Home » » kontroversi khutbah solat jumaat akan di jelaskan esok

kontroversi khutbah solat jumaat akan di jelaskan esok

Written By kiff isme on Isnin, 23 Ogos 2010 | Ogos 23, 2010

 Khatib yang mencetuskan kontroversi dengan mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah kedua solat jumaat di beberapa masjid di negeri ini, dijangka memberi penjelasan berhubung perkara itu esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria berkata, Zakaria Ahmad akan membuat penjelasan itu kepada barisan panel termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan MAIPP.

"Alhamdulillah, individu yang dilibatkan itu juga telah membuat pengakuan tentang beliau yang membaca doa yang disebut itu dan bagi pihak kami pula akan mendengar penjelasannya esok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ellias berkata, walaupun segala maklumat yang diperlukan sudah dikumpul, namun sehingga hari ini, MAIPP dan JHEAIPP masih belum memperoleh ayat atau perkataan sebenar yang digunakan Zakaria dalam khutbah tersebut.
Katanya, Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad yang juga pengerusi jawatankuasa bertanggungjawab menyediakan teks khutbah Jumaat di negeri itu, tidak akan menghadiri sesi tersebut kerana mempunyai urusan lain.

Sesi penjelasan itu akan diadakan 2.30 petang di Pejabat JHEAIPP di Bangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) yang terletak di Lebuh Pantai di sini.

Semalam, Zakaria mengakui tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doanya pada khutbah berkenaan.

Beliau memberi alasan bahawa beliau mendoakan kesejahteraan semua pemimpin dalam khutbah kedua solat Jumaat itu, termasuklah Yang di-Pertuan Agong.

Minggu lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat yang dikesan di beberapa masjid di sekitar Permatang Pauh dan Jelutong. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.