Ahad, 8 Januari 2012

Hasan Ali menghina Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Datuk Dr Hasan Ali telah menghina presiden parti Islam itu kerana mengeluarkan kenyataan “melawan arus” yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemimpin.

Menurut Mahfuz, kenyataan Dr Hasan yang menolak perhimpunan 901 pada Isnin ini dan menyifatkan ia sebagai perbuatan sia-sia telah menjatuhkan imej dan maruah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi parti selain disanjung tinggi oleh pemimpin luar negara.

“Bagi saya beliau (Dr Hasan) menghina presiden PAS...presiden telah mengatakan akan hadir sama dalam perhimpunan itu namun Dr Hasan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu adalah perkara yang sia-sia.

“Beliau juga mengatakan pergi ke mahkamah adalah perbuatan yang sia-sia, ini adalah satu penghinaan kepada presiden PAS dan satu perkara yang amat memilukan apabila seorang presiden dihina oleh seorang pemimpin yang kononnya menyanjung tinggi ulama namun tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang menghina presiden sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dr Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini berkata menolak perhimpunan 901 an menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Dr Hasan berkata semua pihak termasuk pemimpin yang terlibat harus memikirkan sedalam-dalamnya perkara itu kerana ia memberikan kesan bukan sahaja kepada negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada tarikh berkenaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

Hasan berkata perbicaraan itu telah berlangsung lebih tiga tahun dan Anwar telah diberikan ruang dan peluang yang sepatutnya oleh mahkamah.

Semalam Abdul Hadi berkata akan menyertai perhimpunan 901 menambah ”untuk ahli PAS pula terserah kepada masing-masing.”

Ekoran kenyataan Dr Hasan itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendesak PAS mengambil tindakan sewajarnya terhadap exco kerajaan negeri Selangor itu.

Azmin berkata kenyataan Dr Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Esok PAS akan mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat dan kemungkinan besar isu Dr Hasan akan dibangkitkan.

Tambah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, PAS akan memanggil Dr Hasan untuk memberikan penjelasan dan tindakan akan diambil dengan mengikut perlembagaan parti.

Beliau menambah tindakan yang akan diambil PAS bukan disebabkan pengaruh atau desakan sesiapa.

“Tindakan PAS tidak berasaskan kepada apa orang cakap, kita buat tindakan mengikut bidang kuasa kita...tindakan ini bukan disebabkan Azmin Ali atau pemimpin lain.

“Begitu juga semasa pertemuan presiden dengan Dr Hasan Ali sebelum ini, ia bukan disuruh oleh sesiapa tetapi adalah tindakan PAS sendiri...kita mempunyai prosedur dan pendirian sendiri,” katanya.

Mahfuz berkata sebarang bentuk hukuman akan diputuskan oleh kepimpinan PAS.

“Apa yang berlaku ini sangat mendukacitakan...ahli merungut dan kecewa dengan tindakan Dr Hasan Ali yang telah merosakkan suasana dalam parti,” katanya.

Related Posts

Hasan Ali menghina Presiden PAS
4/ 5
Oleh