Home » » Kekalahan sudah dijangka

Kekalahan sudah dijangka

Written By kiff isme on Isnin, 31 Januari 2011 | Januari 31, 2011

TEMERLOH, 31 Jan: Kekalahan PAS pada pilihan raya kecil Dun Tenang tidak seharusnya melemahkan semangat petugas-petugas Pakatan Rakyat kerana ia berlaku sebagaimana yang telah dijangka.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily lewat petang semalam dalam mengulas keputusan muktahir PRK Dun Tenang.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi menewaskan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang memperolehi 2,992 undi dengan majoriti 3,707 undi.

Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Namun apa yang perlu diambil perhatian ialah perlunya diperkukuhkan kekuatan parti di semua lokaliti. PAS dan seluruh parti komponen seharusnya mempunyai kekuatan asas yang kukuh di setiap peti undi.

“Kegagalan kita membina kekuatan asas akan menyukarkan kita menghadapi sebarang bentuk pilihanraya. Di Dun Tenang, kita harus akui kelemahan PAS sama ada di peringkat cawangan atau keahlian,” nasihat Tuan Ibrahim.

Namun, katanya, kemenangan BN yang hanya beberapa bulan ini sebelum pilihanraya umum ke 13 akan juga menjadi kayu ukuran bagi pengundi di Tenang sejauh manakah calon yang menang akan turun membantu.

“Nasib malang bagi calon menang kerana ia akan terus diuji oleh para pengundi yang kini berhadapan dengan banjir di Labis dan Tenang. Kalau sewaktu kempen, calon turun setiap rumah, dokong orang yang nak pindah, sekarang rakyat boleh tengoklah 'wajah' sebenar calon BN tu,” kata Tuan Ibrahim.

Kepada Cikgu Mala, Tuan Ibrahim menyeru beliau untuk meneruskan usaha dan perjuangan, kerana rakyat juga akan menilai dan membandingkan sejauh mana beliau akan terus membantu masyarakat, sama ada sewaktu kita menang atau sebaliknya.

“PRU akan menanti anda, dan yakin Islam akan pasti menang,” tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sementara itu, Cikgu Mala mengucapkan terima kasih kepada kepada semua petugas-petugas, Adun-adun, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan penyokong yang membantunya dalam kempen pilihanraya kecil di Tenang.

“Jangan kita berputus asa dalam berusaha sebelum kita mendapat kejayaan dan jika kita berjaya jangan dilupa pengorbanan mereka di belakang yang banyak memberikan sokongan tidak kira waktu, hari dan perjalanan hidup ini.

Kejayaan bukan milik individu sebaliknya milik jamaah yang mantap. Teruskan berjuang untuk Pilihan Raya Kecil di DUN Merlimau N.27 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” kata beliau.

Dalam menyuntik semangat kepada Cikgu Mala, Adun Teja, Chang Lih Kang berkata meskipun kalah tetapi beliau sudah berjaya menawan hati ramai rakyat Malaysia.

“Dalam pilihanraya yang akan datang, Tenang akan kita tawan, seperti di Ijok dulu!” kata Chang.-Harakahdaily   

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.