Selasa, 4 September 2012

Penswastaan KTMB untuk kayakan kroni Najib – Rafizi

Penswastaan KTMB untuk kayakan kroni Najib – Rafizi

Hasrat Umno BN menswastakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC Corporation Berhad (MMC Corp) bertujuan mengkayakan lagi syarikat kroni yang dikawal Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, Syed Mokhtar sebelum ini memonopoli perniagaan di negara ini termasuk sektor pelabuhan, pengangkutan, logistik, perladangan dan pembangunan hartanah.

"Dengan anugerah penswastaan KTMB pula, bermakna syarikat-syarikat yang dikawal oleh Syed Mokhtar akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan sektor terpenting di negara ini.

"Bermakna, sebarang usaha untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli yang dipegangnya," kata Rafizi pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Beliau berkata, cadangan penswastaan KTMB dibuat melalui kertas cadangan yang dikemukakan MMC Corp kepada Datuk Seri Najib Razak pada awal tahun ini.

Beliau difahamkan, Perdana Menteri kini sedang proses untuk meluluskan cadangan pengambilalihan tersebut.

Menurut Rafizi, KEADILAN menentang cubaan untuk memonopoli pengangkutan keretapi oleh MMC Corp yang bermotif keuntungan dengan membelakangi kepentingan nasional.

Tambah beliau, beberapa perkara perlu dipertimbang sebelum kerajaan menswastakan KTMB buat kali kedua selepas penswastaan pertama di bawah syarikat Marak Unggul Sdn Bhd gagal.

"Apakah syarat-syarat yang dikenakan kerajaan bagi memastikan aset dan pegangan tanah KTMB berjumlah RM50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta?

"Apakah jaminan kerajan mengenai kebajikan kakitangan KTMB akan dilindungi seadilnya apabila mandat diberikan kepada MMC Corp untuk mengendalikan pekerja?

"Apakah bentuk bantuan kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada MMC Corp untuk mengelakkan satu lagi projek swasta dibiayai oleh wang rakyat?" soalnya.

Sebelum ini, jutawan Syed Mokhtar melalui syarikatnya, MMC Corp berjaya mendapatkan kontrak infrastruktur terbesar negara iaitu kerja pembinaan terowong bawah tanah My Rapid Transit (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Kajang.

Difahamkan, projek itu berjaya diperolehi beliau setelah MMC Corp mengemukakan kertas cadangan kepada Perdana Menteri.

Pada 2003, Syed Mokhtar juga pernah mencadangkan untuk mengambil alih Bank Muamalat Berhad.


Sent by e-mail

Isnin, 3 September 2012

Isteri Sham Kamikaze minta cerai

Isteri Sham Kamikaze minta cerai


PETALING JAYA: Isteri kepada pemuzik dan pendakwah Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 30 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dekat sini kerana konflik dalaman yang berlanjutan sejak tiga tahun lalu. 

Farazila, 31, berkata, keputusan itu diambil selepas pelbagai usaha untuk memulihkan rumah tangganya dengan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, menemui jalan buntu. 

"Saya ambil keputusan untuk memohon cerai daripada Sham kerana sudah tidak boleh hidup bersamanya lagi. Kami hanya bahagia pada tahun pertama perkahwinan sahaja. 

"Beberapa konflik dalaman yang berlaku antara kami terlalu peribadi untuk saya dedahkan. Ia menjadi sebab utama perceraian ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara Star di sini. 

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara rahsia di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor. 

Ditanya adakah keputusan bercerai itu turut dipengaruhi kontroversi kononnya Sham sudah bernikah lagi pada Januari lalu, Farazila berkata, ia bukan faktor utama sehingga dia mengambil tindakan itu.

"Ia (bercerai) bukan kerana cerita itu. Jika benar Sham bernikah lagi, saya sebagai isteri pertamanya reda bermadu tetapi sikap tidak bertanggungjawabnya dalam urusan rumah tangga membuatkan saya kecewa dan tawar hati. 

"Mengenai cerita dia bernikah lagi, tiga kali saya bertanya kepada dia untuk kepastian tetapi dia tidak mengaku dan berdolak-dalik. Malah, dia mula menjauhkan diri, tidur berasingan dan bersikap kasar terhadap saya," katanya.

Farazila berkata, dia terpaksa berdiam diri selama ini walaupun maruahnya dan keluarga diperlekehkan umum sejak kontroversi Sham beristeri dua tersebar kerana disuruh mengunci mulut. 

"Sudah lama saya berdiam diri sejak cerita itu tersebar walaupun maruah saya dan keluarga diperlekehkan. 

"Kalau diperhatikan, saya langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kerana Sham tidak membenarkannya. 

"Saya tidak mampu bertahan lagi kerana banyak konflik dalaman antara kami yang menafikan hak saya sebagai isteri. Sebab itu, saya ambil keputusan untuk memfailkan perceraian ini," katanya.

 Menerusi laporan mStar Online pada 20 Januari lalu, Sham menafikan desas-desus mendakwa dia sudah bernikah lagi secara rahsia pada 16 Januari di Pulau Pinang.  
Sham menganggap gosip itu sebagai fitnah yang mencalar reputasinya sebagai pendakwah baru dan menggores hati isterinya Farazila. 

Pada artikel mStar Online bertarikh 13 April lalu, keluarga yang dipercayai isteri kedua Sham iaitu Nurul Halimin Md Salleh, 32, terkilan apabila gitaris itu masih enggan mengakui dia sudah bernikah kali kedua. 

Sumber terdekat keluarga tersebut berkata Sham yang kini bergelar pendakwah bebas bersikap tidak jujur kerana sehingga kini masih menafikan pernikahan itu.

Sent by e-mail