Home » » Kajian pendapat umum Anwar adalah mangsa

Kajian pendapat umum Anwar adalah mangsa

Written By kiff isme on Ahad, 3 April 2011 | April 03, 2011



KUALA LUMPUR, 3 April — Kajian pendapat umum menunjukkan majoriti rakyat percaya yang Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu adalah mangsa pembunuhan karakter ekoran pendedahan video seks oleh “Datuk T” dua minggu lalu.

Hasil kajian Mendeka Center itu juga menunjukkan responden yang ditemui berpendapat yang video seks didedahkan 21 Mac lalu bagi memusnahkan kerjaya politik bekas timbalan perdana menteri tersebut, yang kini merupakan Ketua Pembangkang.



Seramai 504 responden ditemu bual oleh Merdeka Center antara 24 dan 27 Mac lalu dengn 59 peratus adalah Melayu, 32 peratus Cina manakala sembilan peratus India.

Menurut hasil kajian itu, 45 peratus responden beranggapan bahawa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, adalah mangsa pembunuhan karakter politik manakala 22 peratus bersetuju yang pemimpin itu seorang lelaki yang rendah pegangan moral.

Seramai 20 peratus mengatakan mereka tidak pasti manakala enam peratus lagi enggan respons.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, sedang melalui perbicaraan kes liwat kali kedua.

Ketika ditanya pandangan mereka sebab video itu muncul, 39 peratus mengatakan mereka percaya ia sebagai satu komplot untuk memusnahkan kerjaya politik beliau.

Bagaimanapun seramai 24 peratus lagi tidak pasti manakala 22 peratus mengatakan ia diadakan untuk mengalih sokongan menjelang pilihan raya negeri Sarawak bulan ini.

Hanya sembilan peratus mengatakan video itu sebahagian daripada usaha Anwar untuk mendapatkan simpati manakala empat peratus mengatakan video itu tulen.

Anwar sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video seks kononnya beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali, di hotel Carcosa Seri Negara bulan lalu.

Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan penglibatan mereka dalam rakaman berkenaan.

Minggu lalu, Hishammuddin berkata beliau akan memfailkan saman terhadap Anwar yang mengaitkan beliau dalam kes video seks itu.

Pada satu perhimpunan di Shah Alam 28 Mac lalu, seminggu selepas pendedahan rakaman video seks itu, Anwar menegaskan, pendedahan dibuat “Datuk T” tidak akan sesekali “membunuh” karier politiknya.

Sebaliknya, tegas Anwar, hidup dan mati beliau bukan terletak di tangan Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi Allah s.w.t.

“Kalau nak mati, saya mati... bukan mati karier politik.

“Hidup mati saya di tangan Allah bukan Umno-BN... belum tentu Umno-BN mampu bertahan tanpa rakyat Malaysia,” katanya.

Pada September 1998, Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Beliau dibebaskan dari penjara akhir 2004 dan menjadi pengikat PKR-PAS-DAP sehingga PR dibentuk tiga tahun lalu.

Anwar berkata, “isunya sekarang adalah kerana Pakatan Rakyat nak ambil pemerintahan negara.”

Tiga “Datuk T” yang dimaksudkan ialah bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Berikutan pendedahan itu, ketiga-tiga individu terbabit telah disoal siasat polis Bukit Aman dan menyerahkan pita video dan seutas jam tangan jenama Omega sebagai bahan bukti.

Anwar juga menyifatkan Abdul Rahim sebagai “jaguh baru” yang dipilih Umno-BN untuk menjatuhkan maruah dan imejnya.



Majoriti rakyat Malaysia berpandangan pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” termasuk diakui sendiri oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan rakannya bermakna berkemungkinan skandal itu didalangi Barisan Nasional (BN).

Kajian kendalian firma bebas Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan 39 peratus daripada 504 responden menuding jari ke arah BN dan Umno ekoran pendedahan video tersebut dua minggu lalu.

Pun begitu ramai juga yang sangsi dengan kemungkinan itu memandangkan 38 peratus mengatakan mereka tidak tahu.

Hanya 18 peratus dengan tegas mengatakan BN tidak terlibat dalam kontroversi itu yang menunjukkan seorang lelaki, didakwa pemimpin kanan Pakatan Rakyat, mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.