Langkau ke kandungan utama

Umno dan Politik rempit

Kita sebagai anggota masyarakat menyedari kewujudan golongan anak muda yang menggunakan motosikal sebagai alat untuk melepaskan perasaan atau tekanan perasaan yang berpunca dari keadaan tempat kerja, sekolah atau keluarga.

Siapa Mat Rempit

Kita amat bersimpati kepada golongan ini yang rata-ratanya anak muda Melayu. Umumnya golongan ini bukanlah dari mereka yang berpendidikan tinggi atau keluarga mewah, sebaliknya mereka yang terkandas di peringkat sekolah menengah atau yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Mat Rempit juga merupakan golongan dari keluarga miskin bandar dan dari keluarga luar bandar. Mereka merempit siang dan malam, selain berpunca dari tekanan hidup, majoriti mereka ini sekadar ingin berseronok dan ada pula yang sudah ketagih.

Tetapi, kita juga sedar bahawa ada segelintir dari mereka yang memang ada bakat menunggang dan menyimpan cita-cita untuk menjadi pelumba profesional.

Namun, dari segi jumlah dan faktor persekitaran, maka niat itu selalunya gagal dicapai. Dilema ini mengundang pelbagai rantaian masalah yang tak kunjung selesai.

Nikmat merempit

Memulas throttle minyak dengan kelajuan yang maksimum, berserta deruman bunyi ekzos motor yang berdemping kuat akan mudah menarik perhatian orang ramai kepada gelagat mereka. Kebisingan dan kelajuan ini akan bertambah hebat apabila semua mata tertumpu melihat aksi mereka. Inilah antara perhatian yang amat diinginkan oleh para Mat Rempit.

Malah ia akan lebih seronok dan ghairah apabila ada polis yang membuat sekatan jalan raya semata-mata kerana Mat Rempit. Suasana kesesakan jalan ketika road block akan menimbulkan semacam kebanggaan di hati Mat Rempit.

Keadaan ini akan lebih teruja apabila ada adegan polis trafik mengejar Mat Rempit, dan tentunya nikmat kemuncak golongan ini tercapai apabila berjaya melepaskan diri dari sekatan polis. Inilah dunia Mat Rempit.

Mereka bukan saja berani dan mahir dengan teknik menunggang malah mereka kreatif mengubah suai motosikal. Segala jenis alat ganti semuanya mereka tahu. Pendek kata, hal motosikal di hujung jari mereka saja.

Manja menuntut perhatian

Namun sayang sekali, kreativiti ini biasanya akan berakhir seperti bakat mengubah suai mercun hari raya tanpa memahami asas fizik dan kimia, biasanya tangan dan jari yang putus, kalau pun tidak disambar maut. Lebih buruk lagi, nyawa orang lain yang tidak berdosa pula yang melayang.

Secara asasnya, golongan ini manja mahukan perhatian. Sama seperti golongan artis dan ahli politik yang amat dahagakan perhatian umum, Mat Rempit mahu masyarakat menghargai dan menghormati mereka.

Mereka juga mahu kemahiran mereka mengendalikan aksi-aksi stunt di jalan raya diiktiraf dan dipuji oleh masyarakat termasuk pihak berkuasa.

Hakikatnya, niat mereka tidak banyak beza dengan manusia lain yang mahu diberi perhatian. Tetapi, sekali lagi, niat mereka ini tidak terzahir seperti yang diharap dek kerena sikap, mentaliti dan bakat yang disalahgunakan.

Ia tidak ubah seperti anak kecil yang nakal dan ‘buas’ sehingga pecah dan rosak barangan dalam rumah semata-mata mahu menarik perhatian ibu bapa yang biasa sibuk dengan tugas seharian. Jika tidak diendahkan keluarga, ‘buas’ mereka akan dijaja di sekolah pula.

Politik rempit sembrono

Kini, kelompok-kelompok politik yang gila kuasa, korup dan amat terdesak telah mula mencari jalan untuk memanipulasi minda Mat Rempit yang hanya ketagihkan perhatian. Golongan ini telah mempergunakan Mat Rempit sebagai alat untuk menjustifikasikan tindakan politik kasar, hodoh dan jahil.

Ia merupakan gaya mainan politik keji yang baru dengan menggabungkan politik fitnah yang sudah menjadi darah daging golongan terdesak itu. Ia dinamakan sebagai politik rempit – memanipulasi minda anak muda yang gila merempit.

Inilah yang berlaku beberapa hari lalu di Pulau Pinang. Bila insan waras melihatnya, mahu tertawa pun ada, mahu menangis pun ada.

Sifat asas politik rempit ini masih sama dengan kerja merempit. Mereka sekadar mahu perhatian dengan cara yang mengundang bahaya dan kekecohan kepada masyarakat umum. Kreativiti politik jenis ini hanya untuk mahu memuaskan nafsu politik mereka.

Kononya, dengan bertindak sedemikian, mereka berharap masyarakat akan membenci kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan PAS.

Niat mereka mahu masyarakat melihat kononnya Mat Rempit adalah mangsa dasar kerajaan negeri. Dengan cara yang sembrono seperti merempit juga mereka cuba mengungkap keinginan mereka dengan cara sensasi dan ‘gempak’.

Sama seperti pecutan motosikal yang memecut laju dan mengambil selekoh maut dengan gaya yang paling sembrono tanpa mempedulikan pandangan masyarakat kepada mereka sendiri.

Mungkinkah kejadian kumpulan Mat Rempit menguasai jalan raya di pusat Bandar Georgetown baru-baru ini dibayangi oleh UMNO-BN?

Seperti biasa, UMNO cepat-cepat menafikannya.

Politik rasis konspirasi siapa

Tetapi semua orang tahu kerja-kerja menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang dengan ayat-ayat dan perkataan-perkataan tertentu datangnya dari pihak mana. Fitnah zalim yang dilontarkan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang semakin menjadi-jadi sejak pilihan raya umum 2008.

Mungkinkah kumpulan Mat Rempit berkenaan mempunyai begitu banyak wang sehingga mampu menyediakan t-shirt dengan slogan “Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis” serta sepanduk-sepanduk besar yang turut menuntut supaya “Selamatkan Mat Rempit” dan mahu disediakan litar lumba motosikal?

Jika golongan Mat Rempit ini benar-benar ikhlas mahukan litar lumba untuk golongan mereka, mintalah seperti mana orang lain yang inginkan sesuatu dari kerajaan negeri.

Mengapa perlu mengaitkan permintaan mereka dengan slogan yang bukan-bukan seperti ‘LGE Rasis’? Apa kaitan permintaan litar lumba dengan tuduhan ‘rasis’? Jika Pulau Pinang tiada litar lumba, maka mengapa Pulau Pinang perlu ‘diselamatkan’? Diselamatkan dari apa, dari siapa?

Adakah Pakatan Rakyat Pulau Pinang pernah berjanji dalam manifestonya untuk membina litar lumba untuk Mat Rempit atau pelumba motosikal Melayu sahaja?

Atau selepas ini Mat Rempit seluruh negara akan bermaharajalalela di jalan raya untuk menuntut perkara yang sama di negeri-negeri seperti Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan sebagainya?

Bayang-bayang UMNO-BN

Modus operandi ini sudah menceritakan dari mana gaya politik sebegini datang. Kita masih tidak lupa bagaimana demonstrasi haram yang pernah dibuat oleh beberapa pihak termasuk Senator Ezam Mohd Noor yang pernah memberi amaran mahu membakar pejabat portal media bebas kerana tidak sependapat dengannya.

Semua ini adalah gaya politik rempit yang terlalu hangit bau UMNO-BN. Tidak kira sama ada mereka mencipta kumpulan-kumpulan mi segera, hakikatnya kebanyakan mereka adalah dari parti satu kaum itu juga.

Cuma kali ini kita cukup tersinggung kerana pemimpin politik dewasa tergamak memperalat golongan Mat Rempit. Anak muda ini adalah golongan bermasalah yang perlu dibantu tetapi sebaliknya mereka diperalat oleh pemimpin kaum mereka sendiri.

Dari sudut sosial, Mat Rempit bukan punca masalah, mereka adalah tanda atau symptom kepada masalah yang lebih besar. Beberapa pandangan pakar telah dikemukakan untuk menyandarkan punca masalah itu kepada dasar-dasar perkauman kerajaan UMNO-BN yang mengakibatkan pengasingan atau alienation kumpulan remaja.

Memperalat dan mempergunakan anak muda

Apa yang semakin terserlah ialah UMNO-BN hanya tahu mengguna dan memperalat golongan muda, bakat muda, pengundi muda, tenaga muda dan segala yang ‘muda’ demi melampias politik kotor mereka.

Bukan remaja Melayu sahaja yang dipergunakan, model-model mini skirt wanita muda kaum Cina juga dijadikan wakil ke persidangan MCA baru-baru ini, atas sebab yang sama, iaitu untuk menarik perhatian masyarakat.

Sama ada UMNO menafikan atau tidak penglibatannya dalam demonstrasi Mat Rempit di Pulau Pinang, yang jelas adalah anak muda yang gila merempit telah tergolong dalam sasaran UMNO untuk dijadikan pekakas dan akhirnya, setelah cita-cita politik mereka tercapai, Mat Rempit akan sekali lagi kembali menjadi ‘kambing hitam’.

Hanya Mat Rempit sendiri mampu mengubah nasib mereka. Jika mereka berani menolak tawaran beberapa ringgit, termasuk duit minyak serta hadiah t-shirt daripada kumpulan-kumpulan pelampau kaum, Mat Rempit akan membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka benar-benar indipenden dan pantang dipergunakan oleh mana-mana pihak.

Dengan adanya sikap berani dan adanya keikhlasan hati, tidak ada kerajaan yang lokek untuk menabur dana demi kemajuan kerjaya dan hobi Mat Rempit, asalkan tidak melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Jangan dikatakan litar lumba, sekolah belajar berlumba sekali pun mungkin mampu ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat asalkan golongan Mat Rempit ini menyulam diri dengan usaha gigih, dan bukan sekadar mahu jadi jaguh jalan kampung.

Jika diri diperalat orang lain, yang rugi adalah diri sendiri. Semua Mat Rempit faham keadaan ini. – Roketkini.com

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MyKas : Kad Pengenalan mempunyai tarikh luput LAYAK mengundi

MyPR

Pada 1 Jun 2006, MyPR telah diperkenalkan sebagai mengganti kad pengenalan merah untuk pemastautin tetap Malaysia. 'My' membawa maksud yang sama seperti MyKad (Malaysia) manakala 'PR' adalah singkatan kepada bahasa Inggeris, Permanent Resident.

MyPR berwarna merah sepenuhnya mengandungi semua data utama sama seperti pemegang MyKad. Namun begitu di belakang MyPR mempunyai cetakan data mengenai negara asal pemegang MyPR termasuk nombor permit permastautin tetap.

Penggunaan set nombor kad pengenalan 12 digit yang sama digunakan pada MyKad dan MyKid dan cuma dibezakan dengan kod tempat kelahiran mengikut tempat dilahirkan, biasanya kod 71 yang mewakili kelahiran di luar negeri.



MyKas

Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (KP hijau)  mula dicetak di atas kad pengenalan bentuk baru (berwarna hijau) bermula 20 April 2010. Kad Pengenalan Sementara ini dinamakan MyKas dan tempoh sahlaku adalah selama 5 tahun./tarikh luput/ Expired Date

Bagi pemegang kad pengenalan Pemastautin…

PTPTN: Video DBKL rampas khemah

KUALA LUMPUR 24 April: Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mengganggu perkhemahan mahasiswadi Dataran Merdeka apabila merampas khemah dan kanopi serta memasang pita di sekitar kawasan itu, jam 6.45 pagi.

Mengikut twitter, mereka juga menghalau mahasiswa yang kebanyakannya masih tidur tanpa memberi cukup masa untuk mengambil barangan peribadi masing-masing.

Bagaimanapun, bekalan makanan dan minuman mereka tidak dirampas.
“Kamu boleh rampas khemah kami tapi kamu tak boleh rampas semangat kami!” tulis twitter kendalian kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai OccupyDataran, pagi ini.

Mereka bergabung dengan kumpulan mahasiswa yang merintis perkhemahan itu sebaik sahaja demontrasi Mansuh PTPTN berakhir Sabtu lalu.

Mereka bercadang untuk terus berkhemah sehingga 28 April – tarikh acara Duduk Bantah sempena Bersih 3.0 berlangsung.

Dalam perkembangan terbaru, mahasiswa Umar Mohd Azmi yang ditahan dan dihadap ke mahkamah semalam atas dakwaan menghalang tugas pegawai DBK…

Ramai tertipu dengan ikan terubuk masin Sarawak

SEBUT saja terubuk Sarawak, pasti ramai yang akan terliur dengan keenakan isinya yang lemak dan manis, apa lagi kalau dapat menikmati ikan terubuk bertelur.

Malah tidak sah rasanya kunjungan pelawat ke Bumi Kenyalang, kalau tidak membawa pulang 'ole-ole' ikan terubuk Sarawak, terutama terubuk masin dan telur terubuk masin, yang ada dengan banyaknya di Pasar Tamu Satok di Kuching. Terubuk ini juga laris ketika Ramadan yang menjadi juadah wajib penggemarnya ketika berbuka mahu pun sahur.

Pendek kata, terubuk Sarawak memang amat popular terutama di kalangan pelawat dari Semenanjung, Sabah dan Brunei Darussalam, yang menjadikannya buah tangan wajib apabila berkunjung ke bumi kenyalang ini.

Populariti terubuk ini berkait rapat dengan hakikat ikan itu sudah lama pupus dari sungai di Semenanjung tetapi di Sarawak spesies ikan bertulang banyak itu masih boleh diperoleh terutama pada musim terubuk bertelur antara Jun hingga Oktober.

Bekalan terubuk tempatan boleh didapati di Sungai Lu…