:
Home » » DBKL Guna Nama Jawi Untuk Usir Penduduk Ladang Bukit Jalil

DBKL Guna Nama Jawi Untuk Usir Penduduk Ladang Bukit Jalil

Jumaat, 8 April 2011 | 0 comments



BUKIT JALIL 8 APRIL : Penduduk Ladang Bukit Jalil hari ini mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menggesa pihaknya mengosongkan kawasan itu dengan segera bagi memenuhi tuntutan pembangunan sekali gus menafikan hak mereka untuk menduduki penempatan tersebut.



Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berkata tindakan DBKL itu juga dipertikaikan kira-kira 200 orang penduduk dengan menganggap ianya tidak sah kerana status tanah itu masih tidak jelas sebagaimana yang dinyatakan dalam pemeriksaan Pejabat Tanah Putrajaya.

Menurut Arutchelvan, pihaknya turut mempersoalkan tindakan DBKL menggunakan nama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai pemilik tanah untuk mengusir penduduk dari penempatan mereka.

“Penduduk telah membuat kajian berhubung status hak milik tanah kawasan tersebut, malah Pejabat Tanah juga menyatakan tiada fail berhubung status tanah tersebut ditemui. Jadi ini melalui afidavit yang kami terima tiada sebarang pengesahan mengatakan tanah ini dimilik Jawi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Arutchelvan berkata, pihak DBKL juga seharusnya mengutamakan penduduk di kawasan itu kerana mereka adalah bekas pekerja ladang Bukit Jalil dan bukannya penduduk setinggan sepertimana yang didakwa.

Malah jelasnya Menteri Sumber Manusia, Datuk Subramaniam juga membuat kenyataan sama berhubung perkara ini.

Katanya lagi, penduduk juga telah mendapatkan injunksi sementara bagi menghalang DBKL melakukan segala tindakan sebagaimana arahan diberi sebelum ini.

“Kita mendapat injuksi sementara pada 14 Mac dan berakhir pada 4 April jadi pada tarikh itu peguam kami dan peguam DBKL telah berbincang dan dipanjangkan sehingga ke 27 April.

“Jadi 27 April adalah tarikh perbicaraan kes injunksi Bukit Jalil lah dan 27 April kita akan tahulah sama ada mahkamah iaitu isu yang utama dibincang adalah sama ada DBKL mempunyai hak untuk memberi notis itulah,” katanya.

Jelas Arutchelvan lagi, berdasarkan tempoh penempatan kawasan itu DBKL sewajarnya mempertimbangkan permohonan penduduk yang setelah sekian lama mendiami kawasan itu sejak 1940an lagi.

Katanya lagi, permintaan penduduk yang meminta kawasan seluas empat ekar daripada 26 ekar sebagai kawasan penempatan mereka adalah munasabah.

Sebelum ini, DBKL mengeluarkan notis pada 15 Mac lalu supaya penduduk mengosongkan kawasan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Pada 10 Mac lalu, penduduk Ladang Bukit Jalil menyerahkan memorandum bantahan pengusiran dengan menggunakan Ordinan Darurat (Pembersihan Setinggan 1969) kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen.-tvs
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger