Selasa, 15 Februari 2011

Abdul Hadi Awang:Menyelami sirah Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR 15 FEB: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak umat Islam menyelami sirah Nabi Muhammad SAW dan menjadikannya sebagai panduan hidup.

Dalam satu kenyataan beliau menyeru semua rakyat Malaysia memulakan azam baru bagi mengikuti tauladan Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT sekaligus untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Dengan merujuk kepada Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, Hadi menjadikan sambutan ini sebagai cermin kepada umat Islam untuk meneladani kembali politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum.



"Jasa besar Nabi Muhammad SAW adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati," katanya di laman facebooknya.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar lebih meneladani peristiwa hijrah dalam mempelajari kaedah yang dilaksanakan Nabi Muhammad SAW dalam menyatupadukan masyarakat Madinah ketika itu.

Ia sekaligus mampu diaplikasikan dalam kehidupan seharian rakyat malaysia yang berbilang kaum, tidak kira fahaman politik kerana Islam jelas adil dan saksama.

"Rasulullah SAW telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

"Teladan Nabi Muhammad SAW inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberikeadilan kepada rakyat," katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih sihat adil dan saksama.

Related Posts

Abdul Hadi Awang:Menyelami sirah Nabi Muhammad SAW
4/ 5
Oleh