Jumaat, 21 Oktober 2011

Ribuan mahasiswa berhimpun kecam penggantungan Aziz Bari

GOMBAK 21 Okt : Kira-kira hampir 1000 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa hari ini berhimpun membantah penggantungan Profesor Dr Aziz Bari dari meneruskan kuliahnya.

Mahasiswa itu berhimpun di hadapan Masjid Kampus UIA selepas solat Jumaat dan berjaya menyerahkan memorandum membantah penahanan Aziz Bari kepada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA, Dr Nik Ahmad Kamil.

Dr Nik Ahmad Kamil yang menerimaa memorandum itu kemudiannya meminta pelajar yang berhimpun untuk bersurai.

Walaupun begitu, pelajar yang mula berhimpun sejak sebelum solat Jumaat bermula lagi kekal berhimpun untuk mendengar ucapan pemimpin-pemimpin pelajar.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Shukri Razak meniup semangat mahasiswa petang itu dengan menyeru mahasiswa untuk mengutuk sekeras-kerasnya penggantungan Aziz Bari yang bersifat membelakangkan kesucian institusi akademik.

“SMM mengecam sekeras-kerasnya penggantungan Dr Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa.
“Tindakan UIA adalah tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip kebebasan akademik,” kata Shukri.

Turut kelihatan di perkarangan masjid bersama mahasiswa adalah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Adun Batu Caves, Amir Shaari, dan mantan Presiden Kumpulan Anak Muda Independen (Kami), Hilman Idham.

Hilman Idham yang baru lagi menamatkan pengajian sempat membakar semangat rkan-rakan seperjuangan yang masih lagi belajar agar terus menegakkan keadilan jika ditindas.
Beliau sempat mengucapkan ‘ terima kasih’ kepada Timbalan Rektor UIA kerana sudi menerima memorandum Solidariti Mahasiswa Malaysia sebelum itu.

Beliau turut menegaskan mahasiswa berkumpul hari ini kerana menegakkan hak mahasiswa.
“Kalau mahasiswa ditekan kita melawan. Kalau pensyarah ditekan lagi kita melawan,” kata Hilman.
Nurul Izzah yang sempat ditemubual berkata kehadirannya adalah untuk memberikan semangat kepada mahasiswa-mahasiswa UIA agar terus berjuang mempertahankan Aziz Bari.
“13 tahun dahulu saya cuba untuk memasuki UIA dan saya ditolak atas sebab kehadiran saya akan memberikan tekanan politik kepada universiti.

“13 tahun selepas itu, bagaimana Dr Aziz Bari seorang ahli akademik yang disegani digantung pihak universiti.

“Maka perjuangan ini wajib diteruskan. Kita mesti pastikan para akademik, pelajar, mahasiswa, mahasiswi dibebaskan daripada tekanan dan juga campurtangan politik yang menggila daripada Barisan Nasional,” kata Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang merupakan ikon perjuangan mahasiswa dahulu menyeru mahasiswa untuk terus bangkit mempertahankan hak mereka.

“Kita datang untuk tunjukkan solidariti kepada Aziz Bari dan juga mahasiswa yang berani.
“Seruan saya, orang muda harus berani bangkit untuk tentang kezaliman.
“Masa depan harus ditentukan orang-orang muda sekarang dan saya rasa bangga anak-anak universiti UIA berani untuk menegakkan keadilan,” kata Tian Chua.

Perhimpunan itu berakhir apabila Tian Chua dan Nurul Izzah selesai memberikan komen ringkas mereka kepada wartawan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com

Related Posts

Ribuan mahasiswa berhimpun kecam penggantungan Aziz Bari
4/ 5
Oleh