:
Home » » Ibrahim Ali Persenda Sultan Selangor

Ibrahim Ali Persenda Sultan Selangor

Selasa, 24 Januari 2012 | 0 comments

Tindakan kurang bermoral Datuk Ibrahim Ali yang cuba mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Selangor dalam isu pelantikan exco kerajaan negeri baru-baru ini amat tidak wajar kerana mempersenda keputusan baginda Sultan Selangor.

Sebaliknya tindakan tersebut membuktikan beliau adalah seorang ahli politik yang kehabisan modal, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Faekah dalam kenyataan medianya turut menyatakan Ibrahim Ali kini sedang mencuba sedaya upaya untuk menjadikan dirinya masih relevan di arena politik tanahair.

Malah menurut Faekah, beliau juga hairan dengan percubaan Ibrahim Ali untuk melaga-lagakan PAS dengan Kerajaan Selangor sedangkan Ibrahim sebelum ini mempunyai sejarah tersendiri dengan PAS.

"Siapa yang dapat melupakan bagaimana beliau mengkhianati PAS umpama parasit setelah parti itu memberi beliau tiket bertanding pada 2008. Hari ini beliau terhegeh-hegeh pula dengan UMNO sedangkan parti yang bakal tumbang ini pun melihatnya sebagai liabiliti dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti.

Kita tidak mempersoal tindakan Ibrahim Ali yang kini begitu akrab dan bersekongkol dengan mantan Exco Agama, Datuk Dr Hasan Ali, namun keceluparan Ibrahim mempertikaikan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Exco Hal Ehwal Islam merupakan satu penghinaan kepada DYMM Sultan Selangor yang sesungguhnya adalah Ketua Agama Islam di Selangor," tegasnya.

Faekah berkata, keputusan Abdul Khalid memegang portfolio ini dibuat setelah mengadakan perbincangan dan mendapat perkenan DYMM Sultan memandangkan pentadbiran di Selangor mengamalkan amalan konsultasi berterusan dengan pihak istana dalam pelbagai hal.

Tambahnya, tuduhan Ibrahim Ali bahawa pelantikan Abdul Khalid untuk memegang portfolio Hal Ehwal Islam hanya akan menyemarakkan rumah maksiat di Selangor juga disifatkan sebagai amat keterlaluan.

"Kita ingatkan Ibrahim Ali bahawa keutuhan dan kesucian agama Islam di Selangor, pengawalan kegiatan tidak bermoral, termasuk perjudian dan rumah-rumah maksiat adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kedua-duanya dalam pemerhatian rapat Baginda Tuanku.

Menuduh bahawa Tan Sri Khalid akan merelakan kegiatan tidak bermoral atas perkiraan politik seolah-olah mempersenda kedua-dua institusi agama tersebut termasuk baginda Sultan. Pada perkiraan Ibrahim semua ahli politik akan menggadai maruah demi undi sebagaimana dirinya yang sanggup mengkhianati PAS walaupun parti tersebut mengutipnya setelah dicampak oleh Umno," katanya lagi.

Beliau berkata, selaku umat Islam, Ibrahim Ali seharusnya mendoakan setiap pemimpin berkhidmat dengan ikhlas, mentaati hukum dan menggalas jawatan sebagai amanah Allah supaya negeri menjadi aman sejahtera dan bukannya menuduh bahawa Selangor akan menjadi negeri peliwat.

Menurutnya, kenyataan itu sekaligus menggambarkan betapa kotornya pemikiran 'politikus' tua Ibrahim Ali yang bercakap tanpa iman, penuh dendam dan nafsu serakah.

Tegasnya, dakwaan itu merupakan satu penghinaan kepada seluruh rakyat Selangor dan Ibrahim Ali seharusnya dihalang dari menjejakkan kaki di negeri berdaulat ini.

"Menteri Besar amat memandang serius tohmahan jahat ini dan akan membincangkan isu ini dengan semua agensi terbabit dan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri termasuk juga pihak Istana. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali kerana keceluparan melampau beliau semata-mata mendapatkan publisiti murahan," jelasnya.
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger