Rabu, 11 Januari 2012

Aunty Ah Mei berpuasa untuk pembebasan Anwar



Sungguhpun di luar jangkaan, namun tidak kurang yang terharu dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah dan dibebaskan dalam kes liwat 2. Dari klip video yang dimuatkan ke laman Youtube, seorang lelaki India kelihatan menangis (minit 3.32) apabila Naib Presiden PKR Tian Chua mengumumkan keputusan itu di luar mahkamah kepada khalayak ramai.

Seorang lelaki Melayu, Kamarul Hatta mencukur rambutnya selepas kemenangan memihak kepada Anwar Ibrahim di penghujung perbicaraan yang menelan masa kira-kira tiga setengah tahun. Malah, seorang wanita Cina, Tuw Ah Mei, 71, telah mengambil keputusan untuk berpuasa selama lima hari, kerana hajatnya agar Anwar dibebaskan termakbul.

Tuw Ah Mei seorang buddhist, dengan empat orang anak dan sembilan orang cucu. Beliau turun untuk perhimpunan 901 di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada awal pagi 9 Januari, sambil membawa mesej menentang pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan.

Menurut Ketua Ranting PKR Air Putih, Lee Chean Chung, yang melawat Tuw Ah Mei bersama Kamarul Hatta di rumahnya pada hari ini, ianya bukan kali pertama Tuw Ah Mei "berpuasa". Sebelum ini, Ah Mei pernah mogok lapar apabila Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sekarang dijatuhkan hukuman penjara. Beliau mengulangi protesnya ketika zaman Reformasi, apabila Tian Chua dan rakan-rakan perjuangnnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berbeza dengan dua kali yang lalu, Ah Mei bukan "mogok lapar" kali ini, tetapi "berpuasa" kerana beliau telah bersembahyang, mendoakan agar Anwar dibebaskan. Beliau berjanji untuk berpuasa selama lima hari, seandainya hajatnya termakbul. Ketika dihubungi , Chean Chung berkata Ah Mei kini dalam keadaan yang baik, meskipun telah berpuasa sejak 9 Januari, dengan hanya minum air kosong. Mereka menasihat agar Ah Mei memendekkan tempoh tersebut, memandangkan usianya yang lanjut, tetapi Ah Mei tetap dengan keputusan asalnya.

Ah Mei seorang anggota DAP, sebelum menjadi aktivis yang bergiat aktif di Kuantan. Beliau pernah mencukur kepalanya, sebagai tanda protes apabila Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Damansara ditutup pada tahun 2001. Beliau juga pernah mencukur rambutnya, meraihkan kemenangan calon PKR Fuziah Salleh di Kuantan, dalam PRU 12 pada tahun 2008.

Chean Chung berkata, sudah banyak kali Ah Mei mengulangi bahawa dirinya tidak mahu lagi terlibat dengan aktiviti sebegini, kerana usianya yang lanjut. Namun, akhirnya Ah Mei tampil ke depan juga, apabila mendapati tagak kurang orang berbuat demikian, khususnya dari kaum Cina dan wanita. Menurut Chean Chung, Ah Mei sentiasa berada di barisan paling depan dalam protes jalanan, mendakwa dirinya sudah tua - dan tidak mengapa seandainya sesuatu terjadi kepada dirinya.

Related Posts

Aunty Ah Mei berpuasa untuk pembebasan Anwar
4/ 5
Oleh