Selasa, 11 Oktober 2011

Dewan Himpunan Penyokong PAS nafi keluar PAS

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw hari ini ini menafikan sekeras-kerasnya laporan media bahawa sayap muda parti Islam itu akan  keluar jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
“Sebagai salah seorang pengasas kelab penyokong PAS yang kini menjadi dewan, tidak ada sebab saya buat demikian.
“Ia umpama rumah yang dibina dengan duit, masa dan tenaga saya tiba-tiba dibakar oleh saya sendiri atas sebab bocor sikit di dapur,” kata Hu dipetik Harakahdaily hari ini.
Akhbar muka depan Sinar Harian hari ini membawa laporan kononnya 20,000 ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS akan keluar PAS jika hudud dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Hu berkata berkata, PAS berhadapan dengan risiko kehilangan sokongan dan mencetuskan keadaan keluar beramai-ramai dari sayap bukan Muslim jika parti Islam itu tidak mengalah dalam isu hukum hudud.
Menurut Hu, ramai ahli dewan itu tidak gembira dengan langkah PAS mahu memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.
Justeru beliau memberi amaran langkah itu akan menyebabkan ahli-ahli sayap paling muda PAS itu meninggalkan secara besar-besaran, sekali gus menjejaskan peluang parti komponen Pakatan Rakyat itu dalam pilihan raya umum.
Dewan itu dibentuk secara formal tahun lalu dengan dinaikkan taraf daripada sebuah kelab yang wujud sejak enam tahun lalu.
Minggu lalu, Hu mempertahankan pendiriannya bahawa parti itu perlu memberi penjelasan secukupnya kepada masyarakat bukan Islam berhubung cadangan untuk melaksanakan hukum hudud.
Katanya, jika penjelasan itu tidak diberikan dan bukan Islam belum memahaminya, selagi itulah PAS tidak boleh melaksanakan hukum berkenaan di sebuah negara yang didiami masyarakat majmuk.
“PAS perlu mengambil kira dan menerima pandangan saya sebagai ketua dan pemimpin yang mewakili masyarakat bukan Islam,” katanya sebelum ini.
Harakahdaily turut memetik Dewan Pemuda PAS Kelantan meminta Hu agar membincangkan segala masalah dalaman parti melalui meja rundingan.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya berpendirian, Hu yang menerajui dewan itu lebih memahami dasar PAS berbanding dengan ahli-ahli biasa yang rata-ratanya tidak mempunyai sebarang masalah dengan hasrat ini.
Beliau juga mengingatkan Hu agar tidak mengambil kesempatan dari jawatan yang disandang untuk membuat kenyataan seolah-olah menggugut kerajaan negeri dan parti.
Bahkan beliau sepatutnya telah memahami dasar PAS sebelum menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS  yang wujud hanya 15 tahun selepas hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“Saya menggesa agar Pang Chow tidak lagi membuat kenyataan terbuka seperti ini, sebarang kemusykilan boleh diselesaikan melalui perbincangan tertutup,” katanya dalam satu kenyataan.
“Saya melihat kenyataan Hu Pang Chow sebagai satu kenyataan yang kurang tepat serta tidak realistik dengan senario politik semasa yang sedang berlaku di Malaysia.
“Justeru, saya ingin mengulangi sekali lagi penegasan yang dibuat oleh pimpinan PAS sama ada Presiden ataupun Mursyidul Am bahawa hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja dengan tidak melibatkan langsung golongan bukan Muslim,” kata beliau.
Latif menambah, “pada hari ini, apa yang diperjuangkan oleh PAS adalah  pelaksanaan hudud di negeri Kelantan sesuai dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan,” kata beliau.
Oleh yang demikian, katanya, Hu selaku ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS sewajarnya lebih bertindak ke arah memberikan penjelasan kepada bukan Islam agar tidak khuatir dan bimbang dengan pelaksanaan hukum hudud serta bukannya mengambil langkah untuk menyongsang arus dan membuat pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan parti.
“Ingin saya ingatkan bahawa kerajaan Kelantan akan terus menjaga dan menjamin hak-hak masyarakat non muslim dan ia diterima oleh rata-rata ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS,” katanya.
Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai 20,000 ahli dikatakan berjaya merapatkan jurang antara PAS dan bukan Islam dan mewujudkan imej baru parti itu di kalangan kaum Cina dan India.
Awal bulan ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau masih menaruh harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.
Bulan lalu, Nik Aziz berkata hukum hudud bukan ideologi sebaliknya adalah wajib untuk dilaksanakan dalam undang-undang Islam.
Nik Aziz juga menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud.
Baru-baru ini Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.
Tambah Nik Aziz, hukum hudud hanya melibatkan orang Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.

Related Posts

Dewan Himpunan Penyokong PAS nafi keluar PAS
4/ 5
Oleh