Isnin, 8 Ogos 2011

A.Samad: waktunya untuk "regime change"

"Sudah tiba waktunya kita adakan regim change. Kita sudah memberi masa kepada orang yang memerintah sekarang ini 54 tahun. Dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu."

 Demikianlah kata-kata daripada Sasterawan Negara, A.Samad Said  kepada anak-anak muda, ketika merasmikan pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, petang tadi. Beliau menyebut, antara hal yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda adalah "merubah" - dan "regim change" itu hanya menjadi "mungkin" di tangan-tangan anak muda.

 A. Samad Said, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad mengakui bahawa dirinya "gemar mendengar daripada mereka yang oppose". "Saya langsung tak gemar dengar mereka yang sokong. Sokong tu maksudnya, sokong kerajaan."

 Kata-katanya disambut dengan tepukan dan sorakan oleh kira-kira 70 orang hadirin. Pak Samad yang sudah hampir setahun tidak membaca akhbar mainstream, menjelaskan mengapa dirinya memilih media alternatif, "Saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar mainstream."

 "Saya mendapati bahawasanya, tanpa media alternatif, akhbar mainstream akan menjadi gangster," dakwa Pak Samad, yang mendakwa gambaran yang dipaparkan dalam media mainstream, hanya "hitam-putih", dengan "Yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang, yang tidak memerintah sentiasa salah."

 Beliau melihat media alternatif lebih sesuai untuk anak-anak muda, yang akan menjelajah ke ceruk-ceruk untuk memperjelaskan apa yang sedang berlaku kepada rakyat.

 Fathi Aris Omar: Media alternatif perlukan sokongan kewangan 

 Sebelum ini, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengakui bahawa media alternatif berdepan dengan masalah di mana sebarannya lebih terbatas kepada kawasan bandar, sementara penduduk kampung masih bergantung kepada media cetak dan elektronik sebagai sumber maklumat.

 Fathi Aris Omar juga berkata, media alternatif berdepan dengan masalah kewangan, di mana ramai peniaga yang masih tidak yakin bahawa iklan di ruang internet mampu membawa pulangan. Lebih-lebih lagi, di Malaysia, sebahagian iklan dikaitkan dengan syarikat GLC (Syarikat Kaitan Kerajaan), yang berkepentingan bersama parti pemerintah. Justeru itu, media alternatif memerlukan bukan sahaja sokongan dari segi audiens, tetapi juga sumber kewangan daripada pembaca, sama ada dalam bentuk langganan atau lain-lain.

Related Posts

A.Samad: waktunya untuk "regime change"
4/ 5
Oleh