DAMANSARA 6 OKT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui penelitian video mengesan beberapa bekas ahli parti dan orang luar mendalangi kekecohan di beberapa cabang, kata Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasuiton Ismail, hari ini.
Katanya, parti mengenal pasti individu yang dikenali sebagai Abdul Razak Halidi, seorang bekas ahli terlibat dalam kekecohan di cabang Kuala Langat manakala beberapa individu bukan ahli mengganggu proses pemilihan di tiga cabang lain.
"Pejabat PKR meneliti berulang kali rakaman video dan mengesahkan bahawa mereka bukan anggota Parti Keadilan," jelas beliau.
Bercakap pada sidang media, beliau berkata, parti sudah membuat laporan polis dan menggesan pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas.
Saifuddin menambah faktor logisitik adalah punca utama di sembilan buah cabang yang tidak dapat menyempurnakan proses pemilihan namun beliau percaya 196 cabang yang lain membuktikan kejayaan PKR melalui sistem undian langsung yang dilaksanakan.
Beliau turut mengumumkan mesyuarat agung cabang-cabang yang tertangguhkan akan dilaksanakan pada minggu terakhir pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermula pada 29 Oktober sehingga 21 November, merangkumi cabang Kuala Nerus, Jerai, Merbok, PJ Selatan dan Hulu Selangor.
Katanya, mesyuarat agung cabang Klang, Kapar, Kuala Langat dan Subang akan dilaksanakan selepas pemilihan MPP.
Saifuddin menambah pemilihan semula cabang kali ini akan memperlihatkan ahli akan mengundi dua kali iaitu undian bagi pimpinan cabang dan pimpinan MPP.
"Saya mengaku cabang yang akan diadakan semula sebelum kongres, pengundiannya akan diadakan dua kali. Mereka akan mengundi umpama memilih DUN dan Parlimen dalam pilihanraya," ujar beliau.
Beliau turut mengulas peranan media perdana yang hanya gemar terhadap berita sensasi kekecohan yang berlaku di beberapa buah cabang sekitar negara.
Dalam pada itu Saifuddin turut menjemput calon-calon MPP untuk mengemukakan borang pengesahan bertanding di ibupejabat PKR pada 16 Oktober nanti selain diberi peluang untuk bertemu media membentangkan agenda untuk parti pemilihan berlangsung.
sumber:TVselangor
Orang luar mendalangi kekecohan
4/
5
Oleh
Admin