“DAH dekat nak pilihan raya ni, kita kenalah buka silat sikit-sikit. Saya suka main tai-chi, kerana saya orang tua. Tapi orang baru (generasi muda) kenalah buka silat harimau. Kita perlu mempersiapkan diri dengan isu yang timbul, apa lagi pilihan raya dah dekat."
Itulah bayangan paling hampir diluahkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sekali gus menguatkan lagi spekulasi kemungkinan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 diadakan dalam tempoh terdekat, meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang hanya berakhir Julai tahun depan.
Berikutan itu, Abdul Taib mengajak pemimpin dan tenaga muda dalam BN mula ‘buka silat’ mulai sekarang sebagai persiapan menjelang pilihan raya, bukan saja ketika berucap pada majlis ramah tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Zon Kuching malam 26 September lalu, malah di kebanyakan majlis dihadirinya sejak kembali dari luar negara, 25 September lalu.
Ketika berjumpa 3,000 masyarakat Cina di Kuching, Khamis lalu, Abdul Taib merayu sokongan kaum Cina kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) supaya suara mereka diwakili dalam kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas pilihan raya negeri akan datang.
Kelmarin, di Miri dan di Asajaya, beliau sekali lagi mengajak semua penyokong BN bertindak ibarat seorang pesilat yang sentiasa membuka mata seluas-luasnya untuk melihat gerakan lawan supaya mereka dapat menjangka daripada awal setiap gerakan yang boleh menggugat kedudukan BN.
Sejak sembilan hari pulang daripada percutian singkat di luar negara, tidak kurang 17 majlis dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu, sekali gus menguatkan lagi hujah betapa pilihan raya negeri kini semakin hampir.
Namun, setiap kali ditanya pemberita bila pilihan raya negeri akan diadakan, Abdul Taib sekadar berseloroh, meminta media memberikan beliau ilham, namun menegaskan pilihan raya Sarawak kali ini akan diadakan pada ‘suatu hari Sabtu’.
Segala tumpuan kini terarah kepada Abdul Taib dengan bahang pilihan raya negeri Sarawak sudah semakin terasa di seluruh pelosok Bumi Kenyalang. Malah ada yang membuat congakan kemungkinan DUN Sarawak bakal dibubarkan selepas sidang DUN bagi membentangkan Bajet 2011, yang dijadual bermula pada 1 November ini.
Kepulangan Abdul Taib yang sudah 29 tahun menerajui Sarawak dan 47 tahun aktif dalam politik yang disambut dengan sorakan 'Hidup Pehin Sri' oleh lebih 7,000 penyokong di Hangar Hornbill Skyway di Kuching pada 25 September lalu, dengan sebahagiannya memakai lilitan merah bertulis ‘Hidup Pehin Seri’, sudah cukup menaikkan bulu roma dan menguatkan lagi tanda-tanda betapa pilihan raya negeri semakin dekat.
Tidak sekadar begitu ligat turun padang sekembalinya dari luar negara dan selepas mengisytiharkan beliau akan terus menerajui Sarawak dan berkemungkinan besar akan mempertahankan kerusi Balingian, malah nada ucapan Presiden PBB itu sendiri membayangkan pilihan raya negeri, akan diadakan pada bila-bila masa.
Selain menghadiri banyak majlis di Kuching sejak pulang dari luar negara sembilan hari lalu, Abdul Taib sudah ke Betong, Sibu, Asajaya, dan semalam beliau kembali semula ke Sibu sebelum berada di Mukah pada sebelah petangnya. Antara dua ke tiga acara dihadiri Abdul Taib yang masih kelihatan begitu cergas biarpun usianya sudah menjangkau 74 tahun.
Ada yang meramalkan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 akan diadakan antara penghujung November atau Disember tahun ini, namun ada juga yang menjangka ia akan diadakan antara Mac atau April tahun depan, kira-kira tiga bulan sebelum berakhirnya tempoh DUN Sarawak sekarang dan selepas genap 30 tahun Abdul Taib menjadi Ketua Menteri, iaitu 26 Mac 2011.
Setiausaha DUN Sarawak, Abang Othman Abang Fata, berkata sidang DUN Sarawak yang akan membentangkan Bajet 2011 dijangka diadakan pada awal November ini, namun tarikh sebenar belum ditetapkan. Bagaimanapun difahamkan ia akan bermula 1 November sehingga 10 November.
Ada pihak meramalkan Abdul Taib akan membubarkan DUN ketika sidang berkenaan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-10.
Kalau dicongak tempoh akhir DUN sekarang pada 24 Julai 2011 pun, bukanlah lama sangat dari sekarang, hanya berbaki kurang 10 bulan. Justeru sama ada pilihan raya negeri diadakan akhir tahun ini, atau tahun depan, ia tetap sudah dekat apa lagi untuk semua parti politik membuat persiapan akhir.
Sejarah pilihan raya negeri Sarawak yang lalu pernah menyaksikan ia diadakan setahun lebih awal atau enam bulan lebih awal atau paling dekat pun tiga bulan lebih awal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa bagi menentukan kedudukan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh Sarawak.
Berdasar perkembangan terkini, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir, meramalkan pilihan raya negeri mungkin akan diadakan Disember depan.
Katanya, isu kepemimpinan Abdul Taib yang sudah 29 tahun menerajui Sarawak dipercayai akan dimanupulasi sepenuhnya oleh pembangkang dan ia dijangka menjadi isu pokok pada pilihan raya kali ini, selain isu tanah hak adat Bumiputera (NCR).
Namun BN, katanya, dijangka tidak berdepan masalah untuk terus membentuk kerajaan negeri di Sarawak, cuma dari segi jumlah kerusi dan majoriti mungkin berkurangan.
Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah, pula berkata pihaknya hanya menunggu untuk DUN dibubarkan dan sentiasa bersiap sedia sepanjang masa untuk mengendalikan pilihan raya negeri.
Namun, difahamkan ada parti komponen BN Sarawak yang menjemput SPR untuk memberi ceramah dalam kursus pilihan raya yang mereka adakan sehingga penghujung Disember nanti dan ini dengan sendirinya menunjukkan kemungkinan pilihan raya bukan diadakan dalam tahun ini, sebaliknya tahun depan.
Pada masa sama, Abdul Taib dikatakan menggemari nombor sembilan atau dua nombor yang dicampur bersamaan dengan sembilan. Jika diambil kira bayangan yang pernah beliau berikan bahawa pilihan raya negeri akan diadakan pada suatu hari Sabtu tarikh paling awal untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak jika diadakan tahun ini ialah pada 27 November atau 18 Disember.
Namun, ada yang mempersoalkan waktu itu sebagai musim tengkujuh yang menyukarkan gerakan berkempen, selain cuti panjang persekolahan yang menyebabkan ramai orang mungkin bercuti ke luar negara. Malah, ramai lagi yang masih mengerjakan haji di Tanah Suci ketika itu. Ia satu lagi faktor yang menguatkan hujah bahawa kemungkinan pilihan raya negeri hanya akan diadakan tahun depan.
Daripada sembilan pilihan raya negeri diadakan sejak 1969, lima diadakan pada September, dua pada Mei, masing-masing satu pada Disember dan April. Justeru pilihan raya negeri Sarawak berkemungkinan besar hanya akan diadakan antara Mac atau April 2011.
Apapun semua pemimpin parti komponen BN Sarawak menyatakan mereka sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri ke-10.
Pengerusi SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom - sepakat mengatakan mereka sudah bersiap sedia sekalipun pilihan raya akan diadakan esok.
BN dijangka akan mengekalkan formula sebelum ini dengan PBB sebagai parti tonggak akan mempertahankan 35 kerusi yang disandangnya, SUPP dijangka bertanding di 19 kerusi, PRS (sembilan) dan SPDP (lapan).
Pilihan Raya Negeri Sarawak dah dekat
4/
5
Oleh
Admin