Isnin, 27 September 2010

Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim di tunda lagi


                                                          

PUTRAJAYA 27 Sept. - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi semakan semula pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 1998 ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.


Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tiga hakim menunda perkara itu berikutan kekeliruan berhubung arahan Ketua Hakim Negara sama ada kes Anwar perlu didengar bersama satu kes lain oleh kerana isu-isu yang bakal dikemukakan adalah serupa.

Karpal Singh memberitahu mahkamah bahawa Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi telah mengarahkan pada 21 September supaya kes Anwar didengar bersama kes pemecatan seorang pegawai kerajaan Ahmad Jefri Mohd. Jahri @ Md Johari, yang bertugas (pada ketika itu) di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, cawangan Johor.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi arahan supaya kes Ahmad Jefri dikeluarkan diri pendengaran hari ini.

Arifin yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar menangguhkan perkara itu berikutan permohonan oleh Karpal, yang menyatakan bahawa beliau belum bersedia mengendalikan kes secara berasingan.

Karpal Singh berkata, beliau beranggapan kedua-dua kes akan didengar bersama dan tidak tahu kes itu akan didengar berasingan.

Anwar mahukan Mahkamah Persekutuan mengkaji semula keputusannya sendiri yang disampaikan pada 8 Mac tahun ini yang memutuskan bahawa pemecetannya itu adalah sah.

Anwar gagal dalam usahanya di kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan memecat menteri kabinetnya dan beliau telah mematuhi perlembagaan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pemecatan Anwar.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa pemecatan itu tidak sah dan melanggar perlembagaan di samping memohon ganti rugi, yang akan dinilai oleh pendaftar, menggantikan pengembalian jawatan.

Related Posts

Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim di tunda lagi
4/ 5
Oleh