:
Home » » Anwar sahkan ada temu Ku Li

Anwar sahkan ada temu Ku Li

Rabu, 3 Ogos 2011 | 0 comments

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui pernah bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah sebelum dan selepas pelan 16 September 2008 beliau gagal tetapi menafikan ada memujuk agar pemimpin veteran itu menyertai Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pusat.
Ketua Pembangkang ini menafikan maklumat kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS), yang didedahkan Wikileaks bahawa beliau terus berusaha untuk mengambil alih Putrajaya menerusi strategi melompat parti dengan sokongan Tengku Razaleigh, ketua Umno Gua Musang.

Anwar  memberitahu The Malaysian Insider bahawa pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan satu rahsia, sebaliknya hanya membincangkan “isu-isu politik.”

“Ada pertemuan, ia memang diketahui umum. Saya ada bertemu dengan beliau (Tengku Razaleigh) sebelum dan selepas 16 September (2008).

“(Tetapi) kami bertemu beliau sebab beliau mahu mengetahui mengenai isu, isu-isu politik,” kata Anwar tetapi berulang kali menegaskan, tiada perbincangan mengenai sebarang usaha melompat menyertai Pakatan Rakyat.

“Tidak, tidak macam itu. Bukan dalam bentuk itu,” tambah Anwar yang juga Ketua Umum PKR.

Kabel diplomatik itu berkata usaha Anwar bukan sesuatu yang meyakinkan sebab Tengku Razaleigh juga dikatakan bercita-cita mahu menjadi perdana menteri.

Anwar juga mendakwa beliau telah berhubung dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri ketika itu, menerusi menantunya Khairy Jamaluddin yang kini merupakan Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau.

“Tidak, apa yang dilaporkan (oleh kabel diplomat) tidak betul. Tiada asas,” kata beliau lagi.

Dalam komennya kepada The Malaysian Insider petang tadi, Khairy menafikan beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk mendapatkan sokongan ke atas legasi pembaharuan dibawa Abdullah sebelum bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan.

Khairy menegaskan beliau tidak pernah bertemu dengan Anwar bagi pihak bapa mertuanya sebagaimana didedahkan oleh kabel diplomatik AS.

Portal berita Malaysia Today hari ini menerbitkan maklumat kabel itu, yang memetik Sivarasa Rasiah, Naib Presiden ketika itu dan penggantinya Chua Tian Chang berkata Khairy ada mendampingi Anwar berhubung sokongan ke atas pembaharuan kehakiman sebagai “sebahagian daripada legasi Abdullah.”

Dalam maklumat kabel diplomat yang didedahkan itu, Duta Amerika Syarikat James R. Keith memberitahu kerajaannya bahawa Abdullah mengekalkan kontak dengan Anwar menerusi Khairy sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak pada April 2009.

Chua dan Sivarasa didakwa mengesahkan perkara ini ketika mengadakan pertemuan dengan setiausaha-setiausaha politik secara berasingan pada 3 dan 5 November 2008.

Keith juga menulis bahawa pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga membuat tanggapan bahawa Khairy bertindak sebagai orang tengah bagi Anwar dan Abdullah untuk bekerjasama.
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger