:
Home » » Faekah: Noh Omar buka mulut tapi gagal jelas dakwaan salahguna dana

Faekah: Noh Omar buka mulut tapi gagal jelas dakwaan salahguna dana

Ahad, 29 Januari 2012 | 0 comments

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh Omar sejak akhir-akhir ini berjaya mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik dan dikatakan berkait rapat dengan impian beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) merampas semula pentadbiran Negeri Selangor.

Semalam, sekali lagi beliau mendapat liputan hebat dengan memberi penjelasan tehadap skandal salah guna wang rakyat dalam projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan dana RM250 juta.

Namun agak mengecewakan apabila Noh Omar gagal memanfaatkan peluang ini untuk mempamerkan kredibiliti dan integriti beliau sebagai pemimpin yang baik sebaliknya telah membongkar betapa dangkalnya pemahaman beliau selaku menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap isu mega tersebut.  Beliau menggunakan alasan-alasan teknikal untuk mengatakan projek RM250 juta NFC ini tidak gagal - meskipun begitu beliau tidak berani pula untuk mengatakan ianya berjaya, memadai dengan "tidak gagal".

Sebagai Menteri, mustahil beliau tidak memahami isu sebenar NFC.  Kalau pakcik-pakcik tua di kedai-kedai kopi pun faham isu pengkhianatan wang rakyat ini masakan Noh Omar selaku menteri tega buat-buat bodoh dengan menyimpang dari isu sebenar.  Hujah yang beliau bangkitkan gagal menjawab isu pokok iaitu salah guna dana dan pertanggungjawaban dalam menggunakan dana RM250 juta menggunakan wang rakyat untuk projek ini.

Jika Noh mahukan publisiti dengan menjawab isu berkaitan NFC ini selaku Menteri, beliau seharusnya menjelaskan secara terperinci siapakah dan untuk apakah harta mewah itu dibeli; apakah relevan pembelian kereta Mercedez Benz menggunakan dana NFC dan apa kaitannya pembayaran bil-bil untuk ahli keluarga seorang Menteri menggunakan dana NFC?  Jika Noh mahu bermain politik selamat, seeloknya Noh berdiam diri sebagaimana yang dilakukan bosnya Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat jelas melihat Noh sebagai seorang menteri yang tiada kredibiliti dan integriti. Seperti mana yang digariskan oleh Institut Integriti Negara - institusi yang diwujudkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sendiri - sesungguhnya integriti seorang pemimpin akan terjejas jika beliau "cakap tak serupa bikin", kurang berteladan dan lemah iltizam.

Beliau mendabik dada kononnya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat tetapi membiarkan pembaziran dan salah guna kuasa yang berlaku di bawah portfolio pertaniannya - cakap tak serupa bikin.  Beliau seolah-olah menghalalkan perkara jahat ini berlaku - kurang berteladan.  Beliau tidak mempunyai kekuatan diri untuk secara berani membicarakan isu rasuah dan salah guna kuasa dan seterusnya mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasinya - lemah iltizam.

Dengan tiga kelemahan ketara tersebut, saya cadangkan Noh Omar kembali meminta nasihat daripada Institut Integriti Negara apakah elemen yang perlu ada untuk menyelenggara dana amanah rakyat.  Lebih elok lagi jika beliau mengambil kursus perjawatan mahupun peperiksaan integriti kelolaan institut tersebut agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan matlamat institut tersebut ditubuhkan.  Jika tidak, lupakan saja cita-cita mahu menjadi jaguh di Selangor ataupun terpilih semula di dalam PRU13 nanti kerana bimbang negara ini menjadi kucar-kacir seperti yang berlaku terhadap NFC.
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger