Sabtu, 11 Jun 2011

Kelab Taat Suami dipertahan, isteri ‘bidadari istimewa’

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Penganjur Kelab Taat Suami Malaysia mempertahankan langkah mereka mengadakan badan itu bagi cuba menyelesaikan masalah curang di kalangan suami sambil menegaskan, kaum isteri sebenarnya “bidadari istimewa”, bukan ‘pelacur kelas pertama’ yang disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
Presidennya Fauziah Ariffin berkata, beliau hanya sebut sebagai perkhidmatan atau layanan wanita yang dihadiahkan kepada suami seperti bidadari agar dapat mengelak masalah curang atau main kayu tiga di kalangan suami masing-masing.

“Mungkin sukar untuk masyarakat mentafsir perkataan bidadari tetapi ini tidak bermaksud mereka sama taraf dengan pelacur kelas pertama.



“Bidadari dengan pelacur kelas pertama adalah istilah yang berbeza dari skop kerja. Layanan pelacur kelas pertama merupakan satu pekerjaan tetapi perkhidmatan layanan isteri sebagai satu kewajipan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Fauziah menambah, beliau maksudkan layan suami bukan semata-mata terus kepada soal seks tetapi persediaan ketika bersama suami dan ia termasuklah cara senyuman, layanan dan cara berfikir semasa bersama suami.

Kelab Taat Suami cawangan Malaysia dilancarkan Sabtu lalu dengan membawa mesej kesediaan isteri untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami masing-masing, sekali gus mengelak mereka daripada berlaku curang ataupun mencari pelacur.

Sejak diperkenalkan di Johor 1 Mei lalu, kelab itu mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia yang mana 50 peratus ahlinya merupakan mereka daripada kalangan kelas atasan dan berminda terbuka serta golongan intelek.

Jelas Fauziah, beliau sudah memperbetulkan istilah pelacur kelas pertama, namun wartawan masih menggunakannya.

“Saya telah menegur wartawan berkenaan yang menggunakan istilah tersebut kerana ini akan menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat. Mereka anggap perkataan ‘pelacur’ seperti menjatuhkan martabat wanita.

“Tetapi wartawan tersebut masih menggunakannya. Jadi, saya sudah tidak ambil kisah. Tetapi, saya tetap dengan pendirian, melayan kehendak suami bukan bererti sama seperti pelacur kelas pertama,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim semalam, Fauziah menempelak “jika suami tidak menggunakan isteri sendiri, mereka hendak guna isteri siapa?” “Adakah suami perlu halakan nafsu mereka ke dinding kalau bukan untuk isteri?” katanya dengan tegas.

Dalam kenyataan kelmarn, Mashitah menyelar segelintir suami yang menjadikan isteri semata-mata tempat melepaskan nafsu seks tanpa memikirkan kepentingan hidup berkeluarga.

Katanya, dalam rumah tangga memang menjadi tanggungjawab isteri melayan suami tetapi jangan pula seseorang suami mengambil kesempatan daripada layanan baik isteri mereka sehingga sanggup mempergunakan isteri tersebut untuk memuaskan hawa nafsu sendiri.

Semalam, beliau mendakwa Kelab Taat Suami cuba mencetuskan kontroversi untuk meraih publisiti dan mencari populariti bagi menarik lebih ramai ahli menyertai kelab itu.

Mashitah berkata, kewujudan kelab itu juga menimbulkan tanda tanya kerana ia dibimbangi menjadi kelab yang digunakan oleh golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej “taat” kepada golongan isteri dengan cara yang salah.

“Kalau saya tidak salah, mereka adalah cabang dari kumpulan Al-Arqam kerana berasal dari kelompok Ikhwan Global.

“Justeru saya menduga bahawa kumpulan ini dikendalikan oleh suami mereka dan boleh menghantar mesej yang salah kepada golongan isteri mengenai ketaatan kepada suami mereka,” kata beliau.

Kelmarin, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin pula menyuarakan pandangan bahawa kelab itu dilihat hanya mementingkan nafsu untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Menjelaskan kenyataannya semalam berkenaan berpakaian menarik dan seksi untuk memenuhi keperluan suami, beliau berkata, tiada masalah berpakaian seksi kerana ini perkara peribadi.

“Ini tidak salah. Lagipun Allah S.W.T telah menghalalkan hubungan suami isteri sebaik sahaja lafaz nikah. Jadi, tidak perlulah pertikaikan perkara ini,” ulas Fauziah.

Related Posts

Kelab Taat Suami dipertahan, isteri ‘bidadari istimewa’
4/ 5
Oleh