Khamis, 9 Jun 2011

SPRM perlu sahkan sama ada Sarbani kaya atau tidak

Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu mengesah atau menafikan pendedahan blogger Raja Petra Kamarudin yang mendakwa siasatan polis mendapati Timbalan Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohammad tidak mempunyai harta dan kemewahan luar biasa.

Ketua Pembangkang DAP Lim Kit Siang berkata pihak berkuasa tidak perlu menunggu inkues atau suruhanjaya siasatan diraja berhubung kematian Sarbani.

Sarbani, 56, ditemui mati pada 6 April lalu di gelanggang badminton bangunan SPRM selepas beliau ke sana bertemu pegawai suruhanjaya berkenaan berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Melalui laman web Malaysia Today, Raja Petra menulis:



“Sarbani cuma ada tiga buah kereta biasa – Perodua Kancil, Honda CRV terpakai dan sebuah Proton Persona – dan sebuah motosikal Modenas Kriss, yang ditunggang beliau ke pejabat SPRM pada hari yang malang itu.

“Beliau juga mempunyai dua buah apartment di Bukit Tinggi, Klang (RM65,872), sebuah di Puncak Alam (RM68,988), dan rumah semi-D di Saujana Impian Sungai Buloh (RM230,000), selain simpanannya di Amanah Saham Bumiputra sebanyak RM35,000… Semua ini sepatutnya di ambil kira.”

Kit Siang mahu pihak berkuasa cepat memberi maklum balas kerana ini adalah kematian kedua di pejabat SPRM selepas Teoh Beng Hock.

“Biarkan keluarga Sarbani yang putuskan sama ada mahukan inkues atau pun RCI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar tidak patut mengetepikan permohonan keluarga Sarbani yang menuntut mereka mendedahkan penyiasatan yang telus.

Kit Siang sendiri bercadang untuk berjumpa dan berbincang dengan ahli keluarga Sarbani dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini, beliau berkata keyakinan rakyat Malaysia terhadap intitusi awam harus dipulihkan segera supaya tidak berlaku lagi perkara bukan-bukan oleh RCI seperti yang dialami oleh Teoh Beng Hock.

Beliau berkata demikian sebagai respon beliau terhadap RCI sebelum ini yang melaporkan bahawa Teoh Beng Hock melakukan “hara-kiri” yang dilihatnya sebagai tidak masuk akal.

“Kenyataan saya mengenai RCI Teoh Beng Hock mungkin boleh diperdebatkan, tetapi yang lebih penting sekarang ialah mereka harus cepat menyelesaikan isu kematian Sabani,” katanya.

Tambah Kit Siang, baru-baru ini Wikileaks membongkarkan lagi ‘berita gempa’ menjelaskan ketidakyakinan pegawai kerajaan terhadap usaha politik Najib untuk ‘mengubah’ negara.

Jelasnya lagi, apa yang dilaporkan Wikileaks bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada rakyat Malaysia kerana rakyat sudah sedar hakikat itu.

Tegasnya, polis dan Peguam Negara harus cepat melakukan perubahan, kerana rakyat Malaysia mahukan penjelasan yang munasabah berhubung kematian Sarbani. – Roketkini.com

Related Posts

SPRM perlu sahkan sama ada Sarbani kaya atau tidak
4/ 5
Oleh