Sabtu, 29 Januari 2011

Calon wakil rakyat wanita pertama parti PAS di Johor



LABIS 29 JAN: Keputusan PAS-Pakatan Rakyat meletakkan calon wakil rakyat wanita pertama parti itu di Johor untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mencetuskan spekulasi pelbagai pihak.

Perkara yang digusarkan termasuk kewibawaan wanita untuk dipertanggungjawabkan membawa masalah rakyat ke sidang DUN Johor selain timbang semak dasar yang dibahaskan oleh kerajaan negeri itu.

Umno-Barisan Nasional (BN) pada awalnya turut membidas PAS dengan mempertikai pendirian parti itu meletakkan calon wanita, namun kepimpinan PAS melihat ianya bukan halangan dengan menambah bilangan kepimpinan wanita yang ada mewakili parti itu.

Namun di sebalik kebimbangan yang berlegar di kalangan pemimpin dan masyarakat tentang kebolehan wanita, PAS menyatakan pendirian bahawa pilihan terbaik untuk calon wakil rakyat di daerah itu adalah seorang wanita.

Berpegang kepada peribahasa 'Tangan yang menghayun buaian boleh menggegar dunia' PAS akhirnya memilih Normala Sudirman Anak kelahiran Muar, Johor itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Kemelah dan kemudian mengikuti kursus perguruan di Maktab Tuanku Bainun.

Memegang jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat Johor dan Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Anak perempuan kepada Sudirman Suratman, bekas Ketua Peserta FELCRA dan bekas Pengerusi Koperasi FELCRA Sekijang dalam menifestonya ingin membawa suara rakyat tertindas khususnya peneroka-peneroka Felda di tiga tanah rancangan di daerah itu ke meja Dewan Undangan Negeri Johor.

Sepanjang 7 hari tempoh kempen PAS-Pakatan Rakyat di DUN Tenang, Normala diserang bertubi-tubi berhubung isu peribadi dan prinsip Islam yang dipegang beliau namun ianya tidak menjatuhkan semangat beliau untuk terus berkempen.

Justeru beliau turut dinobatkan sebagai 'Wanita Besi' oleh kepimpinan Pakatan Rakyat dalam sesi penerangan di sekitar bandar itu.

Parti komponen MCA yang diketuai Datuk Seri Chua Soi Lek menimbulkan isu berjabat tangan antara Normala dan kaum lelaki sebagai bahan kempen pada awalnya segera ditangkis Normala dengan menjelaskan kepada rakyat bahawa prinsip agama Islam yang dipertahankan beliau tidak perlu dipersoalkan mana-mana pihak.

Sejurus selepas itu, Normala turut dituduh mempertikai penjualan arak di kedai minum berbangsa Cina Tionghua di Pekan Labis oleh anak kepada Presiden MCA, Chua Tee Yong.

Namun tiada bukti yang dapat menyokong dakwaan tersebut.

Selepas Umno-BN tidak berjaya memperdagangkan isu agama dalam kempen mereka kini suami beliau, Makrof Abdul Mutalib menjadi sasaran.

Umno-BN mempersoal kesahihan sijil cuti sakit yang dikeluarkan doktor berhubung tekanan perasaan yang dihadapi beliau.



Tangan Yang menghayun Buaian Boleh mengegar Dunia

Justeru Normala dengan lantang mempertahankan suaminya daripada dikecam pihak tidak bertanggungjawab.

Terbaru, Umno-BN terus memperhebatkan serangan peribadi terhadap Normala apabila mengaibkan beliau kepada umum tentang latarbelakang perkahwinannya.

Kepimpinan PAS yang diketuai oleh Salehuddin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya mendesak agar Umno-BN menghentikan perbuatan tidak berperikemanusian itu.
Karisma sebagai pemimpin terserlah dalam diri Normala setelah membuktikan beliau disenangi setiap lapisan masyarakat majmuk di daerah Tenang.

Penerimaan kaum Cina Tionghua terhadap beliau sangat menggalakkan menerusi respon yang diterima pada kempen-kempen anjuran Pakatan Rakyat berikutan kepetahan Normala bertutur dalam bahasa Mandarin dan pandai berpidato.

Berbeza dengan calon Umno-BN, Azahar Ibrahim sejak dari awal tidak begitu disenangi masyarakat di DUN Tenang kerana kurang pandai berbicara dan sering kelihatan resah ketika berhadapan dengan masyarakat.

Ini ditambah dengan pendedahan oleh PAS di mana beliau terlibat dalam kes kecuaian melelong tanah Mansor Mohamad tanpa kebenaran kepada Rohana Mohd Ali dengan harga RM70 ribu ketika memegang jawatan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada tahun 2003.

Mahkamah Tinggi Muar Azahar membayar dengan kos kepada pemilik tanah pada tahun 2004.

Seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga, sejurus kemudian pembeli tanah tersebut , Rohana menfailkan tuntutan saman gantirugi sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2008 dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada 7 Februari nanti.

Selepas pendedahan ini, rakyat di DUN Tenang mula mendapat gambaran tentang karakter sebenar calon Umno-BN yang ingin diangkat menjadi wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah tanah di daerah tersebut.

Maka setelah dianalisa jelas membuktikan Normala semakin diterima oleh ramai pihak seraya didedahkan kepada orang ramai tentang keistimewaannya oleh para pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Kecekalan Normala mengharungi pahit getir pengalaman dilantik menjadi calon pilihanraya kecil DUN Tenang membuktikan beliau adalah individu yang paling sesuai untuk dipilih menjadi wakil rakyat pada hari pengundian esok.

Justeru keputusan pilihanraya kecil esok dilihat akan memberi implikasi besar bukan sahaja kawasan Tenang malah arena politik negara sekiranya PAS berjaya memperolehi kerusi tersebut.tvs

Related Posts

Calon wakil rakyat wanita pertama parti PAS di Johor
4/ 5
Oleh