Rabu, 30 November 2011

Muhyiddin buktikan Umno memang tak jujur

Muhyiddin buktikan Umno memang tak jujur

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Serangan terbuka tidak berasas Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap PAS malam tadi membuktikan parti Islam itu berada di landasan betul apabila selama ini menolak idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik, kata Salahuddin Ayub.

Naib Presiden PAS ini menegaskan, kenyataan orang nombor dua Umno dan Barisan Nasional (BN) itu dengan sendirinya menggambarkan mereka tidak jujur dalam pelawaan dan ajakan berkali-kali selama ini, kecuali mahu menghancurkan Pakatan Rakyat.

“Ya, ya. Kita berada dalam landasan yang betul untuk tidak bersama dengan mereka (Umno), menolak ajakan mereka. Pendirian kami memang betul, apa yang kami sangkakan selama ini betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata PAS memang dari “hari pertama penubuhan, lebih 50 tahun lalu tidak percaya pada Umno.”

“PAS tidak akan tertipu dan terpedaya dengan tindakan-tindakan Umno,” katanya dengan merujuk kepada keputusan PAS sejak tiga tahun secara konsisten menolak pelawaan membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Sebaliknya PAS mahu kekal bersama Pakatan Rakyat.

Idea kerajaan perpaduan muncul selepas Umno-BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kerajaan lima negeri jatuh ke tangan parti komponen Pakatan Rakyat.

Dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan Pemuda, Puteri dan Wanita malam tadi, Muhyiddin selaku Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri berkata, PAS tidak boleh menggantikan Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu atas alasan “Umno tiada galang-ganti.”

Sebelum ini Umno berulang kali mengajak PAS agar membentuk kerjasama politik dan kerajaan perpaduan termasuk menyertai Barisan Nasional (BN).

“Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti.

“Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin mendakwa “DAPlah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?”

Sehubungan itu kata Muhyiddin, untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan.

“Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka,” kata beliau.

Ekoran hujah dan ucapan menyerang tanpa asas itu, Salahuddin seterusnya menegaskan, beliau kini sudah hilang hormat ke atas Muhyiddin selaku orang nombor dua kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila saya mendengar ucapan berpeluh Muhyddin ini (malam tadi), saya sudah hilang hormat ke atas beliau sebagai seorang pemimpin, timbalan perdana menteri dan dikatakan bakal perdana menteri. Beliau tidak layak. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin nombor dua parti, beliau seharusnya menyampaikan gagasan yang lebih besar, bukan menggunakan poin-poin yang digunakan semalam,” katanya lagi.

Selasa, 29 November 2011

Isa Samad: ‘Saya tidak akan minta maaf,

Isa Samad: ‘Saya tidak akan minta maaf,

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Tan Sri Isa Samad menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kepada Shamsuddin Othman yang mendakwa Pengerusi Felda itu telah menghina beliau selaku ketua peneroka pada satu majlis di Negeri Sembilan pertengahan bulan ini.

Isa yang mengetuai Felda sejak setahun lalu berkata, beliau tidak peduli dengan ugutan Shamsuddin yang mahu beliau meminta maaf dalam masa 14 hari atau menghadapi tindakan saman.

“Saman-menyaman ini adalah perkara biasa. Ada anak saman ayah, dan macam macam saman di mahkamah. Saya tidak gentar jika beliau mahu saman saya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider selepas majlis taklimat Presiden Umno di sini petang ini.

Shamsuddin, yang juga ahli lembaga pengarah Felda memberi masa 14 hari kepada Isa yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina beliau dalam satu taklimat di Kuala Pilah 12 November lalu.

Shamsuddin berkata kenyataan menghina pemimpin Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda, selaku ketua kepada para peneroka, dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”, tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Isa selaku pengerusi agensi kemajuan tanah persekutuan itu.

“Ini kali pertama seorang Pengerusi Felda mengeluarkan kata-kata menghina seorang ketua peneroka, bukan sahaja pemimpin peneroka, saya kira keseluruhan peneroka rasa terhina dengan kenyataan Tan Sri Isa,” kata beliau pada sidang media di sini semalam.

Rakaman ucapan Isa turut ditayangkan pada sidang media yang dihadiri oleh sembilan naib pengerusi JPP Wilayah dan Gerakan Persatuan Wanita.

Berdasarkan kandungan ucapannya, Isa didapati mendakwa bahawa Shamsuddin yang diturut dipanggil sebagai “Pas Sam” tidak faham-faham meskipun sudah berkali-kali dijelaskan mengenai proses penyenaraian Felda Global Ventures.

Shamsudin , 59, dari Felda Wilayah Johor Baru berkata, Isa mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian Felda Global Ventures di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu.

“Saya akan lantik peguam dan akan memberi masa 14 hari kepada Isa agar meminta maaf. Oleh kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka, di khalayak ramai, maka saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka di lima akhbar tempatan,” kata beliau lagi.

Menjelaskan taklimat presiden, Isa berkata Datuk Seri Najib Razak menyeru ahli-ahli Umno bersatu menjelang pilihan raya umum ini.

Katanya, beliau mahu BN menang besar dalam pilihan raya umum ke-13 sambil mengetepikan kepentingan diri jika tidak terpilih sebagai calon.

Ulasan:
Isa Samad bukan sahaja menghina ketua peneroka,malah ia bermaksud menghina seluruh warga peneroka.Kepada para peneroka,ambilah iktibar dari kejadian ini.marilah kita membuang pemimpin yang sudah terbukti menghina para peneroka ini dengan memberi undi kepada PAS di PRU ke13 nanti.

Isnin, 28 November 2011

Isu Hina Peneroka Felda:Pengundi akan beralih arah

Isu Hina Peneroka Felda:Pengundi akan beralih arah

KUALA LUMPUR, 28 Nov ― Dilihat sebagai bantahan terbuka kali pertama, badan yang mewakili peneroka Felda hari ini menggesa Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berundur secara terhormat dan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan permintaan itu jika inginkan undi pilihan raya umum ke-13.

Gesaan itu dibuat pada satu media di sini hari ini oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), yang diiktiraf secara rasmi oleh Felda, mendakwa mewakili 1.6 juta warga peneroka dan sekitar 120,000 peneroka dari 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Desakan itu dibuat ketika pentadbiran Najib bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mengharapkan sokongan padu peneroka Felda yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Umno-BN.

Selain menggesa Isa, yang mengetuai Felda sejak setahun lalu, JKPP juga menggesa Pengarah Seranta Felda Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, Datuk Sabri Ahmad agar berundur sama.

Desakan itu memuncak ketika proses menyenaraikan Felda Global Ventures sedang giat dijalankan.

Langkah penyenaraian itu diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

“Di atas segala polemik, isu dan masalah yang timbul, JKPP dan (Gerakan Persatuan Wanita) GPW dengan ini sebulat suara mengusulkan kepada Tan Sri Isa Samad, Datuk Sabri Ahmad dan Datuk Noor Ehsanuddin agar mengundur diri secara terhormat dan jika hasrat kami ini tidak ditunaikan oleh YAB Persana Menteri, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa pilihan raya umum ke-13 tidak lagi diperlukan oleh kerajaan memerintah,” kata kenyataan media itu.

Sidang media itu dikendalikan oleh Pengerusi JKPP Shamsuddin Othman yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah sembilan naib pengerusi JKPP Wilayah.

Pada sidang media hari ini, Shamsuddin, 59, menyenaraikan masalah dan isu dihadapi oleh pihaknya termasuk dakwaan ketua peneroka itu dihina oleh Isa, ketiadaan maklumat yang cukup mengenai proses penyenaraian dan tindakan Seranta Felda ‘Umno’ mengganggu peneroka.

Kenyataan media menyebut Isa pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada 12 November lalu telah menghina Shamsuddin dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.

Shamsuddin berkata, dalam pengalamannya sebagai seorang peneroka ini kali pertama seorang pengerusi menghina ketua peneroka sebegitu rupa.

Kenyataan itu menambah, “JKPP dan GPW yang mewakili majoriti ahli Koperasi Permodalan Felda menolak pelantikan Tan Sri Isa sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda melalui kuasa menteri koperasi dan meminta kerajaan menghormati hak demokrasi ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda dan Undang-undang Koperasi Permodalan Felda.”

Kenyataan itu menambah, JKPP dan GPW juga tidak bersetuju dengan keluaran akhbar pojok 1Suara yang disalurkan dananya oleh Seranta Felda dan Jabatan Perdana Menteri.

“JKPP dan GPW ingin mencadangkan supaya unit Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri ditutup dan pegwai-pegawai Seranta Felda yang terdiri daripada anak-anak Felda yang berniat ikhlas membantu masyarakat Felda diserapkan secara tetap dalam organisasi Felda,” katanya lagi.
Menggilap perjuangan rakyat

Menggilap perjuangan rakyat

"Perjalanan yang kita ambil dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka hanya mengambil masa 15 minit, dan kita sampai ke Dataran Merdeka untuk mengisytiharkan satu proklamasi untuk berjuang. Dan ramai di kalangan kita telah berjalan bukan 15 minit, tetapi 13 tahun sampai hari ini."

Demikianlah kata-kata Naib Presiden PKR Tian Chua, mengimbau nostalgia kelahiran parti KEADILAN dalam gerakan Reformasi, yang bermula pada September 1998.

Tian Chua berkata, ramai yang tidak kenal secara peribadi Anwar Ibrahim, tidak lebih sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri Barisan Nasional yang dipecat dari kerajaan, 13 tahun lalu. "Beliau tidak tinggalkan pesan tentang rancangan bagaimana kita tawan kerusi-kerusi. Tidak ada mesej tentang bagaimana kita harus berjuang. Rakyat yang mengatur sendiri. Aktivis-aktivis dari bawah yang memberanikan diri untuk berdepan dengan penindasan. (Ramai antara mereka) ...yang mengorbankan pekerjaan, bahkan keluarga dan segala-galanya untuk mencapai kejayaan."

Kata-katanya disambut dengan tepukan gemuruh, dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pulai Springs Resort, petang tadi. Tian Chua sempat mengaitkan gerakan reformasi dengan senario politik di dunia, menyaksikan bagaimana Revolusi Jasmin yang berlaku di Timur Tengah sehingga membawa kepada Arab Spring.

"Rakyat bangkit, yang 99% tuntut hak keadilan dari 1%," katanya dengan tegas, malah beliau yakin "sejarah telah mentakdirkan gerakan rakyat ini akhirnya akan menang."

Mendengar dari akar umbi

Mengambil iktibar dari Barisan Nasional, Tian Chua menggesa agar pemimpin mendengar kepada rintihan rakyat, dan bukannya pakar-pakar dari syarikat perhubungan awam seperti APCO sekiranya berkuasa. "Kita nak selesaikan masalah transport, tanya pemandu teksi; kalau kita nak selesaikan isu penternakan lembu, tanyalah penternak lembu; kalau kita nak selesaikan masalah beras, tanyalah petani-petani! Kita harus sentiasa pastikan, parti ini harus sentiasa ada proses mendengar dari akar umbi!"

"Perjuangan rakyat" menjadi tema yang ditonjolkan dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR, yang berkemungkinan besar kongres terakhir untuk parti itu sebelum PRU 13. Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail,mengimbas liku hidupnya 13 tahun yang lalu, khususnya selepas Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Wan Azizah mengakui dirinya terkesan dengan beberapa insiden, antaranya seorang makcik yang bertubuh bongkok datang ke ceramah dan menghulurkan wang satu ringgit untuknya. Ketua Umum Anwar Ibrahim yang berucap di akhir Kongres, turut membangkitkan beberapa kisah yang menyentuh hatinya ketika turun ke gelanggang.

Misalnya, seorang Tok Lebai yang datang dengan pakaian yang lusuh, menyerah satu sampul, yang diketahui isinya ialah RM1000 hanya selepas beliau membukanya dalam kereta. Beliau juga tersentuh apabila seorang Cina yang beredar setelah ceramahnya bermula, yang disyakinya sebagai ahli MCA. Namun, orang Cina itu kembali dengan motornya, membawa ubat batuk dan gula batuk kepadanya, kerana mendapati suaranya sudah serak.

Anwar mengakui dirinya dinasihati Wan Azizah untuk mengurangkan aktivitinya baru-baru ini, kerana kesakitan bahagian pinggangnya dan batuk. Namun, beliau mendakwa bahawa rakyat di bawah adalah "ubat"-nya, ketika beliau turun dan merenung mata-mata rakyat di akar umbi. Anwar turut mengingatkan, ratusan ribu rakyat yang terlibat dalam perjuangan ini, dan mereka tidak mendapat sebarang habuan atau manfaat.

Beliau sempat mengisahkan pengalaman Naib Presiden PKR Nurul Izzah, juga anak perempuannya, yang sedikit khuatir apabila ahli korporat besar seperti Tony Ferdenandez, adik Najib dan jutawan yang ramai turun untuk berkempen di kawasannya, iaitu Lembah Pantai.

Secara terus-terang Anwar Ibrahim menyatakan bahawa usah diharapkan korporat besar akan menyokong perjuangan PKR, kerana mereka mempunyai kepentingan yang dilindungi kerajaan Barisan Nasional. Berulang-kali beliau mengingatkan, "Siapa yang sokong kita? Pemandu teksi, pekerja di kilang, peniaga kecil..."

Khalid segan berdepan dengan Syed Husin Ali

Khalid Ibrahim mengakui bahawa dirinya memikul cabaran yang besar selepas menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, dan beliau sentiasa berhati-hati kerana sedar kesalahan dirinya akan meruntuhkan usaha-usaha dalam reformasi.

Khalid Ibrahim mengakui bahawa dirinya "hormat kepada Anwar Ibrahim", tetapi "segan bila berdepan dengan Syed Husin Ali (bekas Timbalan Presiden PKR)". Beliau sedar bahawa penampilan dirinya lebih sebagai ahli korporat, dengan pakaian yang agak jenama, tali leher dan sebagainya, pernah diragui sama ada berkemampuan untuk memikul tugas "Merakyatkan Ekonomi". Sambil berseloroh beliau berkata dirinya tidak main golf, beliau mengisahkan bagaimana misi "merakyatkan ekonomi" itu disempurnakan melalui urus tadbir ekonomi yang baik, "minda korporat, rakyat di hati", kata Khalid Ibrahim.

Isu paling besar Melayu: Ketidaksamarataan

Di samping itu, Khalid Ibrahim menegaskan bahawa ketidaksamarataan adalah isu yang paling besar untuk Melayu. "Saya mula-mula tidak mahu bercakap seperti saudara Iskandar, yang mengatakan bahawa masalah orang Melayu sudah mula takut. (Kononnya) 'kita mesti tunjukkan kita menjuarai isu Melayu untuk tarik balik sokongan Melayu'."

"Kita bukan Ibrahim Ali, saya tak mahu campur dalam kumpulan tersebut," tekannya dengan yakin. Malah, Khalid berkata dirinya bersedia untuk menjelaskan kepada masyarakat Melayu, tentang apa masalahnya dengan Dasar Ekonomi Baru. Beliau berkata, negara kita kaya, tetapi kelemahan itu disebabkan urus tadbir yang tidak baik. Lebih-lebih lagi, penyebaran maklumat tersekat kerana diserang oleh media arus perdana.

"Kelemahan Johor kerana Melayu mempercayai apa yang disebarkan Utusan Malaysia," katanya dengan nada menyindir, sambil menyuntik semangat bahawa urus tadbir baik di Selangor akan diteruskan di negeri Johor - menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat untuk menawan kubu UMNO-BN ini dalam PRU 13.

Ahad, 27 November 2011

Guan Eng:Umno ancam kepentingan Melayu

Guan Eng:Umno ancam kepentingan Melayu

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan parti itu tidak pernah menjadi ancaman kepada kepentingan orang Melayu, sebaliknya hanya Umno, yang merupakan komponen teras Barisan Nasional (BN) mempamerkan sifat-sifat sedemikian.

Sehubungan itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini, Umno bukan sahaja menjadi ancaman kepada orang Melayu tetapi juga kepada rakyat Malaysia dengan sikapnya yang menggunakan dan mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan salah guna kuasa.

“Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka.

“Ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu. Manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insurans, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu,” katanya.

Dalam kenyataannya, Lim menambah, tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno mempertahankan agenda perkauman partinya dan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1 Malaysia adalah slogan kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas pilihan raya umum ke-13.

“Yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.

“Malah Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan.

“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia dengan berkata pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan bersesuaian dengan komposisi masyarakat majmuk di negara ini demi mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi.

Muhyiddin berkata sikap fanatik dan taksub akan menyebabkan seseorang itu menutup fikiran mereka daripada menerima sebarang maklumat daripada pihak yang tidak mereka senangi.

Beliau berkata gagasan 1 Malaysia yang membawa nilai-nilai aspirasi seperti budaya berprestasi tinggi, ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi turut diterap dan dibudayakan dengan konsep kesederhanaan.

Muhyiddin berkata matlamat akhir pendekatan wasatiyyah masih tidak lari daripada usaha mempertingkatkan kualiti hidup ummah, sama ada daripada segi penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, perpaduan, pertahanan, kenegaraan dan sebagainya.

Dalam kertas kerjanya pada seminar itu, Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar pula berkata konsep Malaysian Malaysia bertentangan dengan konsep wasatiyyah kerana ia berat sebelah dan idea dangkal ini meminggirkan hakikat sejarah serta latar belakang politik di negara ini.

Jumaat, 25 November 2011

Anwar akan jadi PM

Anwar akan jadi PM

PULAI, 25 Nov — Menggambarkan sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini berkata, partinya akan memastikan Ketua Pembangkang itu bebas penjara bagi mengetuai kerajaan pusat Pakatan Rakyat (PR).

Berucap merasmikan secara serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan Rakyat dan Wanita PKR 2011, Azmin berkata, perikatan pembangkang itu telah mencapai konsensus bahawa Anwar, yang kini berhadapan dengan tuduhan meliwat yang kedua, akan menjadi Perdana Menteri ketujuh negara.

“Sesiapa yang berkonspirasi untuk memenjarakan Anwar Ibrahim, kami (sayap) Pemuda dan Wanita akan bangun dan merobohkan tembok penjara untuk membebaskan beliau,” kata beliau dalam ucapan dasar yang disambut dengan sorakan 1,600 perwakilan.

Azmin yang juga Ketua PKR Selangor berkata pihaknya mahu memberi peringatan keras kepada Umno bahawa apa pun konspirasi, PKR keadilan akan bangkit menentang untuk memastikan Anwar tidak dipenjarakan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar penggulungan hujah pada 8 Disember ini manakala pilihan raya umum ke-13 pula disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Harapan Anwar untuk menjadi perdana menteri kemungkinan tidak menjadi kenyataan jika beliau disabitkan kesalahan atas tuduhan itu yang membawa hukuman penjara 20 tahun.

Anwar dikenakan hukuman penjara sembilan tahun pada 2000 tetapi Mahkamah Persekutuan mengetepikannya pada 2004.

Beliau bertanding dalam pilihan raya kecil pada Ogos 2008 di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Awal bulan ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika PR membentuk kerajaan pusat jika pun dipenjarakan.

Selasa, 22 November 2011

Akta Perhimpunan Aman mengekang kebebasan


KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan membidas undang-undang perhimpunan aman yang dibacakan kali pertama hari ini atas alasan ia memberi kuasa yang luas kepada Menteri Dalam Negeri dan polis selain menghakis hak dan kebebasan diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan selama ini.

Bekas presiden Majlis Peguam ini mendakwa kerajaan telah gagal dalam menerima pakai standard antarabangsa, sebaliknya mengehadkan kebebasan yang diberikan oleh undang-undang tertinggi negara ini.

“Rang undang-undang ini (Perhimpunan Aman) membataskan hak kita seluas yang mungkin,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau undang-undang baru ini mengekang lagi kebebasan untuk berhimpun dan juga kebebasan berucap.

“Tambahan, kebebasan berhimpun termasuk protes jalanan yang aman. Dengan mengeluarkan hak ini sama sekali, Perlembagaan Persekutuan sekali lagi diperlekehkan,” katanya.

Ambiga berkata undang-undang yang hendak dibawa oleh pentadbiran Najib ini lebih buruk berbanding Seksyen 27 Akta Polis yang sedia ada, yang akan dimansuhkan.

Kata beliau, ia salah satu hak kebebasan fundamental yang diperlukan dalam menggerakkan masyarakat demokrasi dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru beliau menggesa kerajaan dengan segera menarik balik rang undang-undang itu jika Datuk Seri Najib Razak jujur dalam janjinya menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik.

Ahad, 20 November 2011

Mahathir akui Umno  banyak pemimpin korup

Mahathir akui Umno banyak pemimpin korup

Sementara Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Umno selaku parti teras perikatan itu berhadapan dengan masalah mendapatkan pemimpin terbaik.

Bekas perdana menteri itu berkata, Umno diselubungi masalah mencari pemimpin — pendirian yang mengesahkan pandangan banyak pihak selama ini.

Katanya, tanggapan kebanyakan rakyat ialah Umno dipimpin oleh orang yang korup dan “kita dapati orang yang ada kelayakan tidak dibenarkan masuk dan pegang jawatan.” “Ini adalah perkara yang benar, malah kita hendak cari pemimpin dalam Umno sekarang pun susah.

“Di Selangor begitu ramai orang Melayu tapi hendak cari pemimpin cukup susah, boleh tak kita bayangkan tentang hal ini,” kata beliau sambil menambah, “kita sebenarnya yang merosakkan parti kita kerana melayan orang semacam ini.” Selangor merupakan salah satu negeri dikuasai Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa negeri itu harus ditawan semula dalam apa jua cara.

Dr Mahathir menjawab soalan sama ada orang Melayu seolah-olah sudah agak kritikal terhadap Umno ketika ditemu bual oleh Mingguan Malaysia, akhbar Kumpulan Utusan milik parti itu, sempena perhimpunan agung tahunan hujung minggu ini.

Menjawab soalan sama ada Umno masih ada harapan, Dr Mahathir yang bersara pada Oktober 2003 selepas 22 tahun memimpin Umno dan kerajaan berkata, “saya harap kita boleh menang tapi kalau kita tidak jaga, mungkin kemenangan itu kecil sahaja.” “Jika kemenangan kecil kita akan jadi kerajaan yang lemah dan lebih banyak masalah akan berlaku,” kata beliau lagi.

Dr Mahathir sejak Mac 2008 menegaskan bahawa kuasa politik orang Melayu sudah mula terhakis selepas Umno-BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri.

Bagaimanapun pendirian itu dinafikan oleh parti-parti Melayu yang lain termasuk PAS yang bersedia untuk menjaga kepentingan Melayu jika Umno sudah tidak berkuasa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, orang Melayu tidak boleh mengharap sahaja tetapi perlu bertindak bagi menjaga kedudukan mereka.

“Mereka kena berusaha dan saya berpendapat masalah paling besar adalah perpecahan orang Melayu.

“Sekarang ini keadaan terbahagi kepada tiga pihak, mungkin Umno yang paling besar,” katanya lagi. Kata beliau,

“katakanlah Pakatan Rakyat dapat undi lebih daripada kita sekarang, itu pun sudah membahayakan.”

Jumaat, 18 November 2011

PRU-13:PAS tubuh panel khas pilih calon

PRU-13:PAS tubuh panel khas pilih calon

PAS telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 bila-bila masa tetapi mahu berhati-hati dalam soal pemilihan calon yang bakal bertanding, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pihaknya berhati-hati dalam hal ini dan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai prestasi seseorang calon.

“PAS tidak ada masalah dalam pemilihan calon, kerana kita mempunyai ramai calon berkelayakan cuma pemilihan perlu dibuat melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi parti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di dataran ilmu hari ini.

Dipetik Bernama Online, Mursyidul Am PAS berkata apa yang pasti wakil rakyat yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang ketika diberi peluang menjadi calon dalam pilihan raya lepas, tidak akan dipilih lagi kali ini.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Parti Islam itu membentuk kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Khamis, 17 November 2011

PRU-13: Majoriti Melayu tak yakin BN mampu tawan Pulau Pinang

PRU-13: Majoriti Melayu tak yakin BN mampu tawan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 17 Nov ― Majoriti pengundi kalangan kaum Melayu tidak yakin Barisan Nasional (BN) boleh merampas balik kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum akan dipanggil waktu terdekat.

Kajian kendalian Ilham Centre berkaitan persepsi dan tanggapan orang Melayu menunjukkan keadaan itu disebabkan perpecahan dalaman Gerakan dan ketiadaan Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang melepaskan jawatan perdana menteri dua tahun lalu, dalam kepimpinan Umno pusat telah menggelapkan harapan BN untuk kembali memerintah Pulau Pinang.

Kajian itu dijalankan awal bulan lalu dengan memfokus 720 responden dari dua kerusi Parlimen dan satu kawasan Dewan Undangan Negeri - yang kesemuanya berada dalam tangan Umno-BN. Salah satu kerusi Parlimen melibatkan Kepala Batas yang penyandangnya ialah Abdullah sendiri.

Pagi tadi Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang turut mengetuai BN Pulau Pinang mengumumkan tidak akan bertanding pilihan raya umum ke-13. Beliau tewas pada pilihan raya umum 2008.

Berhubung soal sama ada BN akan memerintah semula kerajaan negeri Pulau Pinang hanya 18.6 peratus yakin manakala 16.4 peratus mengatakan tidak. Pun begitu responden yang mengatakan tidak pasti adalah dalam lingkungan 60.8 peratus.

Berhubung soalan sama ada Pakatan Rakyat akan kekal memerintah negeri itu, 25.3 peratus bersetuju berbanding 17.8 peratus mengatakan tidak. Sekali lagi bilangan mereka yang tidak pasti agak tinggi iaitu 56.7 peratus.

Daripada 720 respoden yang ditemui itu, seramai 57 peratus merupakan pengundi dikategorikan sebagai mereka atas pagar manakala 43 peratus lagi kalangan ahli Umno.

Bagamanapun menurut hasil kajian itu, pengundi Melayu mengharapkan agar nasib mereka dibela dan lebih mendekati mereka dan prihatin atas segala masalah mereka.

Pengundi-pengundi Melayu juga mahukan bantuan secara terus kerana mereka tidak suka kepada persaingan, kata hasil kajian itu sambil menambah, “jika boleh, salurkan bantuan secara terus, bukan berlumba-lumba dengan kaum lain.”

“(Mereka) mahukan bantuan ‘one-off’ dalam bentuk tunai dan keperluan harian kerana itu lebih menyebabkan mereka yakin kepada kepimpinan kerajaan negeri.

“Mahukan agar kerajaan negeri tidak bersikap ‘bias’ dan mengamalkan diskriminasi dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan,” katanya lagi.

Selain itu, pengundi-pengundi Melayu mahukan tokoh atau calon yang boleh duduk bersembang, turun ke bawah ‘down to earth’ dan boleh sedia mendengar segala keluhan dan masalah mereka.

Hasil kajian Ilham Centre ini juga menunjukkan bahawa Umno Pulau Pinang dilihat didominasi oleh Melayu “berketurunan mamak.”

“Oleh itu, pengundi Melayu agak skeptikal dengan kelompok ini. Namun begitu, orang Melayu masih lagi melihat dan meyakini bahawa Umno adalah harapan dan pilihan terbaik bagi mereka untuk terus membela nasib dan masa depan orang Melayu Pulau Pinang,” katanya lagi.

Di samping itu, Umno yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri, yang kesemuanya dimenangi tiga tahun lalu, tidak mempunyai tokoh yang dikatakan berkaliber dan berdedikasi setelah kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam PKR dan Pakatan Rakyat dan peletakan jawatan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, dipecat dari Umno pada September 1998 dan kemudian menubuhkan PKR.

“Namun rakyat masih lagi bergantung harap dengan Umno,” katanya lagi.

Ilham Centre juga berkata orang Melayu di kawasan kajian tidak mengetahui segala dasar baru kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

“Mereka lebih cenderung kepada segala manfaat yang mereka akan terima secara ‘one-off’ sama ada dalam bentuk bantuan kebajikan dan barang-barang keperluan harian seperti; beras, gula, tepung, telur dan wang tunai kerana ia lebih dirasai berbanding dengan pengumuman program dan rancangan pembangunan yang bernilai jutaan ringgit,” katanya lagi.

Rabu, 16 November 2011

Video seks:(BN) mendalangi siasatan

Video seks:(BN) mendalangi siasatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Barisan Nasional (BN) mendalangi siasatan terbaru ke atas beliau berhubung isu Datuk T mempertontonkan video seks Mac lalu sambil mendakwa pesaing politiknya mahu menghidupkan misteri si lelaki dalam rakaman itu.
Ketua Pembangkang itu memberitahu pemberita bahawa beliau tidak akan tunduk kepada tekanan sedemikian, sebaliknya akan melawan dakwaan-dakwaan yang dibawa ke atas dirinya.

“Ini yang mereka lakukan. Insya-Allah, kami tiada pilihan tetapi akan terus melawan, lawan mereka dalam pilihan raya.

“Mereka gementar untuk berhadapan dengan kita dan jadi, ini taktik kotor dan jahat yang mereka gunakan,” katanya lagi.

Anwar bercakap kepada pemberita di pekarangan balai polis Kepong.

Beliau diminta memberi kenyataan ekoran laporan polis bahawa telah memberi maklumat palsu berhubung siasatan awal ke atas kes rakaman video seks yang dipertontonkan oleh Datuk T.

Selasa, 15 November 2011

Nazri dedah ada menteri tidak setuju dengan PKFZ

Nazri dedah ada menteri tidak setuju dengan PKFZ

KUALA LUMPUR - Setelah sembilan tahun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam mendedahkan bahawa ramai anggota jemaah menteri yang tidak bersetuju dengan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002.

Nazri yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini sebagai saksi ke-20 pendakwaan dalam kes Tun Dr Ling Liong Sik berkata, beliau sendiri ada membangkitkan keraguan dan berpandangan projek yang dibelanja melebihi RM1 bilion itu berkemungkinan gagal.

Katanya, walaupun tidak membuat catatan pada mana-mana dokumen atau minit mesyuarat, beliau masih mengingati bahawa ramai menteri yang tidak bersetuju tetapi akhirnya menyetujuinya kerana bimbang menjadi isu besar.

“Dalam mesyuarat, bila perkara ini (projek PKFZ) berbangkit, ramai kata projek ini berkemungkinan tidak akan berjaya. Pada ketika itu kita tidak mahu masuk campur dalam perkara ini kerana harga tanah itu tinggi. Pada masa itu (2002), RM1 bilion itu besar.

“Ketika itu juga ada perasaan projek itu kemungkinan tidak berjaya, ramai juga rakan-rakan saya yang ‘caution’ dan setuju perkara ini dilihat (diteliti), ia isu besar. Ramai yang tahu tanah itu dijual pada RM25 sekaki persegi, sesiapapun jual akan mendapat untung besar,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

Nazri yang memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan berkata ketika 2002 berkata, ada antara jemaah menteri merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan projek PKFZ.

Ketika ditanya Kian Kheong adakah beliau membangkitkan atau membantah keputusan jemaah menteri pada 6 November 2002 untuk membeli tanah di Pulau Indah untuk melaksanakan projek itu, Nazri berkata: “Ada bangkit tetapi tidak membantah keputusan untuk membeli.”

Pada awal prosiding Nazri berkata, pada pemahamannya kos projek PKFZ adalah sebanyak RM1.088 bilion termasuk faedah.

Katanya, kabinet bersetuju memberi pinjaman mudah sebanyak RM4.6 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) pada 2007 bertujuan menyelamatkan projek PKFZ dan mengelak kesan negatif kepada kerajaan.

“Lima tahun sebelum itu (pada 2002 sebelum pinjaman diberi pada 2007), kita (jemaah menteri) tidak mahu supaya wang kerajaan terlibat kerana mereka (LPK) berjanji menggunakan wang dalaman, tetapi pada 2007 apabila kita diberi alasan yang LPK tidak boleh tanggung, keadaan menjadi begitu sulit dan kita tidak boleh biarkan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mengetahui projek itu melibatkan wang kerajaan pada 2002, beliau tentunya tidak bersetuju ia dilaksanakan.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Nazri menegaskan bahawa keputusan mengenai projek PKFZ adalah keputusan jemaah menteri dan bukannya keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahad, 13 November 2011

Menteri Wilayah Persekutuan minta Tukar kerajaan sediada

Menteri Wilayah Persekutuan minta Tukar kerajaan sediada

Di sebalik kontroversi berterusan berhubung soal pembangunan Kampung Baru — penempatan eksklusif orang Melayu di sini — Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, rakyat boleh menukar kerajaan melalui pilihan raya umum jika tidak percaya langsung dengan agens-agensi dibentuknya.

Bagaimanapun Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini menegaskan “mereka kena bagi kepercayaan kepada kerajaan yang memerintah sekarang.”

Menjawab soalan mengenai penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Raja Nong Chik berkata, agensi itu diwujudkan secara rasmi untuk mengadakan pembangunan secara besar-besaran dan ia sah di sisi undang-undang sebagai penyelaras pembangunan secara keseluruhan.

“Tetapi ia bukannya nak ambil alih hak milik tanah,” kata beliau dalam temu bual dibawa Mingguan Malaysia hari ini.

Katanya, penubuhan perbadanan itu, yang dibolehkan menerusi Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2011 diluluskan oleh Dewan Rakyat awal bulan lalu, sepatutnya tidak dipertikaikan kerana ia adalah entiti dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

Usaha menggubal rang undang-undang sejak awal tahun lalu berhadapan dengan protes dan kontroversi tetapi pentadbiran Najib berkata ia telah mendapat sokongan majoriti pemilik tanah.

“Ia bertanggungjawab kepada kerajaan dan kerajaan pula bertanggungjawab kepada rakyat.

“Kalau tidak percaya kepada agensi kerajaan, pada saya maknanya, mereka tidak percaya kepada kerajaan yang ada dan kalau tidak percaya, mereka kena tukar melalui pilihan raya. Tetapi pada masa ini, mereka kena bagi kepercayaan kepada kerajaan yang memerintah,” kata beliau lagi sambil menambah, kelulusan rang undang-undang itu adalah “peluang terbaik” untuk membawa pembangunan di Kampung Baru yang berusia lebih 100 tahun.

Kawasan itu mempunyai 800 lot tanah dan hampir 5,000 pemilik.

Menjawab soalan sama ada pilihan raya umum ke-13 dilihat akan menjadi penghalang kepada kejayaan perancangan kementeriannya, Raja Nong Chik berkata, “bagi saya mudah sahaja.”

“Biar pilihan yang tentukan. Jika ia mengatakan untuk teruskan pembangunan itu, kita teruskan,” kata beliau.

Justeru kata beliau, apa yang penting ialah kehendak majoriti dan “cuma apa yang saya minta ialah agar mana-mana pihak jangan keliruka pemilik dan pewaris sehingga akhirnya mereka tidak tahu apa yang hendak dilakukan untuk memajukan tanah milik mereka.”

Kata beliau, pihaknya bukan hendak mempolitikkan perkara tersebut dan betul-betul mahu tanah orang Melayu itu dibangunkan kerana “kalau kita fikir politik, baik kita tumpu pada kawasan-kawasan lain dulu sebab ia terlalu sensitif dari segi politik.”

Itu sebabnya kata beliau, pihaknya tidak kisah sangat mengenai pilihan raya umum kerana ia program jangka panjang.

Raja Nong Chik berkata kerajaan tidak mahu menekankan soal pembangunan secara kecil-kecilan sahaja, sebaliknya mahu membangunkan pada skala besar-besaran macam kawasan Iskandar di Johor, tetapi apa yang istimewanya adalah kerajaan “membangunkan tanah milik orang, selalunya kita bangunkan tanah milik kerajaan.”

“Jika model ini berjaya, kita akan gunakannya pada kampung-kampung Melayu di sekitar Kuala Lumpur atau lain-lain tempat,” katanya lagi.

Sabtu, 12 November 2011

Jika BN menang pada PRU ke 13 nanti

Jika BN menang pada PRU ke 13 nanti

Cubalah bayangkan jika dalam pilihan raya ke-13 akan datang, anda memilih untuk mengundi Barisan Nasional. Mungkin kerana anda lebih mudah terpengaruh dengan isu-isu remeh daripada perkara-perkara utama dan lebih besar dalam menentukan nasib serta masa depan kita semua.

Walau apa pun alasan yang anda diberikan untuk memilih BN, beberapa perkara utama sudah hampir pasti akan dilaksanakan oleh kerajaan BN yang didalangi UMNO yang telah terbukti sanggup berbuat apa sahaja semata-mata mahu terus bergayut di tampuk kuasa.

Tiga kemungkinan besar yang akan berlaku adalah:

1. GST akan dilaksanakan.
Ia adalah goods and services tax (GST) atau cukai barangan dan perkhidmatan. Jika UMNO-BN menang, maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung cukai ini pada semua barangan harian dan perkhidmatan. Contohnya, barangan seperti satu pek sabun cuci yang berharga RM10 kelak akan menjadi RM10.60 (setakat ini cukai perkhidmatan yang dikenakan biasanya 6 peratus).

RM0.60 ini mungkin tidak banyak bagi kita untuk satu jenis barangan, tetapi cuba anda bayangkan jika dalam satu hari anda perlu membeli 5 jenis barangan yang jumlah puranya RM50, anda akan perlu menambah RM3 untuk cukai tersebut.

Adakah jumlah ini masih sedikit? Jika dalam seminggu kita berbelanja RM200 untuk barang keperluan harian, maka jumlahnya akan menjadi RM12. Bayangkanlah dalam sebulan dan setahun, berapakah jumlah yang kita terpaksa bayar? Itu belum masuk kos-kos lain seperti bayaran pinjaman rumah, kereta, motosikal, minyak, servis, tol, telefon dan lain-lain.

Soalannya, ke manakah wang cukai ini akan pergi kelak? Masuk poket siapa? Dan apa pula yang akan kita (rakyat) perolehi darinya? Adakah rakyat dijamin akan mendapat mutu perkhidmatan perubatan (hospital) yang terbaik? Atau adakah kita akan dapat mutu perkhidmatan pelajaran dan pendidikan yang terbaik? Bayangkanlah jika ini terjadi, siapa pula akan membantu kita?

Setakat ini belum kedengaran kerajaan BN mahu menarik balik cadangan memperkenalkan GST walau pun banyak pihak telah membantahnya. Yang diperlukan BN ialah mandat rakyat untuk mengenakan sebanyak mungkin cukai terhadap rakyat.

Untuk apa kerajaan BN perlukan begitu banyak wang yang terpaksa dicukai daripada rakyat sendiri? Tepuk dada tanya selera.

2. Kes rasuah dan salah guna kuasa akan terus berleluasa
Kini isu terbaru membabitkan keluarga menteri UMNO, iaitu kes National Feedlot Corporation (NFC) yang dianggarkan berjumlah RM280 juta. Wang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah wang dari cukai rakyat dan sumber negara. Kontrak pula diberikan kepada syarikat keluarga seorang menteri. Walau pun dengan alasan syarikat terbabit telah mengikuti segala prosedur dan mempunyai kebolehan, dari segi etikanya, ia tidak mencerminkan ketelusan kerajaan dalam membelanjakan wang kita (rakyat).

Itu cuma satu contoh terbaru sahaja. Soal skandal kewangan, rasuah, penyelewengan kerap berlaku dalam pentadbiran BN. Dalam kes Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), mantan menteri-menteri pun terlibat. Dalam kes mantan seorang menteri besar yang berumah terlalu besar dan sepatutnya tidak mampu dimilikinya sudah menjadi kes mahkamah. Tentunya banyak lagi kes sedemikian yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlalu lama memerintah.

Baru-baru ini juga, Ketua Audit Negara telah mendedahkan pelbagai kes yang melibatkan salah urus hingga menyebabkan kerajaan (wang rakyat) rugi berbilion ringgit dalam masa setahun.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan, antara lain, telah menyatakan Kementerian Pelajaran adalah antara sembilan kementerian/jabatan yang mencatat perbelanjaan sebenar melebihi peruntukan. Hasilnya tidak nampak ke mana kerana pelajar dan guru Malaysia tidak pula dianggap antara yang terbaik di dunia, kalau tidak pun di rantau Asia Tenggara.

Laporan itu juga mendedahkan kos pengambilan balik tanah bagi projek Lebuh Raya Senai-Desaru meningkat hampir 103 peratus dengan kerajaan terpaksa menanggung tambahan sebanyak RM375.60 juta.

Malah, Ketua Audit Negara juga mencatatkan bahawa sebahagian besar pembelian dibuat melalui rundingan terus, tidak melalui tender terbuka dan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Berikut beberapa barang yang dibeli dengan harga yang tidak masuk akal sama sekali dilaporkan dalam laporan berkenaan:

• Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419, untuk membuat roti dan pastri bagi kursus di Kelantan

• Katil boleh lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100

• Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90

• Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79

• Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60

Jika mengambil kira wang RM280 juta dalam kes NFC, dicampur dengan skandal PKFZ yang bernilai berbilion-bilion ringgit itu, serta ditambah pula dengan ketirisan wang dari laporan Ketua Audit Negara itu, bayangkalah berapa banyak lagi wang rakyat yang akan hangus jika UMNO-BN terus diberi mandat untuk mengurus ekonomi negara.

Mengapa kerajaan UMNO-BN membiarkan pembaziran yang amat dahsyat itu sedangkan masih ramai golongan miskin dan berpendapatan rendah, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang memerlukan pembelaan?

Kata orang dulu-dulu, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

3. ISA mungkin dimansuhkan tetapi diganti dengan undang-undang yang lebih zalim dan kejam
Pada 15 September 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan bahawa pentadbirannya akan memansuhkan undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pengumuman itu pada hakikatnya hanya menyebut ‘akan’ tanpa penjelasan jangka waktu yang sebenar.

Jelas bahawa ia satu mainan politik yang terdesak untuk meraih undi rakyat. Malah, ISA yang kononnya mahu dimansuhkan itu akan digantikan dengan dua (2) akta baru yang belum dijelaskan lagi kepada rakyat tentang isi kandungannya, hatta gambaran kasar tentang undang-undang baru itu juga masih tidak diterangkan.

Jika anda memilih untuk mengekalkan kerajaan UMNO-BN dalam PRU akan datang kerana janji-janji Najib, perlu diingat bahawa amat sukar bagi Perdana Menteri untuk mengotakan janjinya.

Walau pun anda mungkin yakin niatnya baik, pimpinannya kini dipengaruhi unsur-unsur perkauman yang bersifat fasisme dan menolak perubahan, termasuk yang mengatakan hak asasi manusia itu adalah ajaran agama baru yang mengancam keselamatan negara.

Begitu juga reputasi Najib dalam isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang mana beliau telah berjanji untuk memberi kebebasan berkumpul di stadium tetapi janji hanya tinggal janji.

Malah, tindakan zalim pihak berkuasa yang menangkap rakyat yang memakai baju kuning serta bertindak ganas pada hari perhimpunan 9 Julai lalu, membuktikan tidak ada apa-apa perubahan akan berlaku; lebih teruk dikekang kebebasan jika UMNO-BN diberi mandat sekali lagi.

Kesan dari itulah maka pentadbiran Najib dikecam oleh dunia kerana gagal bertindak bijak dalam memberi hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman dan mengamalkan hak kebebasan bersuara.

Pimpinan tunggang terbalik

Malah pentadbiran UMNO-BN telah dilihat sebagai flip flop atau tunggang terbalik dalam banyak isu penting yang lain, dan semua ini menjadikan rakyat semakin gelisah seolah-olah tiada kepastian dalam hidup di bawah pemerintahan yang tak keruan itu.

Contoh paling nyata adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSI). Bila dilancarkan dahulu tanpa merujuk kepada rakyat, khususnya ibu bapa dan guru-guru serta pelajar, dicanangkan betapa pentingnya Bahasa Inggeris. Bila mahu dimansuhkan pun dibuat perkara yang sama, dengan menggunakan alasan mahu memartabatkan Bahasa Malaysia.

Dalam kes Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) di mana Mahkamah Rayuan telah pun mengisytiharkan Seksyen 15 (5) (a) yang menghalang hak mahasiswa untuk mengamalkan hak politik sebagai tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Sepatutnya kerajaan UMNO-BN menghormati keputusan ini tetapi sebaliknya mereka berdolak-dalik mencari jalan supaya mahkamah yang lebih tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang waras, munasabah dan adil itu.

Berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai Reformasi Sistem Pilihan Raya, Najib sendiri tidak berani memberi jaminan bahawa PRU ke-13 tidak akan diadakan sebelum jawatankuasa itu selesai melaksanakan tugasnya untuk memenuhi tuntutan rakyat bagi mewujudkan pilihan raya yang adil, bersih dan demokratik.

Malah, lebih awal dari itu semua, Najib telah mencanangkan slogan 1Malaysia apabila menjadi Perdana Menteri. Tak sampai setahun, segala niatnya dihancurkan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang perubahan. Kerana itu janji Najib amat sukar untuk dipercayai lagi.

Mengapa Perdana Menteri begitu lemah dan takut untuk berhadapan dengan kumpulan-kumpulan minoriti yang jelas mensabotaj agendanya yang mahu mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian itu?

Bayangkanlah betapa mendung dan gelapnya masa depan kita jika UMNO-BN terus memerintah… – Roketkini.com

Jumaat, 11 November 2011

Lima sebab P.Pinang tak bubar DUN

Lima sebab P.Pinang tak bubar DUN

Kerajaan negeri Pulau Pinang menyenaraikan lima sebab ia tidak akan mengikut langkah Barisan Nasional (BN) jika Parlimen dibubarkan sekarang untuk membuka laluan bagi pilihan raya umum tergempar.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih bertegas mahu memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun ini, maka Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan memanggil sidang khas untuk membawa usul bahawa pilihan raya negeri tidak akan diadakan bersama pilihan raya umum Parlimen.

Salah satu sebab menurut Lim ialah pentadbiran Najib masih belum menunaikan janji memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pengagihan RM500 yang dijanjikan untuk keluarga berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

"Memandangkan spekulasi semakin rancak sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil pilihan raya umum pada tarikh bertuah 11 November (2011), ada lima sebab mengapa Pulau Pinang tidak akan ikut dan tidak akan mengadakan pilihan raya seiring dengan pilihan raya umum Parlimen tahun ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Di sebalik spekulasi itu, Najib mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini petang ini, yang dijangka antara lain akan membincangkan soal pengagihan kerusi.

"Persoalan timbul sama ada BN hanya akan mengadakan pengubahsuaian kosmetik berbanding memansuhkan ISA, sebaliknya menggantikan dengan dua undang-undang mirip ISA, menyebabkan rakyat Malaysia berhadapan dengan dua ISA berbanding satu sebelum ini," kata beliau lagi.

Keduanya kata Lim, adalah tidak adil mengadakan pilihan raya umum sekarang memandangkan jemaah haji belum pulang ke tanah air dan mereka akan dinafikan hak untuk mengundi, sekali gus menentukan kerajaan akan datang.

Kumpulan terakhir jemaah haji hanya akan pulang ke tanah air pada 11 Disember ini.

"Ketiga, kegagalan dan keengganan kerajaan BN untuk menjelaskan salah guna dana, penyelewengan yang jelas dan salah guna kuasa sebagaimana digariskan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Laporan Ketua Audit Negara mengingatkan rakyat Malaysia tentang setiap perkara yang salah di pihak kerajaan persekutuan BN," kata beliau, yang antara lain merujuk kepada perbelanjaan berlebihan oleh sembilan kementerian atau agensi kerajaan pusat dan projek kontroversi ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan milik keluarga Ketua Wanita Umno, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul.

Lim berkata, pihaknya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri memandangkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen masih menghalusi syor mengenai pembaharuan bagi mengadakan sistem pilihan raya yang adil dan bebas.

"Kegagalan untuk berbuat demikian akan membenarkan pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah dengan kewujudan pengundi-pengundi hantu dan pendatang asing tanpa izin yang diberikan status kerakyatan dan menjadi pengundi dalam beberapa jam. Apakah nasib Malaysia akan ditentukan oleh rakyat Malaysia atau pengundi hantu dan pendatang asing tanpa izin ini?" katanya lagi.

Selain itu menurut beliau, agenda nasional seharusnya difokus ke atas usaha mengelakkan banjir.

"Malaysia seharusnya belajar daripada keperitan masalah banjir di Thailand. Untuk mengadakan pilihan raya ketika musim tengkujuh apabila mangsa banjir lebih memikirkan keselamatan daripada mengundi, (kita) bukan sahaja menafikan hak demokratik mereka tetapi bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Mahathir nyanyi lagu lama

Mahathir nyanyi lagu lama

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih menyanyi lagu yang sama mengenai perpecahan orang Melayu.

“Ungkapan ini tidak lebih daripada untuk meniupkan emosi orang Melayu supaya jangan jauh daripada Umno,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Mahathir yang dilaporkan Bernama semalam bahawa orang Melayu akan menjadi kumpulan minoriti yang tidak mampu memperjuangkan hak mereka jika mereka terus berpecah belah.

Sambil menyatakan orang Melayu kini berpecah kepada tiga kumpulan, katanya hanya dengan bersatu, orang Melayu boleh menjadi kumpulan majoriti yang berkesan untuk bertindak memelihara kepentingan mereka.

"Dulunya orang Melayu bersatu dalam satu parti hingga berjaya menentang (rancangan penubuhan) Malayan Union,” katanya semasa menjawab soalan peserta yang hadir pada syarahan perdana oleh beliau bertajuk “Pembinaan Tamadun dan Budaya Masyarakat Malaysia Ke Arah Pembentukan Sebuah Negara Maju”, di sini.

Mengulas lanjut, Idris berkata zaman untuk menganggap Umno parti keramat untuk orang Melayu sudah berlalu terutama di kalangan Melayu terpelajar dan bermaklumat.

Menurutnya, mereka sudah mempersoalkan kenapa Melayu merempat di tempat Umno kuat.

Katanya, Melayu berpecah kerana dasar Umno Putera yang sudah menjadi darah daging pemimpin Umno akhirnya Melayu yang tidak berdosa menjadi mangsa.

“Dasar inilah menyebabkan Kelantan dipinggirkan oleh kerajaan pusat, pada hal Kelantan sebuah negeri majoriti penduduknya Melayu.

“Sebanyak 118 projek Persekutuan disekat sejak Rancangan Malaysia Keenam (1991),” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, pengkhianatan royalti kepada Kelantan yang jelas termaktub di dalam undang-undang telah dicabul.

Menurutnya, Pusat menafikan pendaratan minyak ke Kelantan yang hanya jarak 150 km berbanding dengan ke Songkla Thailand yang jaraknya 270 km.

Ini, ujarnya tidak termasuk diskriminasi oleh pimpinan Umno di peringkat akar umbi seperti menahan projek jalan kampung, bantuan kemiskinan dan lain-lain lagi.

“Kesemua ini dilakukan kerana dasar Umno Putera. Sikap yang ditunjuk oleh dasar Umno Putera menyebabkan Melayu lemah,” katanya.

Tambahnya, terbukti bukan bangsa lain yang menindas, sebaliknya Melayu ditindas dan dilemahkan oleh orang yang sebangsa, semata-mata kerana kerakusan kuasa dan tidak boleh menerima selain daripada parti Umno sahaja.

Khamis, 10 November 2011

Skandal NFC: Wanita PKR gesa Shahrizat letak jawatan

Skandal NFC: Wanita PKR gesa Shahrizat letak jawatan

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Ketua Wanita PKR menggesa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar meninggalkan politik dan letak jawatan jika benar-benar mengambil berat tentang Pergerakan Wanita Umno ekoran pendedahan masalah berkaitan projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Zuraida Kamaruddin, yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu seharusnya mengutamakan kepentingan Barisan Nasional (BN) dan wajar menunjukkan bahawa wanita lebih berwibawa dan berintegriti.

"Tindakan paling hormat untuk beliau lakukan adalah berhenti daripada kerajaan dan meninggalkan politik kerana tidak akan ada lagi pendedahan berkenaan projek ini," kata beliau pada sidang media hari ini.

Katanya, hanya tindakan meletak jawatan boleh menyelamatkan imej ahli-ahli Wanita Umno yang turut berhadapan dengan skandal tersebut, yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Semalam, Shahrizat mendakwa serangan ke atas beliau berhubung NFC adalah satu agenda politik pembangkang yang mahu memusnahkan Pergerakan Wanita Umno.

"Ini adalah agenda politik oleh pembangkang untuk melemahkan Wanita Umno. Tetapi kami bukan begitu mudah untuk dimusnahkan," katanya.

"Saya rasa malu ada seorang wanita rakyat Malaysia seperti Ketua Wanita PKR," kata senator ini dengan merujuk kepada Zuraida yang sebelum ini mendakwa projek NFC gagal meskipun diberi pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5,000 ekar.

Zuraida berkata "saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil yang akhirnya tampil memberi sedikit penerangan mengenai kontroversi membabitkan NFC yang dimiliki keluarga beliau."

Katanya, keberanian menteri itu sedikit sebanyak meredakan kemarahan rakyat yang bingung dengan pelbagai kenyataan caca merba yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional mengenai NFC setakat ini.

"Namun, saya amat kesal apabila beliau turut membuat komen yang berbentuk peribadi dengan menuduh saya dan PKR mahu merosakkan Wanita Umno dengan mendedahkan penyelewengan di NFC.

"Isu pokok yang perlu diberi perhatian adalah soal pertanggungjawaban wang rakyat sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada syarikat milik keluarga beliau walaupun prestasinya tidak menepati sasaran," katanya.

Kata Zuraida, ia menyentuh nasib ribuan petani dan penternak yang lebih memerlukan bantuan dana oleh kerajaan berbanding syarikat keluarga beliau.

"Skandal NFC menyentuh soal tata kelola kewangan negara yang lemah hingga wang rakyat dibelanjakan sesuka hati.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat dan seorang pemimpin wanita untuk membawa isu ini supaya sebarang penyelewengan dapat dihentikan segera," katanya.

Tambah Zuriada, beliau langsung tidak mempunyai motif peribadi, sebaliknya hanya melaksanakan amanah yang dipikul.

"Oleh yang demikian, saya berharap Datuk Seri Shahrizat Jalil juga kembali kepada amanah yang beliau pikul sebagai pemimpin wanita utama negara dan menerangkan sepenuhnya pelbagai pendedahan yang dibuat PKR setakat ini. "Pendedahan-pendedahan ini masih belum dijawab dengan baik oleh mana-mana pimpinan Barisan Nasional," katanya lagi.

Rabu, 9 November 2011

Rumah mampu milik: Kerajaan Selangor tawarkan harga lebih rendah

Rumah mampu milik: Kerajaan Selangor tawarkan harga lebih rendah

Di dalam belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Besar hari ini, Kerajaan Negeri telah menegaskan komitmen untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat.

Melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), lebih 10,000 rumah mampu milik akan dibina. Rumah mampu milik yang telah mula dibina di Bandar Baru Bangi pada Jun tahun ini adalah jauh lebih rendah harganya dari rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan atau PRIMA.

Rumah mampu milik Kerajaan Negeri bermula dari sekitar RM100,000 sehingga RM150,000. Harga jualan rumah PRIMA pula sehingga melebihi paras RM200,000 sebuah.

Kerajaan Negeri mahu rakyat berpendapatan di antara RM2,000 hingga RM5,000 memiliki rumah. Mereka yang berpendapatan di antara RM2,000 hingga RM5,000 tidak akan memperolehi pinjaman perumahan bagi rumah-rumah yang ditawarkan oleh skim PRIMA Kerajaan Persekutuan.

Tetapi mereka berupaya mendapat pinjaman untuk membeli Rumah Mampu Milik Kerajaan Negeri Selangor yang dibina oleh PKNS.

Memandangkan ramai yang mahu memiliki Rumah Mampu Milik Kerajaan Negeri, kawalan ketat ke atas jualan akan dilaksanakan untuk memastikan mereka yang benar-benar layak memilikinya. Untuk rumah mampu milik yang sedang dibina di Bandar Baru Bangi, lebih 600 permohonan telah diterima untuk memiliki 124 unit rumah.

Kerajaan Negeri tidak mahu amalan dahulu di mana rumah-rumah yang diperuntukkan untuk mereka yang berpendapatan rendah diagihkan kepada mereka yang tidak sepatutnya atau orang-orang politik dan saudara-mara mereka.

Oleh itu, nama-nama mereka yang dipilih untuk memiliki Rumah Mampu Milik akan dipamerkan di laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk dua minggu selepas pemilihan.

Orang ramai boleh menyatakan bantahan jika mengesyaki sebarang amalan yang tidak sepatutnya.

Jumaat, 4 November 2011

Umno dan Politik rempit

Umno dan Politik rempit

Kita sebagai anggota masyarakat menyedari kewujudan golongan anak muda yang menggunakan motosikal sebagai alat untuk melepaskan perasaan atau tekanan perasaan yang berpunca dari keadaan tempat kerja, sekolah atau keluarga.

Siapa Mat Rempit

Kita amat bersimpati kepada golongan ini yang rata-ratanya anak muda Melayu. Umumnya golongan ini bukanlah dari mereka yang berpendidikan tinggi atau keluarga mewah, sebaliknya mereka yang terkandas di peringkat sekolah menengah atau yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Mat Rempit juga merupakan golongan dari keluarga miskin bandar dan dari keluarga luar bandar. Mereka merempit siang dan malam, selain berpunca dari tekanan hidup, majoriti mereka ini sekadar ingin berseronok dan ada pula yang sudah ketagih.

Tetapi, kita juga sedar bahawa ada segelintir dari mereka yang memang ada bakat menunggang dan menyimpan cita-cita untuk menjadi pelumba profesional.

Namun, dari segi jumlah dan faktor persekitaran, maka niat itu selalunya gagal dicapai. Dilema ini mengundang pelbagai rantaian masalah yang tak kunjung selesai.

Nikmat merempit

Memulas throttle minyak dengan kelajuan yang maksimum, berserta deruman bunyi ekzos motor yang berdemping kuat akan mudah menarik perhatian orang ramai kepada gelagat mereka. Kebisingan dan kelajuan ini akan bertambah hebat apabila semua mata tertumpu melihat aksi mereka. Inilah antara perhatian yang amat diinginkan oleh para Mat Rempit.

Malah ia akan lebih seronok dan ghairah apabila ada polis yang membuat sekatan jalan raya semata-mata kerana Mat Rempit. Suasana kesesakan jalan ketika road block akan menimbulkan semacam kebanggaan di hati Mat Rempit.

Keadaan ini akan lebih teruja apabila ada adegan polis trafik mengejar Mat Rempit, dan tentunya nikmat kemuncak golongan ini tercapai apabila berjaya melepaskan diri dari sekatan polis. Inilah dunia Mat Rempit.

Mereka bukan saja berani dan mahir dengan teknik menunggang malah mereka kreatif mengubah suai motosikal. Segala jenis alat ganti semuanya mereka tahu. Pendek kata, hal motosikal di hujung jari mereka saja.

Manja menuntut perhatian

Namun sayang sekali, kreativiti ini biasanya akan berakhir seperti bakat mengubah suai mercun hari raya tanpa memahami asas fizik dan kimia, biasanya tangan dan jari yang putus, kalau pun tidak disambar maut. Lebih buruk lagi, nyawa orang lain yang tidak berdosa pula yang melayang.

Secara asasnya, golongan ini manja mahukan perhatian. Sama seperti golongan artis dan ahli politik yang amat dahagakan perhatian umum, Mat Rempit mahu masyarakat menghargai dan menghormati mereka.

Mereka juga mahu kemahiran mereka mengendalikan aksi-aksi stunt di jalan raya diiktiraf dan dipuji oleh masyarakat termasuk pihak berkuasa.

Hakikatnya, niat mereka tidak banyak beza dengan manusia lain yang mahu diberi perhatian. Tetapi, sekali lagi, niat mereka ini tidak terzahir seperti yang diharap dek kerena sikap, mentaliti dan bakat yang disalahgunakan.

Ia tidak ubah seperti anak kecil yang nakal dan ‘buas’ sehingga pecah dan rosak barangan dalam rumah semata-mata mahu menarik perhatian ibu bapa yang biasa sibuk dengan tugas seharian. Jika tidak diendahkan keluarga, ‘buas’ mereka akan dijaja di sekolah pula.

Politik rempit sembrono

Kini, kelompok-kelompok politik yang gila kuasa, korup dan amat terdesak telah mula mencari jalan untuk memanipulasi minda Mat Rempit yang hanya ketagihkan perhatian. Golongan ini telah mempergunakan Mat Rempit sebagai alat untuk menjustifikasikan tindakan politik kasar, hodoh dan jahil.

Ia merupakan gaya mainan politik keji yang baru dengan menggabungkan politik fitnah yang sudah menjadi darah daging golongan terdesak itu. Ia dinamakan sebagai politik rempit – memanipulasi minda anak muda yang gila merempit.

Inilah yang berlaku beberapa hari lalu di Pulau Pinang. Bila insan waras melihatnya, mahu tertawa pun ada, mahu menangis pun ada.

Sifat asas politik rempit ini masih sama dengan kerja merempit. Mereka sekadar mahu perhatian dengan cara yang mengundang bahaya dan kekecohan kepada masyarakat umum. Kreativiti politik jenis ini hanya untuk mahu memuaskan nafsu politik mereka.

Kononya, dengan bertindak sedemikian, mereka berharap masyarakat akan membenci kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan PAS.

Niat mereka mahu masyarakat melihat kononnya Mat Rempit adalah mangsa dasar kerajaan negeri. Dengan cara yang sembrono seperti merempit juga mereka cuba mengungkap keinginan mereka dengan cara sensasi dan ‘gempak’.

Sama seperti pecutan motosikal yang memecut laju dan mengambil selekoh maut dengan gaya yang paling sembrono tanpa mempedulikan pandangan masyarakat kepada mereka sendiri.

Mungkinkah kejadian kumpulan Mat Rempit menguasai jalan raya di pusat Bandar Georgetown baru-baru ini dibayangi oleh UMNO-BN?

Seperti biasa, UMNO cepat-cepat menafikannya.

Politik rasis konspirasi siapa

Tetapi semua orang tahu kerja-kerja menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang dengan ayat-ayat dan perkataan-perkataan tertentu datangnya dari pihak mana. Fitnah zalim yang dilontarkan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang semakin menjadi-jadi sejak pilihan raya umum 2008.

Mungkinkah kumpulan Mat Rempit berkenaan mempunyai begitu banyak wang sehingga mampu menyediakan t-shirt dengan slogan “Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis” serta sepanduk-sepanduk besar yang turut menuntut supaya “Selamatkan Mat Rempit” dan mahu disediakan litar lumba motosikal?

Jika golongan Mat Rempit ini benar-benar ikhlas mahukan litar lumba untuk golongan mereka, mintalah seperti mana orang lain yang inginkan sesuatu dari kerajaan negeri.

Mengapa perlu mengaitkan permintaan mereka dengan slogan yang bukan-bukan seperti ‘LGE Rasis’? Apa kaitan permintaan litar lumba dengan tuduhan ‘rasis’? Jika Pulau Pinang tiada litar lumba, maka mengapa Pulau Pinang perlu ‘diselamatkan’? Diselamatkan dari apa, dari siapa?

Adakah Pakatan Rakyat Pulau Pinang pernah berjanji dalam manifestonya untuk membina litar lumba untuk Mat Rempit atau pelumba motosikal Melayu sahaja?

Atau selepas ini Mat Rempit seluruh negara akan bermaharajalalela di jalan raya untuk menuntut perkara yang sama di negeri-negeri seperti Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan sebagainya?

Bayang-bayang UMNO-BN

Modus operandi ini sudah menceritakan dari mana gaya politik sebegini datang. Kita masih tidak lupa bagaimana demonstrasi haram yang pernah dibuat oleh beberapa pihak termasuk Senator Ezam Mohd Noor yang pernah memberi amaran mahu membakar pejabat portal media bebas kerana tidak sependapat dengannya.

Semua ini adalah gaya politik rempit yang terlalu hangit bau UMNO-BN. Tidak kira sama ada mereka mencipta kumpulan-kumpulan mi segera, hakikatnya kebanyakan mereka adalah dari parti satu kaum itu juga.

Cuma kali ini kita cukup tersinggung kerana pemimpin politik dewasa tergamak memperalat golongan Mat Rempit. Anak muda ini adalah golongan bermasalah yang perlu dibantu tetapi sebaliknya mereka diperalat oleh pemimpin kaum mereka sendiri.

Dari sudut sosial, Mat Rempit bukan punca masalah, mereka adalah tanda atau symptom kepada masalah yang lebih besar. Beberapa pandangan pakar telah dikemukakan untuk menyandarkan punca masalah itu kepada dasar-dasar perkauman kerajaan UMNO-BN yang mengakibatkan pengasingan atau alienation kumpulan remaja.

Memperalat dan mempergunakan anak muda

Apa yang semakin terserlah ialah UMNO-BN hanya tahu mengguna dan memperalat golongan muda, bakat muda, pengundi muda, tenaga muda dan segala yang ‘muda’ demi melampias politik kotor mereka.

Bukan remaja Melayu sahaja yang dipergunakan, model-model mini skirt wanita muda kaum Cina juga dijadikan wakil ke persidangan MCA baru-baru ini, atas sebab yang sama, iaitu untuk menarik perhatian masyarakat.

Sama ada UMNO menafikan atau tidak penglibatannya dalam demonstrasi Mat Rempit di Pulau Pinang, yang jelas adalah anak muda yang gila merempit telah tergolong dalam sasaran UMNO untuk dijadikan pekakas dan akhirnya, setelah cita-cita politik mereka tercapai, Mat Rempit akan sekali lagi kembali menjadi ‘kambing hitam’.

Hanya Mat Rempit sendiri mampu mengubah nasib mereka. Jika mereka berani menolak tawaran beberapa ringgit, termasuk duit minyak serta hadiah t-shirt daripada kumpulan-kumpulan pelampau kaum, Mat Rempit akan membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka benar-benar indipenden dan pantang dipergunakan oleh mana-mana pihak.

Dengan adanya sikap berani dan adanya keikhlasan hati, tidak ada kerajaan yang lokek untuk menabur dana demi kemajuan kerjaya dan hobi Mat Rempit, asalkan tidak melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Jangan dikatakan litar lumba, sekolah belajar berlumba sekali pun mungkin mampu ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat asalkan golongan Mat Rempit ini menyulam diri dengan usaha gigih, dan bukan sekadar mahu jadi jaguh jalan kampung.

Jika diri diperalat orang lain, yang rugi adalah diri sendiri. Semua Mat Rempit faham keadaan ini. – Roketkini.com

Khamis, 3 November 2011

Kebangkitan Malaysia: Pakatan ganti BN PRU-13

Kebangkitan Malaysia: Pakatan ganti BN PRU-13

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan satu “kebangkitan Malaysia” pada pilihan raya umum ke-13 sambil dengan yakin memberitahu agensi berita Amerika Bloomberg, Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil alih Putrajaya daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).
“Melihat pada kadar kami sedang bergerak sekarang, kami akan mengambil alih kerajaan,” kata beliau dalam satu temu bual dipetik agensi berita itu hari ini.

Ketua Pembangkang itu yang kini berhadapan dengan kemungkinan sabitan kesalahan buat kali kedua dalam kerjaya politiknya merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sebagai tanda sokongan besar kepada perikatan tersebut.

Kempen itu menarik ribuan hadirin di ibu negara di sebalik tindakan keras diambil pihak kerajaaan. Pihak polis juga menahan lebih 1,500 orang ketika itu.

Susulan perhimpunan itu, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa pembaharuan politik termasuk pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi mengkaji sistem pilihan raya awal Ogos lalu.

Sebulan kemudian, Najib mengumumkan pemansuhan beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang lain.

Tambah Anwar, dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penunjuk perasaan ketika perhimpunan Bersih 2.0, meskipun beliau disabitkan kesalahan pembangkang akan memperoleh keputusan yang lebih baik kali ini.

Sehubungan itu kata beliau, keputusan kes melibatkan dirinya merupakan satu rumusan yang “sudah pun pasti.”

Pemerintahan kerajaan BN lebih lima dekad, katanya, akan berakhir dalam pilihan raya umum ke-13.

Anwar memberitahu Bloomberg bahawa PR akan memperoleh lebih 40 peratus undi di kubu-kubu kuat BN, Johor dan Pahang, memperoleh balik majoriti di lima negeri yang ia menang pada 2008 selain mencatatkan kedudukan lebih baik di Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Trend ke arah kebebasan dan demokrasi tidak boleh dielak. Kita sepatutnya boleh melakukan lebih baik (kali ini),” kata Anwar yang juga Ketua Umum PR.

Bloomberg membangkitkan bahawa tiada sebarang peristiwa yang pemimpin Asia Tenggara digulingkan daripada kuasa sedangkan gerakan sivil semakin kuat di rantau ini.

Anwar menjawab: “Ketika negara-negara Timur Tengah berhadapan dengan Kebangkitan Arab, negara jiran Singapura menyaksikan rekod peralihan undi kepada pembangkang pada Mei (lalu), dan Myanmar membebaskan beberapa pesaing politik dari penjara bulan lalu.”

“Bila akan ada Kebangkitan Malaysia? (Ketika) pilihan raya umum akan datang,” kata Anwar.

“Harap-harap, kami akan melakukan (giliran) kami menerusi proses demoktratik yang aman,” katanya lagi.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998 dan kemudian menghadapi tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

Beliau dibebaskan pada September 2004 dan mengetuai kerjasama PR pada pilihan raya umum Mac 2008 dan memperoleh balik kerusi Parlimen Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil pada tahun yang sama.

Rabu, 2 November 2011

UMNO dengan Parti Komunis China

UMNO dengan Parti Komunis China

Seluruh negara tahu hubungan intim UMNO dengan Parti Komunis China. Malah Setiausaha Agung UMNO Datuk Tengku Adnan Mansor bangga dengan hubungan antara dua parti itu.

Namun, Timbalan Menteri Luar Negara Datuk Richard Riot menafikan hubungan UMNO-Parti Komunis China, dengan menjelaskan bahawa apa yang wujud hanyalah hubungan dua hala di antara kerajaan Barisan Nasional yang mewakili Malaysia dan kerajaan Republik Rakyat China.

Bercakap di dalam Dewan Rakyat semalam, Richard yang mewakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dalam BN, bagaimana pun enggan menjelaskan dengan lanjut tentang memorandum persefahaman dan kerjasama yang ditandatangani oleh UMNO dan Parti Komunis China.

Mungkin kerana SUPP dan Sarawak sering dipinggirkan oleh UMNO yang menguasai kerajaan pusat, Richard tidak mendapat gambaran sebenar tentang apa yang pimpinan UMNO lakukan.

Hipokrasi UMNO

Malah, kerana jawapan Richard yang sedemikian kepada soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sewaktu sidang Dewan itu, Naib Presiden PAS tersebut telah menyifatkan UMNO sebagai hipokrit.

Menurutnya, hipokrasi UMNO terserlah kerana bersekongkol dengan Parti Komunis China tetapi pada masa yang sama mengaitkan pembangkang dengan komunisme yang disifatkan oleh pemerintah sebagai satu pengkhianatan yang perlu diperangi habis-habisan.

Menurut agensi berita rasmi Bernama, UMNO dan Parti Komunis China menandatangani satu perjanjian persefahaman yang membolehkan pertukaran kepemimpinan belia dalam usaha meningkatkan kefahaman antara pemimpin belia mengenai pembangunan ekonomi dan sosial di kedua-dua negara pada Ogos tahun lalu.

Mahfuz telah bertanya di dalam Dewan Rakyat sama ada kerajaan sedar bahawa memorandum persefahaman yang ditandangani UMNO itu dibuat dengan Parti Komunis China yang membekalkan senjata kepada Parti Komunis Malaya “dan mungkin juga bunuh polis Bukit Kepong” pada tahun 1950.

Richard menjawab dengan menyatakan China sekarang sudah berbeza kerana ia mengamalkan dasar pintu terbuka.

Jawapan Richard yang lemah tanpa banyak asas itu menguatkan hujah Mahfuz tentang sikap talam dua muka UMNO yang masih cuba membohongi rakyat dengan hantu komunisme.

Sokong komunis, dosa pengkhianat yang tidak diampun

Minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang lebih banyak bermain politik daripada bersikap sebagai pemimpin negara telah menyatakan bahawa mana-mana rakyat Malaysia yang mengagungkan perjuangan komunis adalah pengkhianat yang dosa mereka tidak layak diampunkan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, dalam kes serangan Balai Polis Bukit Kepong, kerajaan mempunyai bukti kukuh bahawa Mat Indera yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, adalah seorang komunis.

Jumaat lalu, enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan pada 2 Julai lalu mengikut Ordinan Darurat telah dibebaskan (atau dalam bahasa undang-undangnya dilepaskan tanpa dibebaskan).

Mereka ditahan dua minggu sebelum perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Apakah sebenarnya ‘kesalahan’ mereka sehingga dituduh mahu ‘melancarkan perang terhadap yang di-Pertuan Agong’?

Apabila ditahan, bahan-bahan yang polis temui bersama mereka adalah bebarapa t-shirt dengan imej pemimpin komunis dan sosialis, serta risalah kempen PSM “Udah la tu…Bersara la” yang mengkritik BN. Itu sahaja.

Apa yang terjadi ialah PSM menjadi mangsa hantu komunisme untuk pemerintah menghancurkan usaha rakyat prihatin menjayakan perhimpunan aman Bersih 2.0 walau pun pihak berkuasa menyedari kempen PSM tidak ada kena-mengena dengan Bersih.

Namun, demi menegakkan benang yang basah, walau pun UMNO intim hubungan dengan Parti Komunis China dan mempunyai ikatan dengan beberapa parti komunis antarabangsa yang lain, ideologi itu telah dijadikan senjata untuk melumpuhkan usaha rakyat membebaskan negara daripada cengkaman politik perkauman UMNO.

Meludah ke langit

Sebelum ini pun, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming, menyergah UMNO kerana bersikap hipkorit apabila mengecam Mat Sabu sedangkan UMNO sendiri bersekongkol dengan Parti Komunis China.

“Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap Parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa komunis kepada PKM iaitu Parti Komunis China,” katanya.

Baginya, UMNO bersikap seperti meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri kerana akibat fitnah.

Yang dapat menyedarkan UMNO daripada perbuatan fitnah yang semakin menjadi-jadi adalah rakyat sendiri, khusususnya orang Melayu yang sering dipermainkan sentimen dan emosi mereka oleh parti itu serta kumpulan penyokong dan pecacai mereka.

Memang fitnah, termasuk fitnah yang dikaikan dengan komunisme untuk memburukkan Pakatan Rakyat, menguntungkan segelintir pemimpin yang gila kuasa. Tetapi yang paling rugi adalah rakyat terbanyak kerana mereka juga akan dihidangkan juadah fitnah pada hari-hari mendatang.

Malah, yang bakal menjadi mangsa adalah jutaan ahli biasa UMNO sendiri. Relakah ahli-ahli UMNO ditipu hidup-hidup oleh para pemimpin yang hanya pentingkan diri, keluarga dan kepentingan mereka sendiri sahaja? – Roketkini.com
Kaum India pertikai Nalla dilantik senator

Kaum India pertikai Nalla dilantik senator

Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), salah satu pertubuhan bukan kerajaan komuniti India, hari ini mempersoalkan pelantikan Datuk K S Nallakaruppan sebagai senator.

Nallakaruppan, pengasas dan presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) akan mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara hari ini.

MIUP yang ditubuhkan selepas Nallakaruppan, bekas rakan sukan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008.

“Mipas ingin mempersoalkan adakah ia satu majlis (detik) yang harus di banggakan? Datuk Nalla menubuhkan Parti Bersatu India Malaysia setelah keluar PKR, malangannya MIUP tidak menyertai pilihan raya umum ke-12, ia hanya menumpukan kepada kerja-kerja dalaman parti sahaja,” kata Setiausaha Agung Mipas S Barathidasan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, kata beliau, MIUP juga bukan sebuah parti majoriti yang mewakili masyarakat India.

“Mipas ingin bertanya apakah sumbangan Datuk Nalla untuk masyarakat India dan negara? Pernahkah beliau membawa apa-apa perubahan dari segi ekonomi, sosial dan politik?” katanya lagi.

“Bagi Mipas, Datuk Nallakaruppan hanyalah merupakan bekas ‘rakan tenis’ Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah untuk itu beliau di lantik sebagai senator?” kata beliau.

Nallakaruppan, 65, merupakan antara bekas pemimpin PKR dilantik dan ketua parti yang menyokong BN dari luar dilantik sebagai senator.

Sebelum ini, bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor dilantik sebagai anggota Dewan Negara.

Kedua-duanya pernah dilabel sebagai antara orang kuat Anwar.

Selasa, 1 November 2011

Menteri yang bangang tahap gaban

Menteri yang bangang tahap gaban

SHAH ALAM, 1 Nov : Dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa Kerajaan Negeri Selangor terlibat dalam kemasukkan seorang warganegara Israel ke Malaysia sebagai suatu yang palsu dan berunsur fitnah.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong menyatakan Menteri Belia dan Sukan itu tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak lain(kerajaan Selangor).

"Sebagai seorang menteri, beliau patut sedar hal imigresen berada di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan,"katanya.

Semalam di parlimen Shabery mendakwa Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat bertanggungjawab dalam kemasukkan warganegara Israel itu untuk perfileman siri televisyen realiti antarabangsa, "The Challenger Muay Thai."

Mengulas lanjut, Elizabeth yang juga merupakan Adun Bukit Lanjan menegaskan bahawa Selangor tidak terlibat dalam penganjuran persaingan tersebut sama ada dari sudut pemilihan ahli sukan ataupun penerbitan siri televisyen tersebut.

"Jika kami dimaklumkan, Kerajaan Negeri Selangor pasti memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Imigresen supaya menolak kemasukkan warganegara Israel tersebut," katanya

Elizabeth menerusi kenyataan medianya hari ini dengan jelas menegaskan Pakatan Rakyat berpendirian teguh dengan semangat setiakwan dengan rakyat Palestin sekaligus menolak sebarang hubungan diplomatik, perdagangan, budaya ataupun sukan dengan rejim Zionis-Israel.

Ini merupakan kali kedua pada tahun ini Menteri Belia dan Sukan telah membenarkan warganegara Israel memasuki Malaysia dengan pas masuk khas.

"Kami menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan pengeluaran pas masuk khas kepada warganegara Israel sehingga negara Israel mengiktiraf kenegaraan Palestin,"katanya.

Sebagai makluman, penerbit siri tersebut merupakan pihak yang mengeluarkan program-program televisyen lain yang telah memenangi anugerah seperti "The Contender," "The Biggest Loser Asia" dan "The Apartment."