Selasa, 18 Januari 2011

Debat terbuka mengenai janji reformasi 100 hari Pakatan Rakyat



Keengganan Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk menyahut seruan Anwar Ibrahim untuk mengadakan perbincangan atau debat terbuka mengenai janji reformasi 100 hari Pakatan Rakyat seperti yang dikemukakan dalam Buku Jingga amatlah mendukacitakan kita.

Tujuan perbincangan terbuka ini adalah untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak - Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat - menjelaskan kepada rakyat sama ada benar janji 100 hari ini boleh menjerumuskan negara yang kita cintai ini menjadi muflis seperti Greece dalam masa dua tahun seperti yang didakwa oleh Najib? Malah, pelan 100 hari ini telah dibidas sebagai bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya.

Disebabkan kenyataan ini merupakan suatu tuduhan yang serius, sedangkan Pakatan Rakyat berkeyakinan tinggi bahawa dasar ini benar-benar akan dapat dilaksanakan, maka kedua-dua pihak bertanggungjawab menjelaskannya kepada rakyat untuk menjelaskan kekeliruan.

Dalam kesungguhan kita bekerja keras mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi negara yang amat meruncing kini demi menyelamatkan rakyat dari tekanan hidup yang berterusan, maka inilah peluang terbaik untuk kedua-dua pihak bersemuka secara terbuka dan membincangkannya secara serius.

Bilakah masanya lagi rakyat negara ini mahu diberikan kesempatan menerima maklumat secara terbuka serta berpeluang menilai dan membuat keputusan sendiri berasaskan kematangan mereka sendiri? Bilakah masanya lagi martabat rakyat negara ini dapat diangkat setaraf dengan negara-negara lain yang telah jauh ke hadapan dalam menilai ketrampilan kepimpinan tokoh-tokoh tertinggi politik negara mereka?

Keengganan Perdana Menteri  untuk bersemuka terbuka dengan Anwar Ibrahim dalam membincang isu ini merupakan satu penghinaan kepada kematangan rakyat Malaysia seluruhnya. Beliau juga, memang dengan sengaja bertujuan membiarkan rakyat negara ini terus dalam kekeliruan dan kegelapan maklumat agar dengan ini agenda menguasai negara dan meneruskan segala amalan bobrok selama ini dapat diteruskan.

Justeru, dengan ini kita menyeru agar Najib tidaklah perlu terus mengemukakan pelbagai helah dan alasan ataupun mengutus pihak lain yang tidak berkenaan sebagai ganti. Kita menuntut beliau segera menerima seruan Anwar Ibrahim agar diadakan perbincangan atau debat terbuka seperti yang dicadangkan. Hanya dengan cara ini rakyat Malaysia dapat dimartabatkan ke arah masa depan negara yang lebih cerah di masa hadapan. sumber

Related Posts

Debat terbuka mengenai janji reformasi 100 hari Pakatan Rakyat
4/ 5
Oleh