Jumaat, 30 Mac 2012

PRU:5 negeri dalam gengaman Pakatan kata Khir Toyo

PRU:5 negeri dalam gengaman Pakatan kata Khir Toyo

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Bekas Jawatankuasa tertinggi Umno Dr Mohd Khir Toyo telah menyenaraikan lima negeri yang mungkin sukar untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukannya dalam pilihan raya akan datang, kerana formula lama yang digunakan untuk meraih undi tidak lagi berkesan.

Antara negeri yang dinamakan Khir adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan juga Kuala Lumpur, yang mana jumlah pengundinya tidak mempunyai perbezaan ketara antara Melayu dan bukan Melayu.

“Ini adalah negeri yang sukar, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah, jika kita lihat pengundi di sini, bilangan pengundi bukan Melayu adalah lebih kurang sama dengan pengundi Melayu, jumlah mereka tidak banyak berbeza.

“Negeri-negeri ini dalam bahaya,” kata Khir kepada The Malaysian Insider dalam temuramah eksklusif minggu lalu.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata sementara Melayu masih lagi menyokong Umno, kebanyakan sokongan tersebut adalah daripada kumpulan pengundi di kawasan luar bandar, sementara pengundi “bandar” akan mengundi untuk Pakatan Rakyat (PR).

“Bukan kerana pembangkang bagus. tidak, mereka banyak kelemahan. Adakah mereka menunaikan janji mereka? Tidak.

“Namun pengundi bandar adalah sangat berbahaya di negeri-negeri ini. Masalahnya adalah menjadikan Umno terlalu dominan ... mungkin akan hilang negeri ini,” katanya.

Sementara Umno melakukan segala tugas BN akan menjadikan pengundi bukan Melayu seperti tidak berkuasa akan menyebabkan kurangnya sokongan kepada kerajaan.

“Saya belajar dari kesilapan saya. Menjadikan Umno terlalu dominan dalam BN adalah tidak baik. Kepimpinan negara perlu mempunyai strategi lain.

“Lihat PAS, mereka lebih berbahaya daripada Umno tapi bukan Melayu tetap menyokong mereka, kenapa? Kerana mereka tidak dominan dalam Pakatan,” tegas Khir.

Pemimpin Umno itu turut mengeluh kerana adalah sukar untuk mengukur sokongan terhadap BN daripada bangsa, dan menyalahkan parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan kerana tidak cukup agresif.

Isu lain menurutnya adalah masalah pertuturan antara pengundi bukan Melayu dan Umno.

“MCA, MIC sepatutnya turun padang dan bercakap dengan pengundi. Umno sudah lakukannya untuk Melayu.

“Bila Umno cuba untuk berkomunikasi dengan bukan Melayu, kadangkala berlakunya halangan dari segi bahasa, contohnya, di bandar, mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, tapi sesetengah pemimpin Umno tidak dapat memahaminya,” tambahnya lagi.

Jalan penyelesaiannya menurut Khir adalah BN perlu “memperkukuh” MCA, MIC, dan Gerakan dengan membenarkan mereka mengumumkan projek-projek untuk komuniti mereka selain pengumuman di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin Umno itu menjelaskan komuniti bukan Melayu telah hilang “hormat” kepada pemimpin parti komponen BN kerana mereka dilihat tidak mampu untuk membantu komuniti mereka sendiri.

“Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah, untuk komuniti mereka. Sekiranya kita hanya mengharapkan perdana menteri dan timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina akan hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.

“Itu masalahnya sekarang, saya sering ingatkan sekarang kita perlu tingkatkan peluang kepada parti lain untuk membuat keputusan mereka dan berikan mereka peruntukan,” tegasnya.

Khir turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, dan oleh sebab itu pemimpin seperti Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tun Dr Ling Liong Sik dihormati.

“Kekuatan Umno sahaja tidak akan mampu untuk memperoleh undi bukan Melayu seperti mana dilakukan untuk Melayu. BN Selangor harus bertindak seperti BN, bukan Umno. Kita sekarang berada di peringkat akhir sebelum pilihan raya.

“Sebab itu Samy Vellu seperti raja untuk bangsanya, kerana beliau mengumumkan peruntukan, bukan Dr Mahathir. Suatu ketika dahulu, pemimpin parti komponen begitu dihormati dan sangat kuat kerana mereka turun padang dan memberikan pelbagai benda ... menteri sekarang tiada faktor ‘umph’. Cuba lihat (Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) dan (Datuk Seri) Kong Cho Ha.”

Menurut Khir, masih belum terlambat untuk melaksanakan perkara itu, namun perubahan harus dibuat dengan segera bagi membolehkan bukan Melayu menyokong BN.

Rabu, 28 Mac 2012

NFC:PM cuba selindung skandal dengan bidaan baru

NFC:PM cuba selindung skandal dengan bidaan baru

KUALA LUMPUR, 28 Mac — PKR hari ini menuduh Putrajaya cuba untuk melindungi skandal RM250 juta Pusat Fidlot Nasional (NFC) dengan membuat penawaran baru terhadap skandal ternakan lembu terbabit dan mempertahankan Perdana Menteri daripada bertanggungjawab terhadap skandal terbabit.

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli (gambar) berkata isu utama skandal tersebut adalah Datuk Seri Najib Razak turut terlibat dalam perkara itu, apabila beliau meluluskan RM250 juta projek berkenaan kepada Pusat Fidlot Corporation (NFCorp), syarikat yang diusahakan oleh suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Ini menunjukkan kecuaian Perdana Menteri yang mana menjurus kepada kemungkinan penyalahgunaan (pinjaman) dan juga jenayah pecah amanah,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

“Perkara itu belum terjawab, dan beliau sebaliknya membuat bidaan baru ... ini menunjukkan niat beliau untuk melindungi kesalahannya memberikan kontrak tersebut kepada pihak yang tidak layak.”

Pemimpin PKR itu turut menjelaskan dua pengumuman yang dibuat kerajaan berhubung kes tersebut yang masih lagi tidak dilaksanakan :

* kerajaan tidak menjelaskan mengapa NFCorp masih lagi dibenarkan untuk menjalankan aktivitinya sedangkan Najib telah mengarahkan aset syarikat dibekukan

* kerajaan belum lagi mengumumkan butiran lengkap berkenaan audit “bebas” yang dijalankan ke atas NFCorp.

“Sehingga hari ini, skop audit, tanggungjawab juruaudit dan bila ia akan bentangkan di Parlimen masih lagi menjadi tanda tanya,” kata Rafizi.

“Saya perlu tahu apa yang dilakukan audit berkenaan supaya salah laku dapat dikenal pasti dan bukti akan dihapuskan.”

Menurutnya lagi, PKR tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan pendedahan mingguan mereka terhadap skandal NFC, yang mana akan bermula “minggu depan”.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar semalam berkata Putrajaya akan memulakan bidaan tender untuk mengambil alih NFC daripada NFCorp yang mana Pengerusi Eksekutifnya menerima tuduhan menyalahgunakan dana RM250 juta.

Menurut beliau cadangan untuk menjemput syarikat lain meneruskan projek tersebut telah diumumkan Najib sebelum ini dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditugaskan untuk memastikan projek tersebut terus berjalan.

Selasa, 20 Mac 2012

PRU13: money-fiesta umno

PRU13: money-fiesta umno

Katanya… pilihan raya kali umum kali ini akan menjadi pilihan raya ‘money-fiesta’. Apa tidaknya, kempen Najib dan Muhyidin di sana-sini terus dengan menabur wang atas nama kebajikan untuk rakyat. Ini memberi gambaran seolah-olah itulah manifesto kerajaan UMNO-BN – tabur wang di sana-sini tanpa menghiraukan hutang negara yang semakin hari semakin meningkat.

Dalam kes kerajaan menabur wang, ada pepatah menyebut, daripada memberikan ikan, ada lebih baik kita berikan joran dan umpan. Itu lebih bermanfaat dalam jangka masa panjang dari memberi ikan yang esok lusa akan habis dimakan atau membusuk, selepas itu rakyat kembali kelaparan.

Jika itu berlaku (beri duit), adakah kerajaan UMNO-BN akan setiap bulan memberikan peruntukan atau subsidi untuk membiayai rakyat yang memerlukannya? Adakah ini akan menjadi amalan dan dasar UMNO-BN? Jika demikianlah duduk ceritanya, ini adalah satu dasar yang tidak masuk akal.

Kita boleh menerima apa jua pembiayaan kerajaan kepada rakyat dalam bentuk pemberian wang menerusi beberapa keadaan, biasanya dalam keadaan kecemasan. Contohnya, bencana alam atau sesuatu keadaan yang tidak dijangka. Itu kita boleh terima sebagai tanggungjawab dan amanah kerajaan. Maka berilah wang atau apa saja peruntukan, ianya baik sekali.

Tetapi dalam kes ini, hujan tak ada, guruh tak ada, wang rakyat terus ditabur tanpa mempedulikan kesan jangka panjang baik kepada negara dan juga rakyat. Sudahlah begitu, cara pemberian itu juga sangat diragui proses dan kaedahnya.

Jika kita melihat kemungkinan yang boleh berlaku dari tabiat memberi sogokan wang ini, sebenarnya macam-macam boleh jadi.

Sudahlah duit rakyat habis, hutang belum dapat dibayar dan kini terus rugi. Inilah gambaran bahawa manifesto kerajaan UMNO-BN hanyalah sebuah money-fiesta – pesta duit untuk kroni UMNO-BN. Ianya jauh menyimpang dengan manifesto setiap kerajaan yang mahu membangunkan negara ke arah kemakmuran ekonomi dan kestabilan sosial.

Katanya… Tun Daim Zainudin pun dah mula buat bising apabila satu lagi aset rakyat Felda mahu di‘money-fiesta’kan oleh UMNO dengan menyenaraikan FGVH ke bursa saham. Daim tahu ini strategi licik UMNO untuk tujuan bailout kuasanya yang semakin terhakis di hati rakyat. Untuk bailout kuasa UMNO mudah sahaja, iaitu dengan wang, bukan kredibiliti dan akauntabiliti!

Katanya lagi…berdasarkan prestasi ekonomi semasa dan reputasi kerajaan Najib, rakyat di negeri Malaysia Timur sudah mula cenderung untuk menyokong Pakatan Rakyat, barangkali tsunami dari timur itu boleh menyumbang kepada keruntuhan hegemoni kuasa politik UMNO-BN.

Malah katanya lagi…Najib dan para propagandisnya terus menyerang Anwar Ibrahim dan melaga-lagakan Pakatan Rakyat dengan memutarbelitkan isu Yahudi yang dicampuradukkan dengan isu Israel dan Zionisme melalui media kawalan UMNO-BN, sedangkan menikus apabila diajak bersemuka dalam debat perdana bersama dengan Anwar Ibrahim. – Roketkini.com

Isnin, 19 Mac 2012

Akhirnya Kadir Sheikh Fadzir keluar juga dari Umno

Akhirnya Kadir Sheikh Fadzir keluar juga dari Umno

12:36PM Mac 19, 2012
Pemimpin veteran Umno yang juga bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini mengisytiharkan keputusannya untuk meninggalkan parti itu.

“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media ringkas.

Abdul Kadir walau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian.

Pemimpin berusia 73 tahun itu menjadi ahli Umno dan memegang jawatan dalam parti berkenaan sejak tahun 1956 sehingga sekarang - selama 56 tahun.

Beliau pernah menjadi exco pemuda Umno selama 10 tahun dan ahli majlis tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti ketua pemuda Umno negeri Kedah dan sebagainya.

Beliau juga menjadi ahli pentadbiran kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri. Antara kementerian yang pernah diterajuinya termasuk kementerian penerangan dan pelancongan.

Pada minggu lalu, Abdul Kadir meletakkan jawatannya selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu - jawatan terakhirnya dalam Umno.

Beliau kini adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) yang diterajui seorang lagi pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Abdul Kadir sering mengeluarkan kenyataan yang membidas Umno, termasuk dakwaan BN membeli undi dan tiada kebebasan bersuara dalam parti itu.

17 Mac lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan Abdul Kadir dan akan bertindak ke atasnya.-malaysiakin
Rashia Najib akan didedah di Mahkamah Perancis

Rashia Najib akan didedah di Mahkamah Perancis

KUALA LUMPUR 18 Mac: Dokumen berkaitan pembelian kapal selam Scorpene, yang diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan didedahkan pada inkuiri terbuka di Mahkamah Pengadilan Tinggi Perancis (Tribunal de Grande Instance) kata Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel.

“Kedua-dua pihak (kerajaan Malaysia dan firma pertahanan Perancis DCNS) mempunyai dokumen sama. Bezanya, Malaysia klasifikasikan dokumen itu sebagai Akta Rahsia Rasmi.
“Berbanding Perancis, mahkamahnya boleh mengeluarkan perintah agar pihak berkaitan membuat pendedahan,” kata Cynthia pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), hari ini.

Syarikat DCNS, yang membekalkan dua kapal selam itu sebelum ini didakwa membayar sogokan jutaan ringgit kepada pegawai tertinggi Malaysia.
Urusniaga berharga RM7.1 bilion itu dibuat ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri pertahanan dan dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, kenalan rapat Najib yang mendapat komisen bernilai RM540 juta melalui syarikat Perimekar Sdn Bhd.
Di bawah undang-undang Perancis, pembelian kelengkapan ketenteraan yang melibatkan bayaran komisen adalah menjadi satu kesalahan.

Menurut Cynthia, beliau mendapat makluman persediaan mahkamah dari peguam Suaram, William Bourdon dan Joseph Breham, 16 Mac lalu.

Tambah beliau, dua hakim penyiasat yang mengendalikan kes tersebut ialah Roger L Roire dan Serge Tounaire.

“Nama-nama yang sebelum ini tak pernah didengari akan didedahkan,” tambah beliau namun enggan membuat spekulasi atau mendedahkan individu terbabit sebagai mematuhi prosedur mahkamah.

“Sebagai pengadu, Suaram kini punyai akses penuh kepada laporan siasatan pendakwaraya dan polis Perancis. Besar beza prosedur dan ketelusan siasatan antara Malaysia dan Perancis,” katanya.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah memberikan komitmen untuk membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

“Telah 10 tahun sejak 2002, kes ini tergantung. Kerajaan Malaysia wajar berikan kerjasama penuh, bukannya menghalang siasatan dibuat,” tegasnya.

Selasa, 13 Mac 2012

UMNO dan Shahrizat menipu rakyat

NFC

Menteri Umno Shahrizat Jalil tunduk kepada tekanan untuk berundur, walaupun mendakwa akan meletak jawatan, dia telah memberi gambaran palsu seperti yang dinyatakan pengkritik, mencerminkan dirinya yang tidak ikhlas dan toleransi Umno terhadapnya, ataupun sokongan, bagi perbuatan rasuah di kalangan elit pemerintah.

Pada 8 April, apabila penggal saya sebagai senator berakhir, saya akan meletak jawatan sebagai menteri.

Cubaan terang-terangan untuk menipu orang ramai supaya berfikir bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN telah mengambil tindakan ke atas skandal NFC dan Shahrizat akan bertanggungjawab ke atas perbuatannya.

Oleh kerana Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, menteri mesti dilantik dari ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Kerana tempoh Shahrizat sebagai senator berakhir pada 8 April, jawatan menterinya juga wajib berakhir mengikut Perkara 43. Oleh itu, bagaimana Shahrizat boleh berkata yang dia akan meletak jawatan pada 8 April? Malah, dia dengan tidak malunya berpaut pada jawatan menteri sehingga ke saat akhir.

 Umno Cheras Kritik Shahrizat

Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee menganggap kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu 'drama'.

Syed Ali (kanan) berkata, sebagai seorang menteri, Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali.

"Kalau berhenti, berhenti sahajalah. Tapi kenapa macam nak main tarik tali. Kenapa perlu kumpulkan wartawan hari ini sedangkan esok ramai wartawan akan buat liputan di Parlimen.

"Ini semua Bollywood punya cerita. Saya boleh katakan dia ini sebagai makcik Bollywood," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selepas kontroversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat sebentar tadi mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.

Syed Ali berkata, tindakan Shahrizat itu seolah-olah ingin menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah dan peletakan jawatan itu bukan disebabkan rasa bersalah, tetapi kerana tempoh sebagai senator sudah tamat.

"Dia nak tunjuk glamour kot supaya esok ada Wanita yang datang menangis, merayu pada dia supaya jangan letak jawatan.

"Saya bersyukur dia nak berhenti, tetapi kecewa kerana dia nak berhenti bila tamat tempoh senator. Saya tak faham kenapa. Ini menunjukkan dia tidak komitmen dan tidak berintegriti kepada parti," katanya.

"Kalau saya jadi dia, saya akan berhenti serta merta."

Rafidah Aziz bidas  Shahrizat

Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz membidas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dengan mendakwa menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat itu tidak membuat sebarang pengorbanan sebenar dalam mengumumkan yang beliau akan 'meletakkan jawatan'.

Bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa itu berkata tempoh jawatan menteri yang dipegang oleh Shahrizat akan luput pada hari lantikannya sebagai senator berakhir pada 8 April.

Justeru, katanya pengumuman Shahrizat pada Ahad lalu langsung tidak membawa sebarang makna.


"Berundur? Apa berundur...? Tidak timbul isu berundur atau meletakkan jawatan! Tidak ada apa-apa untuk berundur kerana secara sah beliau tidak lagi menjadi menteri pada 8 April...

"Jadi, sebenarnya, tiada langsung pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa," kata Rafidah yang dipetik akhbar Malay Mail hari ini.

Semalam, pemimpin BN termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji pada Shahrizat kerana membuat pengorbanan besar "dengan mengumumkan bahawa beliau akan 'meletakkan jawatan' apabila tempohnya sebagai senator berakhir.

Rafidah, antara pemimpin paling awal mendesak Shahrizat untuk berundur dari kabinet, berkata keengganan Shahrizat meletakkan jawatan semasa tempohnya sebagai senator masih sah telah mencemarkan nama baik Umno dan kerajaan.

Menurutnya lagi, keputusan Shahrizat untuk terus memegang jawatan Ketua Wanita Umno akan turut menimbulkan masalah..

Kalau betul ingin meletak jawatan lepaskan jawatan Ketua Wanita Umno

Ahad, 11 Mac 2012

Sah Shahrizat  letak jawatan

Sah Shahrizat letak jawatan

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh beliau sebagai senator berakhir 8 April ini.

"Pada 8 April, apabila tamat penggal sebagai ahli Dewan Negara, saya akan undur diri," kata beliau kira-kira 4 petang tadi.Khidmat anggota Dewan Negara adalah selama tiga tahun dan boleh disambung satu penggal lagi.

Beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 9 April 2009 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri dan seterusnya anggota Kabinet. Beliau gagal mempertahankan kerusi Lembah Pantai dalam pilihan raya umum 2008.

Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno yang dimenangi tiga tahun lalu. Beliau juga merupakan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).Katanya, beliau akan menghantar surat makluman keputusannya kepada Najib dalam waktu terdekat.

Beliau juga menafikan keputusannya diambil ekoran tekanan mana-mana pihak ataupun disebabkan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC)."Saya ingin ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada Najib dan timbalan beliau dan rakan-rakan jemaah menteri, kerana telah mendapat kerjasama begitu baik.

"Selama 10 tahun menjalankan tugas sebagai menteri, saya sempat membawa beberapa perubahan," kata beliau pada Majlis Karisma Keluarga: Jalinan Kasih 2012 di Desa Water Park di sini petang, yang turut mendapat liputan lebih 60 wartawan dan jurugambar yang telah menunggu beliau sejak dari jam 1 tengah hari tadi.

Semalam, Najib berkata, beliau akan mengumumkan tentang kedudukan Shahrizat sebagai menteri pada waktu yang sesuai.Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno sebelum itu tidak menafikan desas desus yang mengatakan Ketua Pergerakan Wanita Umno itu akan meletakkan jawatan.

"Pelbagai khabar angin... kita akan membuat pengumuman (pada waktu) yang bersesuaian," katanya.Isu peletakan jawatan timbul apabila beliau terpalit dalam isu National Feedlot Corporation, yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail yang terlibat dalam projek lembah daging Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Beberapa individu sebelum ini termasuk bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz meminta Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan ia menjadi bebanan kepada parti.Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menasihatkan Shahrizat agar "jangan sayang kepada jawatan."SH
Shahrizat akan letakan jawatan

Shahrizat akan letakan jawatan

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan mengumumkan perletakan jawatan beliau untuk semua jawatan hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan beliau akan membuat pengumuman secara rasmi berkenaan perletakan jawatan itu dalam sidang media petang ini.

Pembantu Ketua Wanita Umno ini yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, Shahrizat akan membuat pengumuman tersebut kepada media di Desa Waterpark jam 3 petang ini.

“Saya tidak boleh bercakap dengan lebih lanjut, datang ke sidang media tersebut jam 3 petang ini dan anda akan tahu,” katanya.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The New Straits Times pagi ini melaporkan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil  akan meletak jawatan untuk setiap jawatan yang dipegang beliau dalam beberapa hari lagi.

Akhbar berkenaan berkata, menurut satu sumber, Shahrizat telah memaklumkan pegawai terdekatnya Jumaat lalu bahawa beliau akan melepaskan jawatan menteri dan juga Ketua Wanita Umno.

“Shahrizat telah memberitahu kami beliau ingin melepaskan kedua-dua jawatan. Beliau tidak setuju dengan cadangan beliau letak jawatan sebagai menteri tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno sehingga pilihan raya depan.

“Beliau telah buat keputusan untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut,” jelas Ketua Wanita Umno negeri.

Seorang lagi pemimpin kanan Wanita memberitahu akhbar berkenaan bahawa seorang pembantu Shahrizat telah memaklumkan beliau akan meletak jawatan semalam.

“Namun perkara itu tidak berlaku. Kami masih lagi berteka teki kerana pegawainya yakin pengumuman akan dibuat semalam. Mungkin beliau menantikan masa yang sesuaI,” kata sumber tersebut.

The Malaysian Insider turut difahamkan Shahrizat akan membuat pengumuman rasmi malam tadi, tetapi beliau masih lagi belum berbuat sedemikian.

The New Straits Times turut melaporkan berdasarkan sumber peringkat tertinggi bahawa mereka yakin Shahrizat tidak akan bertanding untuk pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata pengumuman terhadap perletakan jawatan Shahrizat akan dibuat kemudian.

“Terdapat banyak sangat khabar angin. Tapi kita akan membuat pengumuman dalam keadaan yang lebih teratur,” kata Presiden Umno itu di Johor.

Spekulasi nasib Shahrizat telah menjadi bualan hangat sepanjang minggu ini, dengan berbulan dakwaan bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan dana awam bernilai RM250 juta untuk projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) bagi kegunaan peribadi.

Skandal NFC menjadi perhatian umum setelah dilaporkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010 projek ternakan lembu di Gemas itu gagal menepati sasaran.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai ini telah menerima desakan meletak jawatan daripada pembangkang termasuk pemimpin veteran Umno, dengan menegaskan beliau hanyalah isteri kepada Salleh dan tiada kena mengena dengan projek tersebut.

Pihak polis bulan lalu telah mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah, namun beliau meminta agar pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan lebih terperinci berhubung perkara itu.

Sabtu, 10 Mac 2012

Kerajaan diminta Siasat semula kes Altantuya

Kerajaan diminta Siasat semula kes Altantuya

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim menggesa polis membuka semula siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia, Antantuya Shaariibuu kerana “banyak perkara yang tidak kena” dalam kes itu.

Selain itu katanya, berlaku “penyembunyian bukti material dan juga manipulasi” dalam perjalanan kes berkenaan yang menyebabkan penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebas daripada tuduhan bersubahat.

Dua lagi tertuduh dalam kes itu, Insp Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman mati.

Mengulas lanjut, Mat Zain berkata, polis mempunyai kuasa dan justifikasi untuk melihat semula keseluruhan siasatan mereka untuk mencari bukti.

“Tiada (pihak) yang mempunyai kuasa untuk menghalang polis daripada menjalankan tugas mereka. (Peguam Negara) Tan Sri Abdul Gani Patail pun tidak boleh (halang).

“Seorang pegawai polis boleh menahan, tanpa waran, mana-mana orang yang menghalang mereka,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Malaysiakini hari ini.
Walaupun peguam negara berkuasa menamatkan prosiding jenayah itu, namun Ghani Patail katanya tiada kuasa memusnahkan bukti.

“Peguam Negara mungkin mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menamatkan apa-apa prosiding jenayah namun beliau tidak berkuasa untuk memalsukan, memanipulasi, menyembunyikan atau memusnahkan bukti pada bila-bila yang dia suka.

“Fahami juga bahawa IGP (ketua polis negara) bukannya pak turut AG dan bahawa polis boleh berfungsi secara bebas tanpa perlu menyesuaikan siasatan menurut kehendak AG,” katanya lagi.
Tambahnya, pendakwaan dan hukuman ke atas Azilah dan Sirul Azhar mungkin dijalankan berdasarkan “bukti palsu” yang diakui Abdul Razak dan seorang saksi dalam kes berkenaan, penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Dalam penghakiman kes itu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak menyentuh secara langsung mengenai motif dua anggota polis yang dijatuhi hukuman itu selain membebaskan Razak Baginda.

Razak Baginda ialah kenalan rapat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di mana penganalisis politik itu pernah mengarahkan Musa Safri yang merupakan Ketua Pengawal Peribadi Najib untuk menangani Altantuya, seperti apa yang didakwanya, wanita itu mengugut beliau.

Khamis, 8 Mac 2012

Baling kasut: Imam dipenjara setahun

Baling kasut: Imam dipenjara setahun

PUTRAJAYA, 8 Mac — Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang imam yang membaling kasutnya ke arah hakim mahkamah sama bulan lalu, kerana telah menghina mahkamah.
Ketiga-tiga hakim yang sama menjelaskan “tindakan menghina mahkamah adalah sangat serius” dan “sekiranya tiada tindakan diambil, akan mencemarkan kuasa mahkamah.”

Mereka sebelumnya membenarkan Hoslan Hussin membuat rayuan bagi meringankan hukuman selepas mendapati beliau bersalah atas kesalahan tersebut.

Hoslan, 46, berkata, “saya keliru” mengapa dibicarakan di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah. Beliau diwakili oleh Karpal Singh untuk tujusan itu.

“Saya keliru. Semuanya keliru. Sebagai seorang imam saya hanya menolong orang melakukan perkara yang baik.

“Disebabkan politik dalam agama, mereka mendakwa imam,” katanya sebelum menangis.

Pada 22 Februari, Hoslan telah melemparkan kasutnya di Mahkamah Persekutuan apabila beliau cuba mencabar keputusan Masjid Kuala Lumpur pada 1999.

Tindakannya ketika itu mengejutkan hakim, peguam, dan pemerhati di kamar mahkamah.

Ketiga-tiga hakim yang sama, diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, membuat keputusan berkenaan “selepas menilai penjelasan” Hoslan.

“Mahkamah harus menjatuhkan hukuman yang bersesuaian,” kata Zulkifli ketika perbicaraan.

Datuk Suriyadi Halim Omar turut berkata Hoslan adalah “ganas.”

“Sesiapa yang alim akan dipandang tinggi. Tetapi kamu bersifat sebaliknya dan tidak menunjukkan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Ketika membuat rayuan, Karpal menjelaskan bahawa mahkamah harus mengambil kira “aspek emosi” berikutan tempoh 13 tahun yang Hoslan dipaksa menunggu sebelum kes beliau didengarkan.

“Mahkamah harus mengambil kira sekiranya teguran lebih bermakna daripada hukuman. Teguran serius lebih bermakna,” katanya.

Namun begitu, Ketua Hakim menjelaskan hukuman penjara adalah perlu sebagai pengajaran.

“Ini adalah kes menghina mahkamah yang serius, lebih-lebih lagi dia adalah kakitangan awam. perbuatannya itu telah mencemarkan nama baik mahkamah,”

“Hukuman ini adalah pengajaran ... untuk pentadbiran yang lebih adil,” jelas peguam persekutuan Suzana Attan.

Hoslan kemudian mengaku menyesali perbuatannya dan memohon maaf daripada pihak kehakiman.

“Saya kecewa. Saya harap kita akan memaafkan satu sama lain,” katanya.

Selasa, 6 Mac 2012

PAC minta Putrajaya dedah penyelesaian Tajudin-Danaharta

PAC minta Putrajaya dedah penyelesaian Tajudin-Danaharta

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menuntut Putrajaya mendedahkan butiran lengkap penyelesaian luar mahkamah antara firma Pengurusan Danaharta (Danaharta) dan Tan Sri Tajudin Ramli.

The Malaysian Insider difahamkan panel 13 orang tersebut telah membuat keputusan “hampir sebulat suara” untuk bertanyakan kepada Kementerian Kewangan dan Prokhas, unit yang diuruskan Danaharta bagi menjelaskan perjanjian penyelesaian di luar mahkamah pada 14 Febuari lalu.

“Kami mahu memberikan mereka peluang kara ia melibatkan RM589 duit kami,” jelas seorang ahli PAC kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada hutang luar biasa Tajudin, yang suatu ketika dulu pernah mengemudi MAS dan Celcom Bhd.

Danaharta dan Tajudin  menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkmah bulan lepas selepas Putrajaya mengarahkan kesemua GLC pada Ogos untuk menggugurkan tuduhan terhadap Tun Daim Zainuddin.

Namun begitu, terma dan perjanjian berkenaan kekal rahsia walaupun Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 telah mengarahkan Tajudin untuk membayar sejumlah RM589.14 juta kepada Danaharta.

Ahli politik setiap parti kemudiannya menuntut butiran lengkap penuelesaian luar mahkamah antara bekas Pengerusi MAS itu dan Danaharta, yang mana mengalami krisi hutang pada 1997.

Sumber berkenaan turut menjelaskan “tiada pihak yang tidak bersetuju terhadap tuntutan ini” dan satu mesyuarat akan dianjurkan bagi kementerian kewangan membuat penjelasan.

Polisi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi bahan kritikan selepas pentadbiran Najib memutuskan untuk mengadakan penyelesaian di luar mahkamah terhadap hutang RM589 juta oleh Tajudin ketika membuat pinjaman untuk membeli MAS pada 1994.

Kes antara Danaharta dan Tajudin timbul selepas beliau melakukan perjanjian kemudahan pada 13 Julai, 1994 untuk meminjam RM 1.79 bilion daripada sindiket bagi membiayai pembelian saham sejumlah 32 peratus saham MAS.

Namun begitu, pada 1994 ke 1998, beliau gagal menyelesaikan hutang berkenaan dan menjadikannya pinjaman tidak memuaskan (NPL).

Tajudin mendakwa dalam afidavitnya beliau diarahkan oleh Dr Mahathir dan Daim pada 1994 untuk membeli dan mengawal pegangan saham MAS untuk menjamin daripada kerajaan.

Ahli perniagaan itu mendakwa pembeliaan itu adalah semata-mata “demi negara”.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dalam memoir yang ditulisnya berkenaan dakwaan Tajudin itu.

Ahad, 4 Mac 2012

PRU-13: Giliran Najib 'dihukum', kata Saifuddin

PRU-13: Giliran Najib 'dihukum', kata Saifuddin

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf atas kesilapan lalu BN tidak membawa sebarang makna melainkan ia disusuli dengan langkah-langkah pembetulan.

Menurut beliau, antara keutamaan Najib kini ia menyelesaikan gejala rasuah dan salah urus dana awam, seperti yang melanda projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Sama ada memohon maaf atau tidak, kata Saifuddin, hukuman sedia menanti pemimpin BN dan sekiranya rakyat memutuskan bahawa Pakatan Rakyat berkuasa, mereka akan bertindak ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang korup dan menyalahgunakan kuasa.

"Kita akan heret mereka satu per satu untuk dibicarakan di mahkamah jika kita mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya akan datang," katanya pada ceramah di Sungai Petani, malam semalam.

Saifuddin mengulas kenyataan Najib semasa Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Baling, semalam yang memohon maaf atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Permohonan maaf secara terbuka itu adalah yang kedua dalam tempoh enam hari berhubung kepincangan pentadbiran BN, khususnya Umno sehingga membawa kepada kekalahan mereka di Selangor dan Kedah.

Kali pertama, Najib mengakui kesilapan BN dan Umno itu adalah pada 26 Februari lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas permohonan maaf itu, Saifuddin berkata, walaupun pengundi di Selangor, Kedah dan tiga lagi negeri lain telah "menghukum" BN pada tahun 2008, namun pilihan raya umum akan datang adalah peluang untuk menghukum Najib pula.

Ini, kerana menurut Saifuddin, Najib selepas mengambil-alih pentadbiran Putrajaya daripada Tun Abdullah Badawi yang digulingkan oleh Umno pada tahun 2009, tidak mengambil sebarang tindakan bagi memperbetulkan segala kepincangan BN.

"Kita masih belum menghukum Najib. Kita akan berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang ini," katanya, seambil disambut tepukan gemuruh oleh hadirin.

_malaysiakini