:
Home » » Lagi kisah My kad dan SPR

Lagi kisah My kad dan SPR

Jumaat, 5 Ogos 2011 | 0 comments

SHAH ALAM, 5 Ogos — Isu warga asing diberi MyKad untuk dijadikan pengundi sah terus hangat diperkatakan dengan yang terbaru hari ini, PAS Selangor mendakwa pihaknya pernah menangkap “sindiket” mengeluarkan kad pengenalan, namun belum ada hasil siasatan daripada polis.

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata, dalam dua kejadian berasingan di Paya Jaras, Subang antara Januari dan Februari lalu, pihaknya berjaya menahan kumpulan “sindiket” dipercayai dari luar Selangor yang mengagihkan MyKad kepada rakyat asing, dipercayai Indonesia dan Kemboja.

“Ya, kita telah berjaya membuat dua tangkapan awal tahun ini di Paya Jaras dan ketika itu ‘tuan rumah’ sedang mengagihkan kad pengenalan dan borang kad pengenalan kepada warga asing.

“Kita sudah membuat laporan polis tetapi sehingga kini masih tiada jawapan,” katanya pada sidang media di pusat khidmat Ahli Parlimen Shah Alam di sini pagi ini.

Tambah beliau, pihaknya sendiri telah menyerahkan kumpulan “sindiket” itu kepada polis untuk tindakan susulan.

Jelas Khairuddin, butiran MyKad itu boleh dibaca melalui pembaca kad memori, namun semakan di sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan mereka pemastautin tetap.

“Kita tidak pertikai ada yang layak dapat IC (kad pengenalan). Tetapi bila jumpa dalam web JPN (berbeza), itu yang timbul persoalan besar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad pula berkata, kes tersebut mengingatkannya kepada kes di Sabah apabila Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai negeri itu.

“Semua yang terlibat mengaku ceritakan apa dilakukan BN. Jadi, ia bukan mustahil (di Semenanjung) lebih-lebih lagi pemberian IC memang tidak telus,” katanya yang menyifatkan insiden tersebut seperti “retak kecil atas seketul bongkah ais.”

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata pihaknya telah berjaya mengesan seramai 1,108 pemilik pemastautin tetap yang telah didaftarkan sebagai pengundi.

Malah tegas Khalid, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menafikan perkara itu.

“Sudah jelas daftar pemilih SPR bercelaru, sebab itu kita telah dedahkan mengenai pengundi yang mempunyai dua kad pengenalan sama dan kita telah menemui SPR pada 22 Julai lalu dan perkara ini tidak dinafikan (SPR), yang mana mereka kata ia dalam proses membersihkan daftar pemilih.

“Kemudian kita juga telah dedahkan bagaimana pemilik kad pengenalan merah (pemastautin tetap) boleh berada dalam senarai daftar pemilih, kita di Selangor ada 1,108 nama yang telah kita kesan yang mana pemilik kad pengenalan merah terdapat dalam daftar pemilih,” katanya.

Justeru beliau mempersoalkan bagaimana pemilik pemastautin tetap boleh didaftarkan sebagai pengundi sedangkan JPN belum lagi mengemas kini data agensi itu.

“SPR kata data SPR dihubungkan dengan data JPN, SPR kata data mereka belum dikemas kini, tapi kalau belum dikemas kini macam mana kad pengenalan merah berada dalam daftar pemilih.

“SPR dan JPN jangan berdolak-dalik, sekarang telah berlaku banyak percanggahan, keraguan dalam soal daftar pemilih,” katanya.

Tambah Khalid, dalam semakan terbaru semalam, beliau pelik bagaimana nama dalam daftar pemilih tiada rekod dalam sistem data JPN.

“Selain kita juga telah kenal pasti bagaimana satu kad pengenalan kosong berada dalam data JPN tetapi dalam data SPR sudah lengkap dengan nama, dalam kad pengenalan kosong itu hanya ada nombor . . . tiada nama tapi dalam data SPR ia sudah lengkap,” katanya.

Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai pertukaran status kewarganeraan pemastautin tetap menjadi warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan hebat daripada kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger