Ahad, 5 September 2010

Zam kata,Tunku kata Melayu...........

PUTRAJAYA 5 Sept. - Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini menegaskan kenyataan beliau bahawa pemimpin PAS telah meminta Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman merampas harta orang-orang Cina selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei, 1969, bukan sesuatu yang baru.
"Ini bukanlah suatu kenyataan baru tetapi telah diberitahu oleh Tunku dalam pertemuan eksklusif saya dan Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi, dengannya lebih 40 tahun dahulu,” katanya ketika mengulas laporan polis terhadap beliau berhubung kenyataannya itu.

Zainuddin yang juga dikenali dengan panggilan “Zam” turut menunjukkan gambar temu bual beliau dengan Tunku kepada pemberita di kediamannya di sini. Ketika itu, Zainuddin merupakan wartawan di Utusan Melayu.
Mengimbau pertemuan dengan Tunku Abdul Rahman ketika itu, beliau berkata: “Apabila kami masuk menemui Tunku di pejabatnya di Jalan Dato Onn beberapa bulan selepas kejadian 13 Mei, Tunku memberitahu bahawa seorang pemimpin PAS baru sahaja keluar dari menemuinya dan dia telah menyatakan kepada Tunku: ‘Inilah masanya untuk tentera merampas kuasa dan mengambil alih semua harta benda orang Cina.’”
Beliau kemudian telah bertanya kepada Tunku : “Apa kata Tunku, dan jawab Tunku... gila, orang susah payah mencari harta tiba-tiba kita hendak rampas dan lagipun orang Melayu bukan tahu berniaga.”
Zainuddin berkata, kenyataan Tunku Abdul Rahman itu telahpun tersiar dalam akhbar itu dan juga tercatat dalam buku “Di Sebalik Jendela Utusan” yang diterbitkan bersempena dengan Utusan Melayu 50 Tahun pada Mei 1989 dan diulangi di dalam beberapa tulisan beliau berikutnya.

Related Posts

Zam kata,Tunku kata Melayu...........
4/ 5
Oleh