Ahad, 20 November 2011

Mahathir akui Umno banyak pemimpin korup

Sementara Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Umno selaku parti teras perikatan itu berhadapan dengan masalah mendapatkan pemimpin terbaik.

Bekas perdana menteri itu berkata, Umno diselubungi masalah mencari pemimpin — pendirian yang mengesahkan pandangan banyak pihak selama ini.

Katanya, tanggapan kebanyakan rakyat ialah Umno dipimpin oleh orang yang korup dan “kita dapati orang yang ada kelayakan tidak dibenarkan masuk dan pegang jawatan.” “Ini adalah perkara yang benar, malah kita hendak cari pemimpin dalam Umno sekarang pun susah.

“Di Selangor begitu ramai orang Melayu tapi hendak cari pemimpin cukup susah, boleh tak kita bayangkan tentang hal ini,” kata beliau sambil menambah, “kita sebenarnya yang merosakkan parti kita kerana melayan orang semacam ini.” Selangor merupakan salah satu negeri dikuasai Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa negeri itu harus ditawan semula dalam apa jua cara.

Dr Mahathir menjawab soalan sama ada orang Melayu seolah-olah sudah agak kritikal terhadap Umno ketika ditemu bual oleh Mingguan Malaysia, akhbar Kumpulan Utusan milik parti itu, sempena perhimpunan agung tahunan hujung minggu ini.

Menjawab soalan sama ada Umno masih ada harapan, Dr Mahathir yang bersara pada Oktober 2003 selepas 22 tahun memimpin Umno dan kerajaan berkata, “saya harap kita boleh menang tapi kalau kita tidak jaga, mungkin kemenangan itu kecil sahaja.” “Jika kemenangan kecil kita akan jadi kerajaan yang lemah dan lebih banyak masalah akan berlaku,” kata beliau lagi.

Dr Mahathir sejak Mac 2008 menegaskan bahawa kuasa politik orang Melayu sudah mula terhakis selepas Umno-BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri.

Bagaimanapun pendirian itu dinafikan oleh parti-parti Melayu yang lain termasuk PAS yang bersedia untuk menjaga kepentingan Melayu jika Umno sudah tidak berkuasa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, orang Melayu tidak boleh mengharap sahaja tetapi perlu bertindak bagi menjaga kedudukan mereka.

“Mereka kena berusaha dan saya berpendapat masalah paling besar adalah perpecahan orang Melayu.

“Sekarang ini keadaan terbahagi kepada tiga pihak, mungkin Umno yang paling besar,” katanya lagi. Kata beliau,

“katakanlah Pakatan Rakyat dapat undi lebih daripada kita sekarang, itu pun sudah membahayakan.”

Related Posts

Mahathir akui Umno banyak pemimpin korup
4/ 5
Oleh