KUALA LUMPUR 21 Okt : Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan Umno seperti 'meludah ke langit, yang akhirnya jatuh ke muka sendiri' apabila mengatakan bahawa orang Melayu perlu menghapuskan amalan dan sikap untuk meminta-minta dari kerajaan.
"Siapakah yang membawa perangai, sistem dan tabiat itu? Adakah ia dibuat oleh parti-parti lain? Mereka (Umno) yang mendapat faedah dari dasar itu. Rakyat tidak dapat apa yang diminta, tetapi menerima hukuman pula," katanya.
Beliau yang ditemui di perkarangan Dewan Rakyat mengatakan bahawa, ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno hanyalah semata-mata retorik, dan hanya untuk menunjukkan kepada umum bahawa beliau seolah-olah pejuang Melayu yang tulen.
Abdullah mendedahkan, kebanyakan orang Melayu sebenarnya yang terhimpit dengan tekanan kehidupan. Dalam masa yang sama, kelompok kelas bawahan Melayu ini juga tidak menerima secara langsung limpahan ekonomi dari dasar yang diuar-uarkan oleh kerajaan.
"Adakah mereka dapat 30 peratus dari peruntukan keusahawanan. Adakah mereka menerima terus hasil dari Rancangan Malaysia Ke-10?
"Ini adalah jawapannya. Yang meminta-minta itu adalah suku sakat, kroni, adik beradik dan sahabat handai, serta mereka yang terlibat secara langsung dengan pemimpin Umno," jelas Abdullah.
Abdullah mengatakan, kelompok tersebut yang sebenarnya terus meminta-minta dari kerajaan, selama sepanjang 53 tahun kemerdekaan negara. Bukannya keseluruhan orang Melayu di negara ini.
"Inilah budaya Umno daripada dulu sampai sekarang. Semua orang Umno begini. Ini merupakan temberang besar," kata Abdullah.
Beliau menjelaskan, orang Melayu tidak lagi perlu bergantung kepada Umno kerana parti tersebut telah kehilangan hala tuju.
"Umno telah kehilangan posisi untuk memerintah, dan Umno memainkan sentimen perkauman untuk menakutkan rakyat.
"Rakyat sudah cerdik. Mereka tahu mana yang benar, mana yang palsu," jelasnya.
(sumber TV sel)
Meludah ke langit jatuh ke muka sendiri
4/
5
Oleh
Admin