Sabtu, 24 Disember 2011

ADUN Tendong meninggal dunia

PASIR MAS, 24 Dis (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Tendong, Dr Muhammad Mohd Daud, 64, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Perangkap, Bunut Susu, dekat sini awal Sabtu.

Menurut anak sulungnya, Ahmad Fathi, 34, arwah mengalami serangan jantung ketika bersiap untuk tidur kira-kira 12.50 malam.

Allahyarham meninggalkan balu Wahidah Nik Abdullah dan enam anak berumur antara 15 dan 34 tahun.

Ahmad Fathi berkata kali terakhir Allahyarham bersama penduduk kawasan itu ialah ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Mukim Becah Semak, Bunut Susu, selepas solat Isyak malam Jumaat.

Allahyarham memenangi kerusi DUN berkenaan pada pilihan raya umum 2008 selepas mengalahkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Fauzi Mohamad.

Allahyarham pernah menjadi pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah memegang jawatan sebagai anggota Majlis Syura Dewan Ulama PAS Pusat.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Mohd Nasaruddin Daud berkata pihaknya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kematian Allahyarham pada Isnin ini.

-- BERNAMA

Related Posts

ADUN Tendong meninggal dunia
4/ 5
Oleh