Jumaat, 1 Julai 2011

Rasuah mata wang:Dua firma Australia dicaj sogok pegawai Malaysia



KUALA LUMPUR, 1 Julai — Polis Persekutuan Australia mendakwa dua firma mencetak mata wang dan enam bekas pegawai kanannya kerana memberi rasuah kepada pegawai-pegawai asing termasuk dari Malaysia untuk mendapatkan kontrak membekalkan mata wang.

Securency International Pty Ltd — salah satu firma utama di dunia mencetak mata wang — dan Note Printing Australia Ltd didakwa memberi sogokan dalam bentuk duit dan biasiswa universiti kepada pegawai-pegawai kerajaan Indonesia, Malaysia dan Vietnam antara 1999 dan 2005.

Menurut laporan AFP hari ini, ketua Polis Persekutuan Australia Chris McDevitt berkata kesemua enam rakyat negara itu berusia antara 50 dan 66 tahun dan pernah memegang jawatan penting sebagai ketua eksekutif, ketua pegawai kewangan dan ejen jualan bagi Securency atau Note Printing Australia Ltd.

Tertuduh terdiri daripada Myles Curtis, John Leckenby, Mitchell Anderson, Peter Hutchinson, Barry Brady dan Rognvald Marchant.

Mereka dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 11.5(1) dan 70.2(1) Akta Kanun Jenayah 1995, yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan atau denda A$1.1 juta. (sekitar RM3.6 juta).

McDevitt juga berkata siasatan masih dijalankan dan kemungkinan ada dakwaan susulan.

Dakwaan itu dibuat selari dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dua orang iaitu bekas penolong gabenor Bank Negara dan seorang ahli perniagaan masing-masing di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Menurut kenyataan media yang diperoleh dari laman web Polis Persekutuan Australia, pihaknya telah memulakan siasatan ke atas kedua-dua syarikat itu sejak dua tahun lalu.

Menurut pihak berkuasa itu, pengurus-pengurus kanan kedua-dua firma berkenaan menggunakan ejen-ejen jualan antarabangsa untuk memberi rasuah bagi memperoleh kontrak mencetak nota mata wang di negara-negara terbabit.

Menurut kenyataan itu lagi, pengurus-pengurus kanan dari kedua-dua firma berkenaan menggunakan ejen-ejen jualan antarabangsa untuk memperoleh kontrak mencetak mata wang.

“Polis menahan enam bekas pekerja kanan syarikat-syarikat dalam satu siri tangkapan awal pagi ini di negeri Victoria.

“Pihak berkuasa Malaysia yang turut bekerjasama dengan polis Australia juga menahan dua orang ekoran siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata laporan Associated Press.

Securency, yang berpejabat di Craigieburn, utara Melbourne, merupakan syarikat separuh ada milik Reserve Bank of Australia iaitu bank pusat negara itu.

Syarikat tersebut merupakan perintis dalam bisnes mengeluarkan nota mata wang polimer dan menyediakan khidmat bagi 31 negara termasuk Australia, New Zealand, Vietnam dan Brazil.

Note Printing Australia Ltd, yang turut berpejabat di Craigieburn, merupakan syarikat milik penuh Reserve Bank of Australia dan pencetak pertama menghasilkan mata wang polimer.

Ia merupakan pendakwaan pertama di bawah undang-undang rasuah asing yang dikuatkuasakan oleh Canberra pada 17 Disember 1999.

“Siasatan Polis Persekutuan Australia dijalankan serentak dengan soal siasat yang dikendalikan oleh pasukan penguat kuasa undang-undang antarabangsa, melibatkan kerjasama signifikan Pejabat Penyelewengan Serius (SFO), SPRM, Jabatan Peguam Negara Malaysia dan Polis Kebangsaan Indonesia,” kata kenyataan Polis Persekutuan Australia lagi.

Kenyataan itu menambah, seorang pegawai kerajaan dari Indonesia menerima sogokan bagi mendapatkan projek usaha sama bagi pihak Securency dan Note Printing Australia Ltd manakala di peringkat Malaysia pula, seorang pegawai kanan diberi rasuah untuk mendapatkan kontrak bagi Note Printing Australia Ltd.

Malah menurutnya, seorang pegawai kerajaan Vietnam pula menerima rasuah dalam bentuk biasiswa universiti bagi mendapatkan kontrak bagi pihak Securency.

Gabenor Reserve Bank of Australia Glenn Stevens yang dipetik laporan Associated Press berkata tiada pihak dalam bank pusat tersebut didakwa terlibat dalam kes terbaru ini.

“Reserve Bank of Australia mengecam keras amalan rasuah ini,” kata Stevens.

Perdana Menteri Australia enggan mengulas kes ini buat masa sekarang

Rasuah mata wang: Bekas penolong gabenor Bank Negara dicaj terima RM100,000



Bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Mohamad Daud Dol Moin pagi ini didakwa berhubung kesalahan rasuah melibatkan kontrak mencetak mata wang polimer yang dianugerahkan kepada sebuah firma Australia antara 2003 dan 2007.
Mohamad Daud menghadapi tuduhan menerima RM100,000 daripada Abdul Kayum Syed Ahmad dalam dua kejadian iaitu sebanyak RM50,000 pada 1 Disember 2004 dan baki RM50,000 pada 16 Februari 2005 di sebuah kafe di Bangsar Shopping Centre.

Dia dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Abdul Kayum akan berhadapan dengan tuduhan berasingan memberi habuan kepada Mohamad Daud di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan, SPRM berkata pihaknya telah menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini dengan kerjasama dan bantuan penuh Bank Negara.

Katanya, di bawah tuduhan pertama, Mohamad Daud didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana menerima suapan wang tunai RM50,000.00 daripada Abdul Kayum melalui seorang perantara untuk membantunya mendapatkan kontrak mencetak wang polimer RM5 oleh Note Printing Australia Limited.

Tertuduh tidak mengaku salah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Tertuduh diwakili oleh J.D. Goonting dan Collin Goonting manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dari Jabatan Peguam Negara.

Tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan Hakim Rosbiahanin Arifin menetapkan 2 Ogos ini untuk perbicaraan.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

SPRM juga berkata pihaknya telah mula menjalankan siasatan berhubung kes ini pada Mei tahun lalu serentak dengan tindakan Polis Persekutuan Australia.

“Polis Persekutuan Australia hari ini turut sama membuat pertuduhan di mahkamah Australia terhadap dua syarikat milik Australia dan enam individu berkaitan konspirasi rasuah terhadap pegawai-pegawai awam di negara Indonesia, Vietnam, Nigeria termasuklah Malaysia dari 1999 hingga 2005 bertujuan memperoleh kontrak percetakan wang kertas di negara-negara berkenaan.

“Kes ini merupakan pendakwaan yang pertama di Australia di bawah penggubalan undang-undang rasuah asing pada 17 Disember 1999,” katanya.
Bank Negara telah menandatangani kontrak membeli nota mata wang polimer RM5 daripada Note Printing Australia Limited bermula pada Disember 2003 sehingga Oktober 2007.

Sepanjang tempoh tersebut, bank pusat telah membuat tempahan sebanyak 390 juta keping dan pembayaran yang telah dibuat adalah sebanyak RM95 juta.

Kenyataan SPRM juga berkata siasatan telah dijalankan seiring tindakan pihak penguat kuasa antarabangsa yang lain termasuklah Biro Siasatan Antarabangsa, Polis Diraja Kanada, Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong, Pejabat Penyelewengan Serius dari United Kingdom, Biro Mencegah Rasuah Brunei dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia.

Lagi berita Skandal mata wang

Seorang bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia dan seorang ahli perniagaan tempatan akan dihadapkan di mahkamah secara berasingan — di ibu negara dan Shah Alam — berhubung skandal kontrak membekalkan nota mata wang ringgit polimer, yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat Australia antara 2003 dan 2007.

Bekas penolong gabenor itu akan dicaj di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah (Sesyen) Jalan Duta manakala ahli perniagaan terbabit di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam.

The Malaysian Insider difahamkan serentak dengan tuduhan ke atas mereka, pihak berkuasa Australia juga akan mendakwa enam individu dan dua syarikat di negara itu hari ini.

“Mereka akan dicaj di bawah peruntukan baru di Australia . . . ia ada kaitan dengan kes di Malaysia,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia dan seorang ahli perniagaan terbabit dipercayai akan berhadapan dengan tuduhan di bawah Seksyen 11(a) dan 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu berhubung skandal nota polimer RM5 kepada sebuah syarikat dari Australia.

Mereka ditahan ekoran satu laporan bahawa Securency International, yang berpejabat di Melbourne, menawarkan rasuah kepada pegawai-pegawai di Malaysia.

Mengikut laporan media itu, ketiga-tiga yang ditahan itu termasuk seorang ahli perniagaan didakwa dibayar RM11.3 juta untuk mendapatkan kontrak daripada Bank Negara Malaysia dan agar kerajaan Malaysia menggunakan mata wang polimer.

Media Australia melaporkan bahawa ahli perniagaan berkenaan digunakan oleh Securency International dan Note Printing Australia antara lewat 1990-an dan 2007.

Securency pernah memperoleh kontrak mencetak nota RM50 sempena Sukan Komanwel pada 1998 dan nota polimer RM5 pada 2004.

Bekas penolong gabenor Bank Negara dikatakan menerima habuan atas tindakannya pada 2004 dan 2005 atas kontrak bernilai RM95 juta yang diberikan kepada syarikat Australia berkenaan.

Related Posts

Rasuah mata wang:Dua firma Australia dicaj sogok pegawai Malaysia
4/ 5
Oleh