Ahad, 5 Jun 2011

Ulasan Para Pemimpin Baru PAS

Reaksi pemimpin UMNO dan liputan media milikan UMNO terhadap keputusan pemilihan PAS terkini memperlihatkan kerunsingan parti pemerintah, sehingga pelbagai laporan dan kenyataan negatif diserang ke atas PAS. Bagaimanapun, pimpinan PAS tertinggi menangkis serangan itu dalam sesi penggulungan Muktamar PAS ke-57, petang ini.

Husam Musa yang kembali sebagai Naib Presiden mengucapkan "syabas" kepada Presidennya, setelah melihat reaksi pimpinan UMNO dan media arus perdana. "Pada pendapat saya, dengan cara media mainstream menimbulkan... Seolah-olahnya sesuatu yang negatif, saya yakin presiden kita telah rightly hit, secara tepat...menepati sasaran, dalam menyediakan satu platform pilihan raya ke-13, iaitu membangun negara berkebajikan."

Jarum berbisa yang disuntik



Naib Presiden dengan undi tertinggi kali ini, Salahuddin Ayub pula menyanggah tuduhan bahawa pimpinan bukan dari latar belakang ulamak sedang mencuba untuk memusnahkan parti.

Salahuddin Ayub  memperingatkan perwakilan, "Yang kononnya kemenangan kami akan merosakkan kepimpinan Ulamak. Ini jarum berbisa yang sedang disuntik oleh mereka ke dalam parti kita. Dan kita harus faham bahawa ini niat jahat mereka untuk memecah-belahkan perpaduan antara kita."

"Kalau musuh Islam, UMNO hari ini nak pecahkan PAS, kita, sama ada kita ulamak, kita bukan ulamak, kita akan perangi BN sampai mereka kecundang, menyembah bumi dalam pilihan raya yang akan datang, Insya Allah."

"Bukan Erdogan, Ini Nik Aziz dan Hadi Awang"

Abdul Hadi Awang yang berjaya mempertahankan jawatannya tanpa bertanding, berulang kali mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada perwakilan kerana membuat pilihan yang bijak untuk melahirkan saf pimpinan ini.

Malah, Hadi Awang  menyanggah tuduhan bahawa wujudnya puak "Erdogan", sebagaimana yang dilaporkan dalam media. "Ada yang mengatakan bahawa kepimpinan baru adalah Erdogan, saya katakan ini bukan Erdogan, ini Nik Aziz dan Abdul Hadi Awang! Ini bukan AK Party, ini Parti Islam se-Malaysia, PAS. Ini bukan Turkey, ini Malaysia!"

Bagaimanapun, beliau menggolongkan saf pimpinan terbaru itu, dengan lapan orang berkelulusan agama, dua orang doktor perubatan, dua orang jurutera, seorang peguam, dan enam orang pensyarah atau bekas pensyarah - untuk menyanggah bahawa pimpinan baru ini memperlihatkan "tersingkirnya golongan ulamak".

Mengangkat martabat Majlis Syura

Timbalan Presiden baru, Mohamad Sabu cuba memberi jaminan dengan mencadangkan agar Majlis Syura diperkasa dan berkuasa untuk membuat audit terhadap ahli jawatan kuasa."

"Seandainya mereka (AJK) melanggar syariahnya, Majlis Syura boleh mengambil tindakan memanggil, menegur, termasuk mengambil tindakan disiplin. Majlis Syura diangkat martabat setingginya sekarang dan pada masa yang akan datang," kata Mat Sabu

Bawa "politik kejujuran"

Sementara itu, Mahfuz Omar yang berjaya mempertahankan jawatan Naib Presidennya memperingatkan perwakilan bahawa partinya seharusnya membawa kuasa rakyat ke Putrajaya, "...Kita tidak boleh hanya bercakap untuk menguasai Putrajaya dalam konteks kuasa politik. Kita tidak boleh cakap soal PAS mengganti UMNO dalam kuasa politik..."

Beliau meneruskan, "...Tetapi dalam konteks untuk pilihan raya yang akan datang ini, kita tidak akan mampu untuk mengganti UMNO, atau kita tidak mampu menguasai Putrajaya dalam konteks kuasa politik, kalau kita tidak berjaya menguasai hati dan fikiran masyarakat Malaysia ini...."

"Perkara yang sangat penting ini ialah menguasai hati dan pemikiran masyarakat dan rakyat yang ada dalam negara kita. Kerana bagi saya bahawa, sampainya kita ke Putrajaya, kita mesti membawa kuasa rakyat ke Putrajaya. Kita tidak boleh membawa kuasa kita, dalam konteks parti politik PAS atau pun Pakatan Rakyat, tetapi kita harus membawa kuasa rakyat ke Putrajaya. Kita bukan nak bawa kuasa politik yang ada pada parti kita...nak bawa kuasa rakyat ke Putrajaya, kita mesti menguasai pemikiran masyarakat kita!"

Malah, Mahfuz Omar menyeru, "PAS perlu mengetengahkan dan memperkasakan politik jujur kepada masyarakat dan rakyat dalam negara kita. Inilah nilai spiritual, nilai kerohanian yang terbit daripada Islam yang mendasari perjuangan PAS dan diterima secara universal. Kita tidak mampu untuk nak lawan untuk bagi projek yang dibuat oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional. Tetapi kita mampu untuk lawan mereka dengan nilai spiritual, kerohanian kerana inilah yang membezakan antara PAS dengan Barisan Nasional."

Di samping itu, walaupun enggan bercakap dalam soal perkauman, Mohamad Sabu terpanggil menyentuh bahawa masyarakat Melayu kelihatan lebih pasif dalam isu hak asasi. Beliau mengambil contoh bagaimana komuniti Tionghua memberi reaksinya ketika berdepan dengan kes kematian Teoh Beng Hock, sehingga isu ini dijelma dan dihidupkan walaupun dua tahun berlalu.

Bagaimanapun, apabila berlakunya kematian Sarbani Ahmad, seorang pegawai kastam di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebanyakan orang Melayu tertanya-tanya, "Apa boleh buat? Sarbani nak mati dengan jatuh dari bangunan!"

Mat Sabu turut membangkitkan isu wanita bogel diarah untuk ketuk-ketampi, isu ini dihangatkan ahli parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP, sehingga menjadi tumpuan umum beberapa tahun dahulu. Baru-baru ini, beberapa orang wanita yang disyaki terlibat dengan kelakuan seks, ditandakan "pangkah" oleh polis pada tubuhnya, juga dipertikai sebagai penghinaan terhadap "orang kena tangkap" (OKT) yang belum dibuktikan kesalahannya. -MerdekaReview,

Related Posts

Ulasan Para Pemimpin Baru PAS
4/ 5
Oleh