:
Home » » Skandal:Zahida Tolak Semua Dakwaan Noor Azman

Skandal:Zahida Tolak Semua Dakwaan Noor Azman

Khamis, 17 Mei 2012 | 0 comments

Zahida Rafik

PETALING JAYA: Pelakon yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang menteri kabinet, Zahida Rafik sekali lagi menafikan mempunyai hubungan dengan VIP tersebut seperti mana dakwaan pemandunya, Noor Azman Azemi.

Zahida turut menegaskan bahawa dia tidak pernah mengenali Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selain menganggap Noor Azman sebagai seorang pembohong.

“Jadi dia (Noor Azman) menganggap saya sangat kaya? Saya tak kenal Datuk Seri (Shafie). Adakah dia (Noor Azman) menyebut saya mempunyai hubungan dengan Datuk Seri?

“Saya mahu tahu siapa lagi dia cuba berbohong mengenai perkara itu lagi. Sudah tentu semua itu tidak benar. Saya tak boleh memberi banyak komen. Biarlah peguam saya yang mengendalikannya. Kita tunggu sahajalah,” katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Sementara itu dalam satu sidang media anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan pada tengah hari Rabu, Noor Azman, 38, mendakwa hubungannya dengan Zahida menjadi tegang selepas dia membuat pendedahan itu.

Noor Azman mendakwa, dia telah bermasam muka dengan Zahida beberapa bulan sebelum meletak jawatan iaitu pada 29 Februari lalu selepas dia pernah bertindak melaporkan kepada Shafie perbuatan Zahida yang mempunyai hubungan dengan lelaki muda.

“Ketika saya bekerja dengannya, perasaan saya amat tertekan selain berasa tidak selesa,” katanya di ibu pejabat parti itu di sini, Rabu.

Turut hadir penyanyi tahun 1990-an, Dayangku Intan yang juga ahli PKR.

Noor Azman sebelum ini dituntut membuat laporan polis yang mengatakan Shafie dan Zahida mempunyai hubungan intim selama beberapa tahun dan dia telah dibayar oleh menteri terbabit untuk menjadi pemandu kepada pelakon itu.

Beliau juga mendakwa turut menerima wang di antara RM100,000 dan RM200,000 yang perlu dimasukkan ke dalam akaun bank Zahida.

Noor Azman meletakkan jawatan sebagai pemandu Zahida pada 29 Februari lalu dan membuat laporan polis untuk membersihkan namanya selepas dituduh melarikan wang RM200,000 kononnya milik Zahida.

Menteri berkenaan yang telah berkahwin dengan Datin Seri Shuryani Shuaib dan memiliki enam orang anak telah menafikan dakwaan yang dibuat Noor Azman.

Terdahulu, peguam Zahida, Datuk Shafie Abdullah telah menghantar surat saman kepada Noor Azman dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin atas dakwaan memfitnah.

Peguam Noor Azman iaitu Latheefa Koya yang juga Ketua Biro undang-undang PKR pula berkata, parti itu menuntut Zahida dan Shafie menjelaskan dari manakah jumlah wang yang diperkatakan itu diperoleh

Dakwaan Noor Azman(berita terdahulu)

Bekas pemandu peribadi Zahida Rafik mendedahkan, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal memberi pelakon terkenal itu RM1 juta dan wang tersebut dibawa beliau sebelum artis itu memasukkan ke dalam akaunnya.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengah hari tadi, Noor Azman Azemi, 38, yang ditemani ibu saudaranya, yang juga Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP), Tengku Intan Tengku Abd Hamid, mengakui wang itu dimasukkan ke dalam akaun Maybank Zahida pada tahun lepas.

Menurutnya, beliau sendiri tidak mengetahui jumlah sebenar wang yang dimuatkan dalam beg sebelum memasukkannya bersama Zahida ke dalam akaun dan terkejut kerana itu jumlah terbesar yang pernah beliau bawa ke bank.

Azman yang pertama kali muncul di khalayak umum memberitahu, demi hubungan istimewa dengan Zahida, Shafie memberikan pelakon itu RM100,000 hingga RM200,000 ke akaun Zahida setiap kali pertemuan di hotel sekitar Kuala Lumpur.

“Sepanjang tiga tahun saya bekerja sebagai pemandu, Shafie akan memberikan RM100,000 hingga RM200,000 setiap kali berjumpa. Mereka akan bertemu sebulan empat kali. Semua duit yang diberikan itu akan diberikan secara tunai.

“Saya adalah individu yang bertanggungjawab membawa Zahida ke hotel berlainan sekitar Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Datuk,” kata duda beranak dua itu.

Mengimbas kembali tuduhan Zahida terhadapnya yang didakwa melarikan RM200,000 pada 29 Februari lalu, Azman memberitahu, laporan polis yang dibuat terhadapnya itu palsu kerana tidak senang dengan tindakannya yang membongkarkan hubungan Zahida dengan seorang pemuda.

“Tiada apa yang terjadi pada hari kejadian, itu adalah hari terakhir saya bekerja untuknya, tapi sebelum itu berlaku pertelingkahan kerana saya bocorkan rahsia Zahida yang mempunyai hubungan dengan seorang pemuda kepada Datuk Shafie.

“Sejak itu, saya semakin tidak selesa sehinggalah saya mengambil keputusan untuk berhenti kerana sudah penat berlakon untuk menutup hubungan mereka berdua.

“Saya tidak tahu bagaimana tuduhan Zahida itu boleh berlaku, saya juga tertekan untuk hadapi hidup penuh dengan pembohongan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Intan atau lebih dikenali Dayangku Intan turut meluahkan kekecewaan atas apa yang berlaku ke atas anak saudaranya yang dituduh sedemikian.

“Saya mulanya terkejut dengan laporan yang dibuat Zahida melalui laporan akhbar pada 3 Mac lalu. Saya cukup kenal sikap dan perangai anak buah saya.

“Kami kini tidak selesa kerana sering diganggu sehingga rumahnya juga turut diganggu orang luar sama ada polis atau orang biasa,” katanya yang juga artis veteran.

Dari mana Shafie dapat wang besar?
Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya yang turut serta dalam sidang media itu berkata, pihaknya tidak berminat dengan skandal, tetapi ingin penjelasan dari mana Shafei mendapat wang sebegitu besar untuk diberikan kepada Zahida.

“Selepas mengetahui kejadian ini, kami membawa Azman memberi kenyataan, kemudian beliau ditahan reman selama tiga hari.

“Apa yang mengejutkan, polis yang menyoal siasat Azman bukan Pegawai Penyiasat (IO), tetapi daripada Unit Khas (SB).

“Ini membuktikan ada campur tangan polis untuk menutup kes melibatkan Menteri,” katanya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger