Ahad, 15 Ogos 2010

Tiga sasaran utama BN

Selepas menerima tamparan dan kejutan dalam pilihan raya ke -12, BN telah menjalankan pelbagai usaha untuk memulihkan imejnya, merampas semula negeri yang terlepas ketangan Pakatan Rakyat, mengembalikan sokongan rakyat, memastikan parti itu terus menguasai kerajaan pusat selepas pilihan raya ke-13. Ada diantara usaha tersebut yang berjaya, sebahagiannya tidak membuahkan hasil yang diharapkan sementara yang lain masih giat diusahakan.

Usaha gigih BN untuk merampas semula negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat berjaya di Perak setelah tiga orang ahli Dewan Undangan Negeri Perak meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyokong BN.

Usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat agar dapat berkuasa semula di Selangor dan Kedah serta menggoncangkan Pulau Pinang telah dibuat dengan cara memujuk PAS agar meninggalkan Pakatan dan bekerjasama dengan BN. Cubaan ini telah dilakukan sebaik sahaja berakhirnya pilihan raya ke-12 yang lalu dan kebelakangan ini idea tersebut nampaknya dikitar semula. Kalau diumpamakan seperti burung, satu sayap Pakatan Rakyat hilang sekiranya PAS meninggalkan pakatan pembangkang itu. Kemungkinan besar burung tersebut akan terus hidup, tetapi tidak berupaya untuk terbang lagi.

Disamping cuba memikat pucuk pimpinan, BN telah melaksanakan langkah-langkah yang lebih giat lagi untuk memujuk rakyat agar kembali menyokong BN. Walaupun dalam aspek tertentu terdapat persamaan, tetapi kalau diperhalusi dapat dikesan perbezaan berdasarkan kaum dalam pendekatan BN untuk menawan hati rakyat.



Bagi mendapatkan semula sokongan orang Melayu, BN nampaknya lebih menekankan kepada emosi, sejarah lampau dan retorik. Orang Melayu didendangkan dengan isu yang berkaitan dengan ketuanan Melayu, agama Islam, kedaulatan raja-raja, perpaduan Melayu, ancaman bukan Melayu, juara rakyat dan sebagainya.

Orang Melayulah yang paling ramai hadir dan paling kuat pekikannya dalam majlis yang melaungkan slogan dan retorik yang tujuan utamanya untuk membangkitkan emosi dan semangat orang Melayu agar terus bersatu dan terus bernaung dalam parti yang didakwa menjadi penyelamat bangsa Melayu iaitu UMNO.




Tenggelam dalam pekikan retorik yang bergema dan lemas dalam arus emosi yang meluap-luap, orang Melayu seakan tidak sedar bahawa satu persatu keistimewaan yang mereka nikmati sebelum ini telah dihakis. Sebagaimana kisah Pak Kaduk dalam sastera rakyat, orang Melayu hanyalah menang sorak.

BN juga sedar bahawa perkembangan politik semasa membuatkan parti lawannya lebih berhati-hati dalam menangani isu ini. Dalam suasana politik yang tidak menentu dan sokongan pelbagai kepentingan dan etnik diperlukan untuk memenangi kebanyakan kawasan pilihan raya, maka hampir semua parti politik memilih untuk mendiamkan diri, dan bukannya bersuara mempertahankan kepentingan orang Melayu. Isu yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, status bumiputera sebagai penduduk asal negara ini seolah-olah menjadi isu yang dianggap taboo, terlarang dan terlampau. Malahan membangkitkan isu inipun boleh dianggap sebagai perkauman, apatah lagi mempertahankannya serta memperjuangkannya.

Bagi mendapatkan sokongan orang bukan Melayu, BN telah menyajikan mereka dengan pelbagai bentuk kemudahan, insentif, bantuan, peluang dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan, ekonomi dan sosial. Semuanya membawa kesan positif yang jelas hasilnya kepada golongan sasar.

Layanan yang kadangkala cukup mesra dan cukup istimewa kebelakangan ini tentunya memberi faedah dan menguntungkan terutamanya dari segi material. Lebih manis lagi, faedah dan keuntungan itu diperolehi tanpa pekikan slogan dan retorik. Begitu terdesaknya BN ingin mendapatkan sokongan orang bukan Melayu dapat dilihat selepas pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu. Selepas ditolak oleh orang bukan Melayu dalam kedua-dua pilihan raya itu, walau ditabur janji bernilai jutaan ringgit, BN terus meningkatkan lagi usaha untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu dengan pelbagai insentif dan dasar yang memberi faedah kepada mereka.

Oleh itu dapatlah dilihat bahawa tiga sasaran utama BN – parti politik, kepimpinan dan rakyat - telah dan akan menjadi tumpuan bagi mempastikan parti itu terus menguasai Putrajaya selepas pilihan raya ke-13 nanti.

Perpaduan parti politik yang membentuk pakatan pembangkang akan terus cuba dipecahkan atau sekurang-kurangnya diporakperandakan sehingga rakyat keliru dan pakatan itu menjadi tidak efektif.

Pemimpin parti, khususnya wakil rakyat akan terus didekati dan dipujuk agar meninggalkan pakatan pembangkang. Bagi sesetengah wakil rakyat, inilah ujian dan dugaan yang sangat besar kepada mereka, malah lebih besar daripada ujian untuk memenangi pilihan raya yang lalu.

Di kalangan rakyat pula, sebahagiannya akan terus didendangkan dengan slogan dan retorik kosong, tanpa makna dan tanpa faedah. Sebahagian yang lain pula akan terus disajikan dengan pelbagai dorongan yang memberi faedah dan keuntungan yang nyata.

Ghazali Mayudin adalah mantan Prof Madya, Program Sains Politik, UKM



[sumber utama]

Related Posts

Tiga sasaran utama BN
4/ 5
Oleh