Rabu, 20 Oktober 2010

Kenaikan tarif air

                                                           
PADA pendapat saya, isu kenaikan tarif air di negeri Kedah dan Pulau Pinang yang dibahas dan ditentang oleh pihak-pihak tertentu adalah berasaskan kepentingan politik semata-mata.

Kita seperti tidak menghargai kepentingan air di dalam kehidupan kita hari ini. Kenaikan yang cuma sedikit sahaja diheboh-hebohkan seolah-olah rakyat tidak mampu membayarnya.

Seperti yang telah dijelaskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah, kenaikan tarif air adalah wajar untuk menampung kenaikan kos kewangan, rawatan dan penghantaran air.

Pengguna yang berhemat tidak dikenakan kenaikan tarif, hanya pengguna yang menggunakan jumlah air yang melebihi penggunaan biasa yang akan dikenakan kenaikan.

Sistem ini dengan sendirinya akan menggalakkan pengguna untuk berjimat dan tidak membazir. Sistem ini juga telah lama digunakan di negara-negara maju.

Rakyat Malaysia hari ini menggunakan air jauh lebih banyak dibandingkan dengan rakyat negara lain. Kebanyakan kita tidak tahu menghargai air dan ramai yang tidak sayang membazirkan air. Mungkin kerana harganya masih murah.

Kita hanya akan benar-benar menghargai air, jika bekalan air di rumah kita terputus. Seperti kata perumpamaan, 'hanya orang yang sedang sakit yang akan tahu betapa mahalnya harga sebuah kesihatan.'

Pengguna air di negeri Selangor yang mendapat bekalan air percuma 20 meter padu setiap bulan tidak sedar bahawa mereka sedang membazirkan komoditi yang sangat berharga.

Mungkin ramai yang berbangga dengan air percuma itu, tetapi mereka lupa wang sebanyak RM11 juta sebulan atau kira-kira RM120 juta setahun yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri Selangor untuk program air percuma itu adalah wang rakyat yang diperolehi daripada hasil-hasil lain kerajaan negeri, bukan dari poket Menteri Besar dan ahli-ahli Exconya. Dengan kata lain, wang daripada rakyat negeri Selangor sendiri.

Oleh kerana ia percuma, air digunakan sesuka hati. Setiap bulan dan tahun wang untuk air percuma itu habis tanpa ada kesannya.

Alangkah baiknya jika wang sebanyak itu digunakan oleh kerajaan negeri untuk membiayai pembinaan kemudahan awam atau infrastruktur air yang manfaatnya mungkin akan kekal sehingga 30 atau 40 tahun akan datang.

Bagi sebuah sistem kerajaan yang baik dan berkebajikan, wang kerajaan seharusnya dibelanjakan antara lain untuk pembinaan atau pembelian kemudahan awam seperti masjid, sekolah, jalan raya, jambatan, loji rawatan air dan seumpamanya yang tidak boleh di bina oleh rakyat secara bersendirian.

Perbelanjaan persendirian yang dipakai habis seperti membayar bil air, telefon, elektrik, tol, minyak petrol dan sebagainya seharusnya dibayar sendiri mengikut kadar penggunaan masing-masing.

Jika kerajaan prihatin terhadap golongan rakyat yang kurang bernasib baik dan kurang kemampuan, maka hanya mereka yang berkenaan saja harus dibantu.

Saya yang tinggal jauh dari Selangor dan di negeri ini tidak mempunyai program air percuma bukanlah iri hati dengan rakyat negeri Selangor.

Bil air saya tidak semahal bil elektrik atau bil televisyen berbayar dan tol.

Tetapi saya cuma ingin mengingatkan rakan-rakan di negeri Selangor, jika anda terus membazirkan air dan khazanah kerajaan negeri, suatu hari nanti anda mungkin terpaksa membayar dengan harga yang jauh lebih mahal dari kami.

dari:Anak Tanjung Balik Pulau

Related Posts

Kenaikan tarif air
4/ 5
Oleh