Ahad, 2 Januari 2011

Umno Rampas Kuasa Di Selangor?


Tindakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memulau Kerajaan Selangor dan melantik terus Setiausaha Kerajaan Negeri berbaur politik dan membelakangkan sistem federalisme dan Perlembagaan Negara sendiri.

Hanya Umno-BN dan Sidek boleh menjawab kenapa bekas Pengarah JAIS Khusrin Munawi begitu cepat diangkat sebagai SUK baru, sedangkan tempoh bersara penjawat itu, Datuk Ramli Mahmud hanya berkuatkuasa penghujung Mac depan.

Adakah pelantikan Khusrin sebahagian daripada komplot untuk memintas segala program-program Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sebelum pilihanraya umum diadakan?

Perdana Menteri Najib Razak mengekalkan dirinya sebagai Pengerusi Umno Selangor dan sudah tentu beliau akan menanggung malu besar jika gagal memgembalikan negeri terkaya di Malaysia kepada Umno-BN pada PRU akan datang.

Mengimbas rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009, semua yang arif politik tahu peranan penting yang dimainkan oleh SUK dalam mengemudi jentera kerajaan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin pernah sendiri menamakan SUK Perak ketika itu sebagai satu daripada tiga watak yang bersekongkol dengan Najib untuk menjayakan rampasan kuasa di Perak.

Sudah tentu, Umno-BN akan menafikan wujud campurtangan politik dalam pelantikan Khusrin, seorang yang memang mempunyai pelbagai rekod pertelagahan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, dan sebaliknya dilihat amat cenderong kepada kepentingan Umno.

Putrajaya mahupun ibupejabat Umno tidak boleh menafikan bahawa semangat federalisme dan Perlembagaan sendiri memerlukan KSN untuk berunding dengan Menteri Besar bersabit pelantikan SUK.

Tentunya peruntukan bahawa SUK mengangkat sumpah khidmat di depan MB yang termaktub dalam undang-undang tubuh Selangor mempunyai dalilnya sendiri, iaitu supaya pegawai berkenaan mendapat kepercayaan penuh kerajaan negeri dan dan menteri besar.

Bagaimanakah kepercayaan itu akan wujud dan seterusnya dipupuk jika Menteri Besar dan seluruh kerajaan negeri dipinggirkan dalam soal pelantikan SUK yang akan bertanggungjawab kepada Menteri Besar berkenaan?

Apabila pihak-pihak dalam Umno dan Putrajaya mula "lari" dan berdolak dalik memberi jawaban kepada persoalan asas ini, rakyat tiada pilihan kecuali mengimbau rampasan kuasa di Perak.

Rakyat tidak ada pilihan kecuali menerokai kemungkinan Umno sekali lagi mempunyai perancangan jahat yang memperalatkan KSN sebagai simbol perkhidmatan awam untuk menawan balik Selangor.

Pemerhati politik kini menunggu untuk melihat sama ada seperti mana di Perak, pihak berkenaan akan turut mengheret istana Selangor dan mencetuskan krisis Perlembagaan semata-mata kerana rakus kuasa politik.Hd

Related Posts

Umno Rampas Kuasa Di Selangor?
4/ 5
Oleh