:
Home » » Ketakutan UMNO kepada PAS

Ketakutan UMNO kepada PAS

Rabu, 8 Jun 2011 | 0 comments

Umno mudah lupa dan pemimpinnya juga jenis mudah lupa.
Sekarang pemimpin Umno sibuk dengan hal dalaman Pas,padahal ia bukan parti mereka,

Apabila PAS membawa slogan dan konsep negara Islam, UMNO menolaknya. Apabila PAS membawa undang-undang hudud di Kelantan dan Terengganu, UMNO turut menolaknya.

Walau pun ia tidak bererti semua rakyat Malaysia pelbagai kaum setuju dengan tindakan PAS, ia membuktikan UMNO menolak apa yang PAS perjuangkan selama ini.

Buktinya ialah apabila PAS membawakan negara berkebajikan yang selaras dengan konsep negara Islam bersifat universal, UMNO masih menolaknya.



Apabila PAS mendapat saf pimpinan baru yang seimbang baru-baru ini – ulama, profesional, akademik, aktivis dan birokrat – UMNO tetap menolaknya, walau pun ia tidak ada kena-mengena dengan parti itu kerana ia adalah hal dalaman PAS.

Selepas keputusan pemilihan kepimpinan di muktamar PAS ke-57 diumumkan hujung minggu lalu, UMNO mencipta bermacam-macam alasan dan konspirasi.

Yang jelas dalam propaganda UMNO, tidak ada orang PAS yang menang dalam pemilihan PAS.

Bagi UMNO, yang menang dalam pemilihan PAS adalah DAP, PKR, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Re├žep Tayyip Erdogan dan entah siapa lagi.

Semuanya gara-gara UMNO gagal dalam kempen mereka yang mahu apa yang mereka takrifkan sebagai golongan ulama menjadi presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Hingga mereka lupa bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat juga adalah ulama.

UMNO juga lupa bahawa pimpinan Dewan Ulama PAS semuanya menang tanpa bertanding; maksudnya semua mereka adalah para pemimpin ulama yang “disokong” oleh UMNO melalui lidah rasminya Utusan Malaysia.

UMNO turut lupa bahawa Dewan Pemuda PAS juga dipimpin oleh wakil yang dilihat setia dengan golongan ulama.

Bagi UMNO, semua itu tidak penting kerana kempen Utusan dan UMNO untuk menjadikan ulama pilihan mereka sebagai presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan AJK pusat PAS telah gagal.

Yang pelik ialah mengapa UMNO yang menolak Negara Islam ala PAS, yang menolak hudud ala PAS, yang menolak apa sahaja yang PAS perjuangkan selama ini, begitu kemaruk mahu melihat PAS diterajui oleh golongan ulama?

Persoalan yang belum dijawab oleh UMNO sehingga kini ialah:

Adakah UMNO bercadang untuk melaksanakan kepimpinan ulama?
Adakah UMNO mahu ulama menjadi presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden serta menduduki kerusi majlis tertinggi UMNO?
Adakah UMNO bercadang untuk melaksanakan negara Islam mengikut versi PAS yang dibawakan sebelum ini?
Adakah UMNO bercadang untuk melaksanakan hudud mengikut versi PAS yang dibawakan sebelum ini?
Dan di mana sebenarnya para pemimpin UMNO meletakkan ulama dalam parti mereka?

Akhirnya terdedah konspirasi UMNO melalui rencana Utusan pada 6 Jun yang kembali mempertikaikan PAS di bawah tajuk “Layakkah PAS ganti UMNO?” – yang bermaksud PAS memang selama-lamanya tidak layak dan tidak ada class seperti UMNO.

Maksudnya lagi, segala kempen Utusan untuk ulama dalam PAS selama ini tidak ikhlas dan tidak jujur; semata-mata mahu melihat ulama yang mereka anggap tidak cerdik serta buta politik dapat menguasai PAS untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Dalam rencana Utusan itu, PAS diperlekehkan dengan pertanyaan:

Layakkah PAS berada pada kedudukan itu (untuk menggantikan UMNO sebagai wadah orang Islam) atau setaraf dengannya (dengan UMNO)?
Apakah PAS mempunyai kemampuan memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam seperti mana UMNO?

Dengan angkuh, rencana itu mendabik dada, “Akui sahajalah PAS tidak ada keupayaan itu, sebaliknya matlamat PAS hanyalah untuk memastikan tidak ada lagi parti yang akan bermati-matian untuk orang Melayu”.

Tidak cukup dengan itu, Utusan mendakwa:

PAS sekarang bukan lagi sebuah parti Islam
PAS adalah sebuah parti sekular sama dengan PKR dan DAP kerana…menegakkan negara berkebajikan.

Hairan juga, bagaimana Utusan boleh menjatuhkan hukum bahawa PAS bukan lagi mewakili Islam sedangkan UMNO sentiasa menuduh PAS mengkafirkan UMNO. Apakah kini UMNO menganggap PAS parti kafir?

Tembelang UMNO juga terdedah apabila rencana itu menyatakan PAS “bukanlah parti dominan dalam pakatan pembangkang, tidak seperti mana UMNO dalam Barisan Nasional (BN)”.

Para pemimpin Pakatan Rakyat telah banyak kali menjelaskan bahawa PAS, PKR dan DAP berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam satu saf dengan status hak saksama, dan tiada siapa yang dominan dalam gabungan itu.

Apa yang UMNO dedahkan sekarang ialah hanya UMNO yang menjadi tuan dalam BN manakala 12 parti komponen lain hanyalah pengikut sahaja.

Yang perlu menjawab persoalan ini ialah 12 parti berkenaan – MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBRS, SPDP, PBS, UPKO, PBRS dan LDP – yang mana mereka dianggap oleh UMNO sebagai parti kelas dua.

Kesemua 12 parti itu yang mewakili majoriti kaum Cina, India, Iban, Kadazandusun, Murut, Bidayuh, Bajau, Orang Ulu dan pelbagai etnik lain hanya mampu tunduk di bawah dominasi UMNO.

Memulangkan paku buah keras rencana itu, kesemua 12 parti komponen BN itu “hanya menjadi pemerhati sahaja terhadap tindak tanduk kerajaan UMNO di negara ini yang dilihat melakukan banyak tindakan tidak adil ke atas rakyat Malaysia”.

Dalam merebut sokongan orang Melayu, nampak jelas UMNO amat bimbang dengan kempen “PAS Ganti UMNO” yang menawarkan alternatif ke arah politik baru negara. Ini adalah kerana apa yang UMNO ada sekarang, PAS pun ada – profesional, akademik, aktivis dan birokrat.

Malah, PAS ada lebih dari itu. PAS adalah ramai ulama yang aktif sedangkan dalam UMNO golongan itu dipinggirkan.

Selain “PAS Ganti UMNO”, orang Melayu kini sudah ada banyak pilihan, bukan sahaja boleh menyertai PKR dan DAP tetapi juga SNAP di Sarawak dan SAPP di Sabah. Malah UMNO patut bimbang jika Melayu yang masih mahu bersama BN mula menyertai Gerakan, PPP dan parti-parti komponen lain.

Dan apabila seorang pemimpin UMNO melahirkan rasa dukacita kerana PAS tidak mahu kepada perpaduan Melayu, maka Pakatan Rakyat juga sedih kerana UMNO tidak mahu kepada perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. – Roketkini.com
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger