Selasa, 4 September 2012

Penswastaan KTMB untuk kayakan kroni Najib – Rafizi

Hasrat Umno BN menswastakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC Corporation Berhad (MMC Corp) bertujuan mengkayakan lagi syarikat kroni yang dikawal Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, Syed Mokhtar sebelum ini memonopoli perniagaan di negara ini termasuk sektor pelabuhan, pengangkutan, logistik, perladangan dan pembangunan hartanah.

"Dengan anugerah penswastaan KTMB pula, bermakna syarikat-syarikat yang dikawal oleh Syed Mokhtar akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan sektor terpenting di negara ini.

"Bermakna, sebarang usaha untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli yang dipegangnya," kata Rafizi pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Beliau berkata, cadangan penswastaan KTMB dibuat melalui kertas cadangan yang dikemukakan MMC Corp kepada Datuk Seri Najib Razak pada awal tahun ini.

Beliau difahamkan, Perdana Menteri kini sedang proses untuk meluluskan cadangan pengambilalihan tersebut.

Menurut Rafizi, KEADILAN menentang cubaan untuk memonopoli pengangkutan keretapi oleh MMC Corp yang bermotif keuntungan dengan membelakangi kepentingan nasional.

Tambah beliau, beberapa perkara perlu dipertimbang sebelum kerajaan menswastakan KTMB buat kali kedua selepas penswastaan pertama di bawah syarikat Marak Unggul Sdn Bhd gagal.

"Apakah syarat-syarat yang dikenakan kerajaan bagi memastikan aset dan pegangan tanah KTMB berjumlah RM50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta?

"Apakah jaminan kerajan mengenai kebajikan kakitangan KTMB akan dilindungi seadilnya apabila mandat diberikan kepada MMC Corp untuk mengendalikan pekerja?

"Apakah bentuk bantuan kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada MMC Corp untuk mengelakkan satu lagi projek swasta dibiayai oleh wang rakyat?" soalnya.

Sebelum ini, jutawan Syed Mokhtar melalui syarikatnya, MMC Corp berjaya mendapatkan kontrak infrastruktur terbesar negara iaitu kerja pembinaan terowong bawah tanah My Rapid Transit (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Kajang.

Difahamkan, projek itu berjaya diperolehi beliau setelah MMC Corp mengemukakan kertas cadangan kepada Perdana Menteri.

Pada 2003, Syed Mokhtar juga pernah mencadangkan untuk mengambil alih Bank Muamalat Berhad.


Sent by e-mail

Related Posts

Penswastaan KTMB untuk kayakan kroni Najib – Rafizi
4/ 5
Oleh