:
Home » » RM2b lagi setelah RM1.4b habis digunakan

RM2b lagi setelah RM1.4b habis digunakan

Jumaat, 24 Jun 2011 | 0 comments

Menurut laporan Business Times Singapura yang disiarkan pada 16 Jun 2011, CIMB Bank secara rasmi mengambil alih Asia Petroleum Hub Sdn Bhd, yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO. Ini kerana syarikat ini telah menghabiskan pinjaman RM1.4 bilion dari CIMB, namun gagal menyempurnakan projek Asia Petroleum Hub, malah merancang untuk mengumpul RM2.0 bilion lagi untuk mengisi lubang hitam perbelanjaan.

Asia Petroleum Hub ialah satu projek mega yang mengambil tempat di Wilayah Pembangunan Iskandar, selatan Johor (berdekatan dengan Tanjung Pelepas). Mengikut rancangan asal, projek bernilai RM1.4 bilion ini memiliki kemudahan pelabuhan pelbagai jenis - mampu mengendalikan kapal pelbagai skala, dengan bilangan 3,000 kapal setahun, dan 30 juta tan produk petroleum.

Dalam satu kenyataan pada Julai 2007 oleh Asia Petroleum Hub Sdn Bhd, projek ini pada asalnya dijangka siap pada tahun 2009. Namun demikian, penyempurnaan projek berkenaan belum mencecah 65% sehingga hari ini, dan RM1.4 bilion telah habis digunakan.

Kos pembangunan Asia Petroleum Hub secara keseluruhannya bergantung kepada kemudahan yang ditawarkan CIMB. Business Times memetik sumber dalaman bahawa CIMB menawarkan bridge loan selama tiga tahun, bernilai RM1.4 bilion kepada Asia Petroleum Hub Sdn Bhd pada tahun 2006.

Lebihan kos sekurang-kurangnya RM2 bilion

Sebagaimana yang diketahui, Asia Petroleum Hub Sdn Bhd telah mengeluarkan RM840 juta pada tahun 2009 untuk membayar kos perbelanjaan projek tersebut. Tetapi, kos projek tersebut terus melonjak, mengakibatkan kosnya melebihi anggaran RM1.4 bilion sebelumnya.

Menurut sumber, sehingga penghujung tahun 2010, tunggakan perbelanjaan modal (accumulate capital expenditure) termasuk faedah pinjaman telah melebihi RM1.4 bilion, namun projeknya hanya siap sehingga 64%. Oleh sebab modal yang dikumpulkan gagal untuk menampung perbelanjaan, maka Asia Petroleum Hub Sdn Bhd merancang untuk mencari pelabur agar RM2.0 bilion disuntik lagi untuk mengisi "lubang hitam" yang tidak berpenghujung. Dengan kata lain, projek yang pada asalnya dianggarkan RM1.4 bilion kini telah mengalami lebihan kos sekurang-kurangnya 142% (atau bersamaan RM2.0 bilion)!

Pada dasarnya, adalah sesuatu yang lumrah apabila berlaku lebihan kos dalam projek pembangunan kerajaan, terutamanya GLCs atau mereka yang merentir (rent-seeking) kerana hubungan yang rapat dengan UMNO atau BN - adalah "pakar" dalam hal "lebihan kos".

Terlalu besar untuk gagal

Di bawah kerangka merentir ini, "kos yang tinggi" ini biasanya diselindungi dengan pelbagai projek pembangunan, disalurkan ke dalam poket parti politik, institusi, korporat dan individu tertentu, melalui pelbagai cara. Ia adalah hasil daripada politik naungan (Political Patronage) yang diamalkan kerajaan UMNO-BN - menggunakan kerajaan atau institusi kewangan yang dikuasai kerajaan sebagai tiangnya untuk menyokong kepentingan ekonomi kroni.

Disebabkan sokongan kerajaan di sebalik tabir, maka perentir (rent-seeker) ini bersikap untuk membazir sewenang-wenangnya. Terlalu besar untuk gagal (Too big to fail) - kerana mereka percaya bahawa kerajaan akan menghulurkan tangan agar projek itu diselamatkan pada akhirnya. Dan sikap inilah yang menyebabkan kegagalan banyak projek mega pada akhirnya.

Projek Asia Petroleum Hub adalah permainan rent-seeking yang tebal dengan politik naungan, berlegar-legar di keliling mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO.

Rent-Seeking dan politik naungan

Pemilik projek ini, iaitu Asia Petroleum Hub Sdn Bhd pada asalnya adalah syarikat yang dimiliki KIC Oil & Gas Group of Companies (KIC) dan Trek Perintis Sdn Bhd (yang dikawal UMNO). KIC memegang 90% saham, dan 10% selebihnya dipegang Trek Perintis.

KIC adalah terminal service provider di Malaysia, diasaskan oleh Abdul Rashid Mohd Isa Al-Qadiry dan Faidzan Hassan Al-Qadiry, yang kini merupakan pemegang saham terbesar. Trek Perintis pula adalah syarikat proksi UMNO yang dikuasai Abdul Azim Zabidi, Bendahari UMNO ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi menerajui UMNO. Azim dilantik pada zaman Abdullah untuk mengurus harta di bawah UMNO.

Abdullah Ahmad Badawi menjadi Penaung Amanah Al-Wariseen, tabung amanah yang digerakkan Kumpulan KIC. Pada masa yang sama, Reezal Merican Naina Merican, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, juga bekas Setiausaha Politik Abdullah, adalah nama yang muncul dalam lembaga pengarah tabung amanah tersebut.

Rombakan struktur saham

Namun, menurut laporan New Straits Times pada 14 September 2007, selepas satu rombakan struktur saham, pegangan saham KIC dalam Asia Petroleum Hub Sdn Bhd berkurang dari 90% kepada 40%, dan saham pegangan Trek Perintis telah bertambah dari 10% kepada 20%.

Pada masa yang sama, dua syarikat iaitu Seaport Terminal Sdn Bhd dan Teori Selatan Sdn Bhd bangkit untuk menjadi pemegang saham Asia Petroleum Hub, masing-masing memegang 35% dan 5% saham. Seaport Terminal Sdn Bhd dimiliki Syed Mokhtar Al-Bukhary (gambar kiri), usahawan terkenal yang sering dikaitkan dengan UMNO, sementara Teori Selatan pula adalah sebuah syarikat persendirian yang dikawal oleh Tunku Ibrahim Ismail (Sultan Johor sekarang) yang pada ketika itu Tunku Mahkota.

Pendek kata, Kumpulan KIC telah mengagihkan 50% saham pegangannya dalam Asia Petroleum Hub Sdn Bhd kepada istana Johor, UMNO dan Syed Mokhtar yang berhubungan rapat dengan UMNO.

Hubungan kontaktor dengan UMNO

Di samping itu, maklumat menunjukkan bahawa kontraktor yang menerima projek ini tidak kurang datang dari mereka yang berhubungan rapat dengan UMNO. Senarai kontraktor seperti berikut, ZAQ Construction Sdn Bhd, Mott MacDonald Sdn Bhd, Nam Fatt Corporation Bhd, Kencana Petroleum Bhd, Muhibbah Engineering Bhd dan Qi-PMC Sdn Bhd.

Asia Petroleum Hub Sdn Bhd adalah kontraktor utama projek ini, dan ZAQ Construction Sdn Bhd adalah Managing Contractor, bertanggungjawab untuk melantik dan mengagihkan projek kepada sub-kontraktor. Bos dan Pengarah ZAQ Construction ialah Zainal Rafique, adik beradik kepada Zamani Rafique, iaitu seorang lagi Pengarah. Seorang lagi adik-beradik mereka, Zulkifly Rafique adalah pengasas firma guaman Zul Rafique & Partners - antara orang rapat Perdana Menteri Najib Razak. Najib merombak semula harta parti dan memasukkannya di bawah Temasek Padu, dan melantik Zulkifly untuk menjaga syarikat ini.

Qi-PMC Sdn Bhd dan ZAQ Construction mempunyai struktur pegangan saham yang sama, dan Zamani sebagai Pengarah ZAQ Construction, juga salah seorang pengarah Qi-PMC. Apa yang menarik, Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan ketika zaman Abdullah menyandang jawatan PM, adalah adik beradik Zulkifly. Zulhasnan juga dilihat sebagai orang rapat Abdullah Ahmad Badawi (gambar kanan).

Nam Fatt Corporation Bhd, Kencana Petroleum Bhd dan Muhibbah Engineering Bhd adalah sub-kontraktor dalam projek ini. Antaranya, Kencana Petroleum adalah syarikat tersenarai yang dimiliki Mokhzani Mahathir, anak kepada mantan PM Mahathir Mohamad.

Sub-kontraktor menjadi mangsa

Jika dilihat kepada perkembangan akhir projek Asia Petroleum Hub, tidak kurang sub-kontaktor yang menjadi mangsa kepada skandal kewangan projek ini. Antaranya, Muhibbah Engineering Bhd memaklumkan kepada Reuters baru-baru ini, bahawa hutang setinggi RM370.8 juta masih belum dibayar kepada syarikatnya, sehingga akhir tahun 2010.

Selain itu, Nam Fatt Corporation Bhd juga menyaman ZAQ Construction melalui tribunal dan menuntut agar ZAQ membayar hutangnya. Sebagaimana yang diketahui, ZAQ memberi dua kontrak kepada Nam Fatt Corporation Bhd, yang jumlahnya bernilai RM550.3 juta. Menurut kenyataan Nam Fatt Corp. Bhd, ZAQ belum menjelaskan hutang sejumlah kira-kira RM39 juta sehingga akhir tahun 2010, dan Nam Fatt menuntut pampasan RM65.86 juta daripada ZAQ Construction.

RM1.4 bilion hilang entah ke mana?

Menurut jumlah hutang yang didakwa dua sub-kontraktor di atas, projek Asia Petroleum Hub ini sekurang-kurangnya memikul hutang RM400 juta (tidak termasuk pampasan kerugian kontaktor). Mengapa satu projek yang mendapat pinjaman RM1.4 bilion dari CIMB gagal menjelaskan hutang RM400 juta?

Kini, adalah menjadi satu tanda soal, sama ada RM1.4 bilion yang pada asalnya digunakan untuk menampung kos pembinaan - dihabiskan kerana lonjakan kos, atau disalurkan ke dalam poket rent-seeker?

Apa yang pasti, projek yang belum diselesaikan (dijangka hanya selesai 64%) ini memerlukan lebih banyak dana untuk diteruskan. Menurut laporan media, pelaburan RM2.0 bilion diperlukan lagi untuk memenuhi keperluan kos pembinaan. Namun demikian, persoalan pokoknya, adakah RM2.0 bilion ini mampu menutup lubang hitam yang tiada penghujungnya?-MerdekaReview
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger