Rabu, 25 April 2012

Saifuddin dakwa Misi Shafee Luar Negara ada Kaitan Kes Scorpene

Saifuddin dakwa Misi Shafee Luar Negara ada Kaitan Kes Scorpene

Reaksi Datuk Mohamad Shafee Abdullah dalam isu memohon penangguhan kes yang dikendalikannya bagi membolehkan beliau menjalankan suatu misi sulit di luar negara tidak menjelaskan apa-apa.

Sebaliknya reaksi beliau lebih banyak menimbulkan persoalan adakah misi sulit beliau di luar negara itu melibatkan inkues kes komisen pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berlangsung di mahkamah Perancis yang melibatkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak sebagai saksi.

Demikian persoalan yang diajukan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu hari ini.

“Malangnya penjelasan beliau bahawa berita tersebut adalah mengarut dan langsung tidak menjawab isu pokok, malahan mengundang lebih banyak persoalan.

“Shafee hanya perlu menjawab jika benar beliau ada berkunjung ke Paris sepertimana beliau nyatakan dalam surat itu adakah ianya punya kaitan dengan perbicaraan kes pembelian kapal selam scorpene yang turut membabitkan PM yang dinamakan sebagai saksi,” kata saifuddin.

Menurut Saifuddin, Shafee hanya perlu menjawab beberapa persoalan yang dikemukan berhubung pemergian beliau ke luar negara dari 1 April hingga 25 April.

“Shafee hanya perlu menjawab samada beliau ada menghantar surat bertarikh 23 Mac 2012 kepada ketua hakim negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya memohon penangguhan kes mulai 1 April hingga 25 April dan memberikan salinan kepada PM dan isterinya, Datin Paduka Rosmah Mansor.

“Shafee hanya perlu jawab samada beliau ada menyatakan dalam surat tersebut bahawa beliau telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menguruskan suatu tugasan perundangan sensitif di luar negara yang mesti diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Dalam sidang akhbar itu, PKR turut mencabar agar Shafee berani menyatakan kebenaran berhubung isu ini.

“Memetik kata-kata beliau, “if only they know the truth” kita mencabar Shafee tanpa perlu berbelit-belit, nyatakan apakah ‘kebenaran’ yang beliau sembunyikan itu,” kata Saifuddin.

Dalam sidang media yang sama, PKR turut menuntut Najib turut memberikan penjelasan adakah benar kerajaan telah melantik Shafee sedangkan sepatutnya tugasan ini dijalankan oleh Peguam Negara atau lebih wajar Najib dan Rosmah melantik peguam peribadi.

Saifuddin menjelaskan PKR akan memohon agar Majlis Peguam merujuk Shafee sebagai kes pelanggaran disiplin sekiranya Shafee dan Najib gagal memberikan jawapan berhubung isu terbabit.

“Kiranya Shafee tidak dilantik Kerajaan Malaysia, tidak juga sebagai peguam peribadi PM dan isteri dan langsung tidak berada di New York, London, Dubai, Paris dan Basel sepertimana dalam alasan penangguhan kes beliau, kita mendesak PM membuat aduan kepada Majlis Peguam supaya tindakan dapat diambil ke atas Shafee.

“Kiranya PM terus berdiam, maka PKR memohon kepada Majlis Peguam untuk merujuk Shafee sebagai suatu kes pelanggaran displin,” ujar Saifuddin lagi.

Related Posts

Saifuddin dakwa Misi Shafee Luar Negara ada Kaitan Kes Scorpene
4/ 5
Oleh