:
Home » » Kami ke mahkamah jika Parlimen gugur MP Tian Chua

Kami ke mahkamah jika Parlimen gugur MP Tian Chua

Selasa, 14 Jun 2011 | 0 comments

PETALING JAYA, 14 Jun — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) bahawa parti itu akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Ahli Parlimen Batu Tian Chua digugurkan sebagai wakil rakyat.

Tegas Azmin, beliau percaya BN akan menggunakan kuasa majoriti dalam Parlimen untuk menggugurkan Chua sebagai wakil rakyat selepas mahkamah menolak permohonan rayuan dibuat beliau tempoh hari.

“Seperti sedia tahu BN tidak lagi berpegang kepada prinsip keadilan dan kebenaran kerana mereka akan menggunakan kuasa majoriti dalam Parlimen untuk menafikan keadilan seorang wakil rakyat.

“Ini terjadi apabila saya dan tiga ahli Parlimen lain digantung yang mana BN menggunakan kuasa majoriti, saya tidak terkejut jika BN gunakan cara sama untuk menafikan hak Tian Chua,” katanya pada sidang media.

Justeru kata Ahli Parlimen Gombak itu, pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya Chua, wakil rakyat penggal pertama dilucut dari jawatan itu.

Tegas Azmin , sekiranya ia berlaku pihaknya akan menggunakan undang-undang untuk mempertahankan Chua.

“Kalau BN gunakan kuasa majoriti, kita akan gunakan kuasa undang-undang untuk mempertahankan Tian Chua.

“Sekiranya BN lakukan ini rakyat akan menghukum mereka pada pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

The Malaysian Insider pagi ini melaporkan BN sudah memutuskan untuk membawa usul berkaitan status Chua di Parlimen.

Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BBCBN) akan memaklumkan Dewan Rakyat secara formal pagi ini — dipercayai selepas selesainya sesi soalan lisan — bahawa wakil rakyat PKR itu sudah tidak lagi layak menjadi wakil rakyat.

“Kami akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini... ya, selepas sesi soalan lisan, sebab perkara ini perlu dibawa mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat,” kata Timbalan Pengerusi BBCBN Datuk Bung Mohtar Radin.

“Kami mengambil pendirian bahawa beliau (YB Chua) sudah tidak layak hadir sidang Parlimen,” kata beliau.

Ketika ditanya siapa yang akan membawa perkara itu untuk perhatian Speaker Dewan Rakyat, Bung Moktar berkata, “BBCBN, sesiapa sahaja (anggota BBCBN) akan membawa perkara ini hari ini.”

Mengikut peruntukan perlembagaan dan aturan mesyuarat Parlimen perkara itu perlu dibawa kepada Speaker Dewan Rakyat untuk tindakan susulan sebagaimana pernah disaksikan masa-masa lalu.

Sebelum ini Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, adalah sesuatu “tidak bertanggungjawab” jika tiada wakil rakyat memaklumkan Parlimen sabitan kesalahan Chua dan kemungkinan boleh hilang kelayakan.

Katanya, tanpa makluman formal daripada mana-mana anggota Dewan Rakyat, Speaker tidak boleh ambil tindakan ke atas Chua yang kedudukannya kini kelihatan tergantung.

Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan berhubung sabitan kesalahan menggigit seorang anggota polis.

Dengan perkembangan itu, keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengenakan denda RM2,000 kekal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status kerusinya.

Chua bagaimanapun menegaskan beliau masih seorang wakil rakyat yang sah walaupun Mahkamah Rayuan telah mengetepikan rayuannya berhubung hukuman dikenakan atas tuduhan menggigit seorang polis empat tahun lalu.

Pertengahan Jun tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua, yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret berhubung tuduhan mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.
Kongsikan :

0 comments:

Catat Ulasan

Sila berkongsi maklum balas anda dalam ruang perbincangan atau FB dan memfailkan apa-apa fakta yang anda dapati melalui pengalaman dan pengetahuan anda.

Ulasan isu hendaklah dengan fikiran terbuka, supaya setiap ulasan akan memberi manfaat kepada semua.

Berbahas atau bertukar-tukar pendapat,agar yang kurang kita tambahkan,yang lebih kita berikan.

 
Copyright © 2011. Politik kedai kopi - All Rights Reserved
Template Modify by Politik Kedai Kopi
Proudly powered by Blogger