“Saya tidak kata tindakan itu berlaku... tapi Saiful seorang anak muda berumur 23 tahun dan cukup kuat boleh mempertahankan diri dari dibawa ke bilik tidur tetapi dia tidak buat begitu,” katanya.

Karpal juga berkata Saiful telah menghadiri satu program PKR keesokan harinya, satu tindakan yang tidak wajar bagi individu yang menjadi mangsa seks.

“Sikap SP1 yang tidak menghalang seks luar tabii bertentangan dengan sikap semula jadi. Kredibiliti SP1 dipersoalkan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan mahkamah bahawa perbicaraan kes liwat Anwar 10 tahun lalu di mana Mahkamah Tinggi telah menerima rayuan Azizan Abu Bakar untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah tidak boleh melakukan kesilapan sama sekali lagi. Saiful harus menjadi saksi yang boleh dipercayai jika mahkamah mahu memanggil untuk mempertahankan diri,” katanya.

Baca lagi berita

Aneh tapi benar - pengadu Saiful Bukhari Azlan sempat makan karipap dan minum kopi selepas mendakwa dirinya diliwat secara paksa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam Karpal Singh menggesa mahkamah menolak Saiful sebagai saksi yang tidak mempunyai kredibiliti kerana perlakuannya jauh daripada seorang mangsa dan keterangannya kepada polis dan di mahkamah di warnai dengan pelbagai percanggahan.

Sehari selepas mendakwa diliwat pada 26 Jun 2008, Saiful masih bekerja seperti biasa di ibupejabat Parti Keadilan Rakyat, malah telah pergi ke rumah Anwar untuk mesyuarat, tambah beliau.

Karpal berkata fakta bahawa Saiful berjumpa dengan musuh politik Anwar, Ezam Mohamad Noor, sehari sebelum membuat laporan polis, harus menimbul kecurigaan mengenai kewibawaan Saiful.

Karpal berkata demikian dalam hujah penutupan untuk permohonan pendakwaraya mensabitkan Anwar atas tuduhan meliwat Saiful. Hakim Zaibdin Mohamad Diah akan menetapkan tarikh kelak untuk memutuskan sama ada Anwar harus menyediakan pembelaan terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaraya, termasuk Saiful yang membuat tuduhan itu.

Peguam-peguam Anwar menegaskan tuduhan itu, adalah fitnah politik untuk menjatuhkan Anwar sebelum Perdana Menteri Najib Razak memanggil pilihanraya umum tidak lama lagi. Saiful bertemu dengan Najib beberapa hari sebelum membuat dakwaan liwat terhadap Anwar.

Anwar dilihat sebagai nadi Pakatan Rakyat yang menafikan Umno-Barisan Nasional majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum 2008, dan merampas kuasa di empat negeri selain mengekalkan tampuk pemerintahan di Kelantan.

Di mahkamah hari ini, Karpal berkata tuduhan liwat oleh Saiful tidak boleh dipercayai kerana tidak masuk akal kenapa beliau (Saiful) tidak meninggalkan lokasi kejadian sebelum Anwar memaksa beliau melakukan seks luar tabii.

Sebaliknya Saiful terus berada di tempat kejadian untuk lebih 20 minit dan makan karipap serta minum kopi.

Saiful berusia 23 tahun manakala Anwar 64 tahun dan menghidapi sakit tulang belakang yang kronik.

Karpal turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan dengan aksi seks yang didakwa oleh Saiful tetapi ini tidak boleh dilaporkan kerana keterangan Saiful itu diberikan secara tertutup.

Karpal menegaskan perlakuan Saiful bukan seperti mangsa liwat sebagai yang di dakwa oleh beliau dalam laporan polis dan di mahkamah.

Karpal menggesa Hakim Zabidin untuk berlaku adil kepada Anwar dan tidak terpengaruh dengan laporan media arus perdana "atau apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri."

Karpal sekali lagi mengingatkan mahkamah bahawa pendakwaraya harus mempunyai bukti prima facie dan tidak ada jurang atau lompang dalam bukti yang diketengahkan.

"Ia mestilah membuktikan setiap bukti boleh dipercayai, unsur-unsur kesalahan ditentukan dan mahkamah mesti memberi penilaian maksimum terhadap semua itu," tambahnya.

Related Posts

Kes liwat: Saiful Bukan Mangsa,dakwa Saiful kerana bohong
4/ 5
Oleh