Isnin, 3 Oktober 2011

PAS: Penarikan balik RUU Kg. Baru hasil perjuangan rakyat

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik langkah kerajaan yang menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibacakan kali kedua di Parlimen hari ini. DPPKT menganggap kejayaan ini sebagai hasil perjuangan rakyat khususnya penduduk Kampung Baru sendiri yang berusaha daripada peringkat awal bagi memperjuangkan tanah hak milik mereka. Dengan penarikan balik bacaan kali kedua ini menunjukkan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengakui bahawa Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru sebenarnya tidak menguntungkan rakyat.

DPPKT mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang memainkan peranan besar dalam menyatukan penduduk Kampung Baru di samping memberi kefahaman yang jelas terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru terhadap penduduk kampung. Bagi DPPKT, perjuangan SPKB selama ini berbaloi dan kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan desakan rakyat yang tidak mahu melihat tanah warisan milik Orang Melayu menjadi korban pembangunan pesat Kuala Lumpur. Tahniah juga diucapkan kepada Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang berjaya sebagai pentadir Kampung Baru selama 111 tahun lamanya serta turut sama terlibat dalam memperjuangkan isu ini. Ini membuktikan peranan MAS diakui penting bagi menjaga hak pemilik Kampung Baru.

Selain SPKB dan MAS, peranan utama yang dimainkan oleh Almarhumah Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa yang selama hayatnya tidak pernah merasa jemu dan letih turun padang bagi membela isu Kampung Baru. Selama tempoh perkhidmatannya yang singkat ini, beliau berjaya membawa isu Kampung Baru sebagai isu nasional dan membela nasib penduduk Kampung Baru ke peringkat tertinggi. Ini menunjukkan prestasi wakil rakyat PAS dan Pakatan Rakyat sebagai pembela rakyat jauh lebih baik daripada wakil rakyat Barisan Nasional yang telah memerintah berpuluh tahun lamanya.

DPPKT mengharapkan penarikan Rang Undang-Undang ini bukanlah bersifat sementara sebagai gimik politik semata-mata bagi mengabui mata rakyat menjelang Pilihnaraya Umum ke-13, sebaliknya kerajaan perlu ikhlas dalam memastikan kebajikan dan hak rakyat terbela pada bila-bila masa.

Related Posts

PAS: Penarikan balik RUU Kg. Baru hasil perjuangan rakyat
4/ 5
Oleh