Isnin, 27 Disember 2010

PerlantikanTan Sri Isa Samad untuk menjalankan misi membalas dendam terhadap peneroka.


SHAH ALAM 27 DIS : Perlantikan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan  Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baru adalah untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 'melangsaikan' wang simpanan agensi itu serta menjalankan misi membalas dendam terhadap peneroka.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata ianya juga untuk memastikan dan mengekalkan 46 kerusi Parlimen yang terletak di dalam kawasan tersebut kekal milik Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Saya rasa perlantikan Isa adalah tepat untuk melaksanakan misi yang kotor ini kerana orang lain tidak mampu, saya rasa pilihan ini merupakan pilihan yang bijak sebab Najib tahu keupayaan untuk melangsaikan wang-wang simpanan Felda dan sekaligus menjalankan misi membalas dendam terutama terhadap personaliti yang dikatakan meracuni fikiran peneroka-peneroka Felda.

"Kita merasa bimbang sekiranya peneroka dijadikan sasaran dan sekaligus antaranya membalas dendam dan yang kedua, untuk melakukan satu lagi penipuan untuk mempengaruhi dan menipu warga Felda, mungkin kepada peneroka, mereka buat cara baik tetapi kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwa mempengaruhi peneroka akan dilayan dengan kasar, mungkin ditangkap atau didakwa.

"Pilihanraya kali ini, 46 kawasan Parlimen akan ditentukan oleh peneroka Felda dan misi melantik Isa adalah untuk melengkapkan formula atau pun pelan yang tertinggal...barangkali khidmat akhir beliau sebelum hayat politiknya berakhir.

"Dia akan buat yang terbaik dan apa saja dengan matlamat seluruh kawasan peneroka (46 kawasan Parlimen) dijanjikan akan disapu bersih.


"Berapa perbelanjaan, kaedah cara macam mana...terpulang. Ini sebenarnya satu tugas yang tidak sanggup dilaksanakan oleh bekas Pengerusi Felda Tan Sri Dr Yusof Noor," ujar beliau.

Ujar beliau, Yusof barangkali tidak mahu menanggung dosa akibat daripada untuk melaksanakan misi tersebut.

Sementara itu, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata pihaknya membantah keras perlantikan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu sebagai memberikan imej yang buruk kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Beliau yang dihubungi TVSelangor berkata ianya juga memberikan kesan yang mendalam kepada warga Felda.



"Dalam keadaan kita bercakap soal ketelusan, integriti, penambahbaikan dan baru-baru ini diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bahawa kejayaan anak-anak peneroka yang belajar di peringkat PHD, mereka yang terlibat sebagai ahli akademik, profesional dan ahli perniagaan yang berjaya menerajui beberapa syarikat besar, tiba-tiba melantik seorang yang kita tahu reputasinya pernah terpalit semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

"Kemudiannnya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dengan banyak isu-isu kontroversi dan bertanding Naib Presiden Umno dan terpalit dengan politik wang. Bagaimana orang seperti ini yang dalam partinya sendiri sudah ditolak,dihukum dan orang ini juga telah 'expired' dalam politik.

"Tiba-tiba dilantik ke satu jawatan yang sangat penting khusus kepada kehidupan dua juta warga Felda yang 95 peratus adalah orang Melayu.

Tegasnya, di mana letaknya Felda yang digembar-gemburkan oleh Najib sebagai 1 Felda sebagai 1 Dunia, 1 Glokal dan 50 tahun akan datang dibawa ke pentas antarabangsa tetapi pada masa sama, melantik pemimpin yang korup sebagai tokoh yang terpenting di Felda.

"Apa kriteria yang mendorong sehingga kerajaan memilih Isa dalam keadaan kita mempunyai calon yang cukup ramai dan berwibawa.

"Kalau pun mereka tidak mahu ambil anak peneroka, saya rasa di luar sana saya fikir melambak-lambak ada. Apa pertimbangan kerajaan memilih beliau?," soal beliau.

"Saya ingin tekankan, kita bukan sahaja membantah tetapi sekirannya kerajaan tidak mahu mendengar pandangan kami atau pandangan rakyat, ANAK bercadang untuk mengeluarkan pungutan suara di mana tandatangan akan dipungut dari peneroka, generasi kedua dan ketiga yang mana akan diserahkan kepada Perdana Menteri mendesak kerajaan membatalkan perlantikan tersebut," ujar Mazlan.

Ujarnya lagi, jika bantahan itu tidak dihiraukan, ANAK bercadang mengadap Yang Di Pertuan Agong untuk campur tangan.

Related Posts

PerlantikanTan Sri Isa Samad untuk menjalankan misi membalas dendam terhadap peneroka.
4/ 5
Oleh