Ahad, 31 Julai 2011

Najib Razak sudah menjadi “liabiliti paling besar” kepada Umno

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sudah menjadi “liabiliti paling besar” kepada Umno, menjelang pilihan raya umum ke-13 berikutan kegagalan perdana menteri dalam menangani beberapa isu penting termasuk Bersih 2.0 dan penahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat.

Justeru menurut Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini, Najib kini terpaksa mencari “talian hayat” dengan menggunakan apa sahaja cara untuk terus kekal berkuasa.

“Mengapa Umno terpaksa singkirkan Najib? Sebabnya banyak dan terus menonjol. Pendeknya, Najib telah menjadi liabiliti paling besar buat Umno di ambang pilihan raya umum ke-13 ini.

“Beliau (Najib) telah menjadi seumpama Tun (Dr Mahathir Mohamad) cuma dalam masa yang jauh lebih singkat, bagi sebuah parti yang penting ialah survival atau kesinambungan hidup parti untuk terus berkuasa,” katanya dalam tulisan terbaru beliau.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun memerintah negara Najib telah melakukan banyak perkara untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat, namun ia ternyata satu usaha yang sia-sia.

“Tempoh tiga tahun ini menyaksikan Najib berusaha keras membuktikan bahawa beliau punya wibawa dan wawasan. Beliau tidak lengah untuk meyakinkan rakyat dan pengundi, malah beliau telah cuba buktikan bahawa beliau peka kepada soalan pandangan awam sehingga sanggup mengungkapkankan bahawa era kerajaan tahu semua telah berlalu.

“Ketika itu kononnya beliau sanggup mendengar rakyat. Najib cuba perbaiki imej partinya yang tercalar kerana terlalu angkuh dengan mantranya ‘Rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan’, kesemua itu adalah cubaan gigih Najib untuk baik pulih persepsi (rakyat) terhadap partinya,” katanya sambil menambah, Najib juga cuba mendekati rakyat melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini, kegagalan Najib menangani isu-isu agama dan penyelewengan yang berlaku membuktikan anak kepada perdana menteri kedua itu adalah seorang pemimpin yang tidak tegas dalam menguruskan negara.

“Pelbagai pergolakan politik nasional, pertentangan agama dan pertelingkahan atas garis ras atau kaum, kemelut rasuah, ketirisan serta ketirisan dalam pengurusan kewangan dan pembangunan negara, semua menyerlahkan kepemimpinan Najib sebenarnya... beliau seharusnya sedar, tetapi beliau tidak begitu, beliau semacam dirasuk sindrom penafian.

“Beliau tidak mempunyai jati diri politik yang wajar disanjungi seumpama bapanya, seorang negarawan sebaliknya kata-kata tidak cermat seperti ‘you help me, I help u (anda tolong saya, saya tolong anda)’, beliau sinonim dengan tabiat ‘flip-flop’, satu ciri yang tidak membuktikan ketegasan kerana beliau hanya mahu sokongan semua,” katanya.

Menurut Dzulkefly, Najib kini berhadapan dengan pelbagai cabaran getir termasuk mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli parti Melayu terbesar itu.

Tambah beliau, gesaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) agar transformasi sistem pilihan raya dilaksanakan menyerlahkan lagi kepimpinan buruk Najib.

“Kini rakyat dan pengundi yang mengalami pencerahaan minda dan kemerdekaan jiwa serta punya keberanian menyatakan segala yang salah yang dilakukan orang politik dan parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Najib gagal mendepani tuntutan dan melayani desakan masyarakat sivil sekaligus meletakkan persepsi negatif terhadap diri dan kerajaannya yang semacam mahu terus melindungi yang kotor dalam sistem pilihan raya,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Selangor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak namun Perak kemudian jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) awal 2009.

Selain itu, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Kelmarin polis telah membebaskan enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan selama 28 hari sejak 2 Julai lalu tanpa sebarang syarat.

Related Posts

Najib Razak sudah menjadi “liabiliti paling besar” kepada Umno
4/ 5
Oleh