Home » » Mempertahankan tanah adat yang dicerobohi.

Mempertahankan tanah adat yang dicerobohi.

Written By kiff isme on Khamis, 17 Februari 2011 | Februari 17, 2011

SIMUNJAN SARAWAK 17 FEB : Hampir 200 orang penduduk Asal bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Orang Asal Se-Malaysia hadir di Mahkamah Majistret Simunjan untuk memberikan sokongan kepada Numpang Anak Suntai yang mempertahankan tanah adat yang dicerobohi.

Penduduk berkumpul di mahkamah majistret di sini semalam seawal jam 8.30 pagi untuk memberikan sokongan bagi menunjukkan kesatuan apabila tanah adat mereka dicerobohi oleh syarikat pembalakan.

Sebelum ini pada bulan 15 Oktober 2010, Numpang Suntai dan penduduk kampung dari 16 rumah panjang melakukan sekatan jalan terhadap syarikat pembalakan, Qualiti Konkrit Holdings, dari terus menceroboh tanah adat dan hutan.



Pada bulan 18 Oktober 2010 , satu kebakaran terjadi di kem pembalakan, 4 kilometer jauhnya dari sekatan, yang memusnahkan peralatan dan kem itu sendiri. Syarikat penebangan menuduh Numpang dan warga desa yang memulakan kebakaran tersebut.

Pada tarikh 21 Oktober seramai tujuh warga desa ditangkap dan dibawa ke balai polis termasuk Numpang Suntai dan hanya dibebaskan pada bulan 25 Oktober 2010.

Dilaporkan bahawa salah satu pemilik syarikat pembalakan Qualiti Konkrit Holdings ialah adik Taib Mahmud, Raziah Mahmud. Syarikat pembalakan tersebut telah merosakkan pertanian penduduk, getah dan pokok buah-buahan serta menjejaskan kehidupan masyarakat setempat yang bergantung hidup kepada sumber pertanian dan perhutanan.

Menurut Baru Bian yang menjadi peguambela kepada penduduk dalam kes ini yang ditemui Tv Selangor menjelaskan bahawa kehadiran ramai penduduk ke mahkamah majistret adalah bukti sokongan dan kesedaran bagi memastikan hak tanah adat dipertahankan daripada sebarang pencerobohan daripada mana-mana pihak.

"Kes ini adalah satu kes di mana client saya Numpang Anak Suntai didakwa mengatakan satu perkataan yang penjenayah ke atas seseorang pekerja syarikat di satu kem balak di sekitar kawasan ini, pada 18 Oktober 2010.

"Ini menggalakkan bahawa bagi mereka ini adalah satu kawasan yang dicerobohi oleh syarikat kayu balak dan kawasan itu adalah kawasan tanah adat mereka, NCR mereka dan inilah adalah satu tuntutan yang sah di bawah undang-undang Sarawak, dan kerana itu mereka hendak memberikan sokongan kepada saudara Numpang kerana ini adalah satu tanda dan dia menjadi satu simbol bantahan bagi orang ramai dan orang kampung bahawa mereka tidak setuju tentang pembalakan yang disekeliling kampung-kampung mereka," katanya yang juga ADUN Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak.

Tambah Baru Bian, beliau yakin rakyat Sarawak kini berani bangkit menyatakan hak bahawa kes pencerobohan yang jelas mengancam suasana kehidupan masyarakat penduduk untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pihak penguatkuasa dan polis langsung tidak membantu mengatasi masalah Orang Asal selaku mangsa, malah bertindak menangkap penduduk setempat, seolah-olah menyebelahi pihak syarikat dan juga pengeluar lesen balak ke atas tanah Adat Orang Asal (NCR) penduduk Kampung Sebuyau.

Penduduk Sibuyau memang telah lama membuat bantahan kepada Jabatan Perhutanan tentang pencerobohan hak ke atas tanah Adat mereka.

Isu tanah adat bumiputera ini merupakan isu panas kini ketika mana Dewan Undangan Negeri Sarawak dijangka akan dibubarkan bila-bila masa bagi memberi laluan pilihanraya DUN Sarawak dilaksanakan apabila tempohnya berakhir Julai ini.

"Kerana itu saya percaya mereka datang ke sini untuk menyokong Numpang kerana mereka pun merasakan mereka ditindas dan terkesan dengan pembalakan begini, itulah mereka datang dan menyokong sebagai simbol kesatuan membantah tindakan yang dikenakan terhadap Numpang.

"Saya percaya ini adalah satu kebangkitan rakyat kerana ini bukan satu kes yang terpencil,sebenarnya perkara sebegini adalah perkara yang banyak berbangkit di seluruh Sarawak," katanya.tvs

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.