Jumaat, 24 Jun 2011

Tiga pengedar video lucah didenda RM5,500 sahaja

PETALING JAYA 24 JUN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa peguam Datuk Shafee Abdullah yang mewakili Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kes penayangan video seks lucah mempunyai agenda peribadi terhadap Ketua Pembangkang.

Ini kerana menurutnya, fakta kes yang dibaca dalam mahkamah oleh Shafee bertujuan mengemukakan hujah meringankan hukuman Rahim dilihat lebih menjurus kearah meyakinkan hakim bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video seks berkenaan.

"Kemungkinan peguam Shafee mempunyai motif peribadi, mungkin masalah beliau dengan Anwar sehingga beliau mengemukakan hujah dalam rayuan dengan menyebut dan menyerang Anwar.

"Rayuan dalam kes ini seharusnya dilakukan dalam konteks mengurangkan hukuman dan kenapa Rahim tidak boleh diberikan hukuman berat. Bukan menyerang Anwar untuk menyelamatkan Rahim, itu bukan kaedah," kata beliau.

Justeru Shamsul yakin bahawa tindakan tersebut telah dirancang dengan teliti bertujuan politik malah tidak menolak bahawa media arus perdana akan menfokus kepada si pelaku dan bukan trio 'Datuk T' yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Beliau yang ditemui Tv Selangor selepas menayangkan video dokumentari versi PKR bersama Datuk Johari Abdul kemudian menyatakan bahawa laporan pakar video dari Amerika Syarikat yang mengesahkan 99.9 peratus sepertimana yang disahkan oleh polis tidak menyebut Anwar adalah pelaku.

Namun menurut beliau laporan tersebut hanya mengesahkan pelaku adalah mirip Anwar.

"Dari segi itu, walaupun ada laporan yang dibuat kononnya dari Amerika (Syarikat) yang tidak dicabar dan melaporkan 99.9 peratus adalah Anwar, mengapa pendakwaraya tidak mengambil sikap tegas mengatakan bahawa video itu adalah Anwar dan bukan menyerupai. Ada beza menyerupai dan Anwar (sendiri)," tambah beliau.

Malah Shamsul turut berkata, wujud perkara yang meragukan mengenai hubungan Rahim dengan pemimpin tertinggi Umno- Barisan Nasional apabila terdapat maklumat mendakwa Abdul Rahim telah bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak di parlimen baru-baru ini.

"Ini adalah sama seperti konspirasi Saiful Bukhari (Azlan) terlibat kerana beliau dikatakan bertemu dengan Najib dan Rosmah. Jadi sama dari segi corak dan caranya," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau menggesa agar Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) menjalankan pendakwaan qazaf keatas ketiga-tiga individu berkenaan memandangkan mereka sudah selesai menjalani hukuman Mahkamah Majistrate.

Lagi berita

Tiga lelaki termasuk seorang tokoh UMNO Tan Sri Rahim Thamby Chik didenda sejumlah RM5,500 oleh mahkamah majistret Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan mengedar video lucah.

Mereka mengaku bersalah menayangkan video aksi seks yang mana dalam klip itu seorang pelakonnya dikatakan mirip wajah Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada sekumpulan wartawan kira-kira tiga bulan lalu.

Ketiga-tiga mereka adalah Rahim yang juga Pengerusi Risda serta bekas Ketua Menteri Melaka; ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim yang juga bekas ketua bahagian UMNO Sungai Petani.

Rahim didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Eskay yang didenda RM3,000 dan Shuib RM1,500 atas tuduhan Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang menyatakan mereka dengan niat bersama telah menayang video lucah di tempat terbuka tentang hubungan seks seorang lelaki dan perempuan di antara 10.30 pagi dan 12.30 tengahari pada 21 Mac lalu.

Pada Januari 2008, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara di antara empat dan lima hari serta denda sejumlah RM25,000 terhadap tiga orang yang mengaku bersalah mengedar video aksi seks bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang kini menjadi Presiden MCA.

Chua yang sebelum itu telah meletak semua jawatannya telah mengaku memang beliau adalah lelaki yang dirakamkan mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita dalam video yang disebarkan luas itu.

Baru-baru ini pula, pada 10 Jun lalu, mahkamah sesyen di Melaka menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun mengikut seksyen yang sama – Seksyen Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan – terhadap seorang pemandu bas mengaku bersalah menayangkan video lucah kepada seorang penumpang wanita.

Dalam rayuannya, tertuduh telah meminta hukuman diringankan atas alasan beliau mempunyai empat anak dalam tanggungannya.

Bagaimanapun, mahkamah menolaknya kerana menganggap kesalahan menayangkan video lucah itu adalah serius di samping menyoal tertuduh tentang perasaannya jika perbuatan itu dilakukan terhadap keluarganya.

Hampir tujuh tahun lalu, pada Disember 2004, seorang bekas pramugara dijatuhkan hukuman penjara 18 oleh mahkamah kerana didapati bersalah membuat dan mengedar video lucah aksi seks yang dilakonnya bersama seorang wanita.

Beliau dihukum mengikut akta yang sama, iaitu Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku hampir sama cara pengedaran dan penayangannya. Tuduhan di mahkamah pula dibuat dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang sama.

Namun, hukuman yang dikenakan berbeza-beza. Antara dua darjat?

Wajah-wajah pengedar video lucah yang didapati bersalah hari ini juga tersenyum riang dan ketawa besar. Mungkin ada tersirat di sebalik di kegirangan itu?

Related Posts

Tiga pengedar video lucah didenda RM5,500 sahaja
4/ 5
Oleh